APABILA seluruh negara dilanda pelbagai masalah sama ada dari segi ekonomi ataupun ancaman kesihatan, ahli politik seharusnya tampil memainkan peranan lebih penting memimpin serta menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
Malangnya, ketika segenap lapisan masyarakat bimbang dengan ancaman pandemik Covid-19, para pemimpin politik sebaliknya lebih gemar membuang masa di medan politik. Mereka terus merebut kuasa untuk mengekalkan kedudukan tanpa mempedulikan nasib rakyat.
Dalam membincangkan isu tanggungjawab yang ada pada pemimpin-pemimpin politik pada hari ini, Lidah Pengarang SinChew Daily berharap semua pemimpin politik di negara kita agar jangan lagi mengabaikan kepentingan negara dan tidak mengendahkan keluhan dan masalah yang dialami rakyat.
Menurut akhbar itu, dalam temu bual dengan media baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan perasaan dukacita kerana kebanyakan pemimpin politik yang menjalankan kegiatan politik mereka walaupun negara sedang menghadapi beberapa krisis yang perlu diselesaikan dengan segera.
Baginda turut bertitah adanya wakil rakyat yang tidak melaksanakan tanggungjawab bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat yang mengundi mereka.
Pada Ogos lalu, sewaktu menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021, baginda turut menegur setiap pemimpin politik sepatutnya mengambil tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing khususnya dalam mengenal pasti mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19.
"Inilah bukan kali pertama teguran dibuat oleh seorang sultan atau raja terhadap sikap pemimpin politik di negara kita.
"Pada September lalu, ketika bertitah pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menegur wakil rakyat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan mereka untuk mencapai agenda tertentu.
"Dari segi logiknya, tidak ada salahnya pemimpin politik merebut kuasa demi menjaga kedudukan mereka.
"Namun demikian, mereka juga tidak boleh mengabaikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat ketika semua orang memerlukan bantuan dan perhatian,” jelas akhbar itu.
Menurut SinChew Daily, sejak hampir dua tahun kebelakangan ini, akibat penularan wabak Covid-19, kehidupan rakyat semakin tertekan. Ada yang kehilangan pendapatan dalam sekelip mata malahan tidak kurang juga terpaksa melihat pemergian orang-orang yang disayangi mereka buat selama-lamanya akibat serangan virus tersebut.
"Ketika itulah rakyat berada dalam kegelapan dan penderitaan, suasana politik negara pula berada dalam keadaan tidak menentu. Ahli-ahli politik sibuk mengira angka untuk memastikan parti mereka cukup dengan sokongan diperlukan.
"Apabila pemimpin-pemimpin politik terlalu menumpukan masa untuk berpolitik, apakah mereka masih ada masa dan tenaga untuk memikirkan rakyat yang sedang bergelut dengan masalah sara hidup mereka?” tulis akhbar tersebut.
Sehingga hari ini, negara masih dibelenggu isu penularan Covid-19 dan ia dijangka gagal dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat. Ia menyebabkan kedudukan ekonomi juga tidak dapat kembali aktif seperti sediakala dalam beberapa bulan akan datang.
"Pemimpin politik kita seharusnya menunaikan tanggungjawab mereka dengan meletakkan kepentingan rakyat di tempat pertama.
"Ketepikan perbezaan fahaman politik dan inilah masa untuk berganding bahu memerangi pandemik Covid-19 dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
"Hulurkan juga sumbangan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
" Pemimpin-pemimpin politik dinasihatkan jangan timbulkan isu yang remeh yang berkaitan dengan agama dan perkauman kerana semua ini tidak sedikit pun membawa faedah kepada semua orang,” tambah akhbar Cina itu lagi.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca