AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit, atau biasanya dikenali sebagai AKPK, ialah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak.
Dalam situasi kita baharu hendak pulih daripada krisis pandemik, Belalang dapati ramai anak muda yang bergantung hidup kepada bantuan pinjaman menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka.
Ternyata mereka memerlukan bantuan agensi seperti AKPK untuk menasihati dan membimbing mereka dalam mencaturkan semula pinjaman mereka.
Anak kepada kawan Belalang yang sebelum ini menawarkan khidmat rekabentuk grafik secara online memberitahu sejak akhir-akhir ini dia berhadapan dengan kesukaran untuk memperolehi pelanggan.
Dia mengadu, ini menyebabkan dia sukar untuk membayar hutang bulanannya kepada bank. Mujur ada moratorium yang memberi sedikit ruang untuknya bernafas.
Tapi kini kurang dua minggu sahaja lagi menjelang tahun baru, dia kembali resah memandangkan moratorium akan tamat dan perniagaan onlinenya masih belum pulih.
Ini menyebabkan dia tidak dapat lelap mata apatah lagi Jumaat lalu dia menerima notis daripada pihak bank yang memaklumkan proses pembayaran pinjamannya akan berjalan balik seperti sediakala menjelang Januari.
Kawan Belalang cakap, anaknya tidak berselera untuk makan dan murung. Jangan kata dia, Belalang tengok pun Belalang sendiri resah dan gundah gulana.
Jadi Belalang rasa, agensi seperti AKPK harus terkehadapan dalam melakukan program ‘reach out’ kepada mereka yang bermasalah untuk membantu mengendurkan bebanan.
Orang yang sedang berhadapan dengan masalah, tak dapat berfikir secara rasional dan tenteram.
Mereka memerlukan bantuan orang lain dan AKPK mampu menghulurkan tangan untuk membimbing mereka dengan jalan keluar yang diperlukan.
Kini di bawah AKPK ada satu program yang dinamakan URUS khusus untuk membantu para peminjam di era pandemik ini.
Di bawah URUS, hutang bulanan boleh disusun semula termasuk pengurangan bayaran balik bulanan selama dua tahun dan perkara ini disebut sendiri oleh Perdana Menteri, Jumaat lalu.
Manakala pihak bank pula haruslah lebih prihatin dan bertimbang rasa dalam melaksanakan peraturan dan tindakan kerana masa ini bukanlah masa yang normal tetapi masa yang tidak menentu.
Belalang - Sentiasa merasa degup jantung rakyat...
Klik di sini untuk terus membaca