SAYA sudah banyak kali bercerita bagaimana saya mula melabur di pasaran saham atau main saham.
Ia bermula pada awal tahun 1972, apabila saya dipindahkan ke Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama yang baru ditubuhkan.
Walaupun saya sudah tidak bermain saham hampir 10 tahun sebaliknya melabur dalam instrumen yang lebih selamat dan tidak memerlukan pengawasan harian seperti saham amanah, simpanan tetap dan sijil amanah, saya masih mengikuti pasaran saham sebagai sumber maklumat.
Bagi pelabur kecil yang kurang kepakaran mengenai pasaran saham adalah lebih selamat melabur dalam instrumen seperti yang saya sebut di atas. Mungkin kadar pulangan tidak tinggi tetapi jauh lebih mudah dan selamat.
Sejak mula kenal pasaran saham, khususnya pasaran modal amnya, saya telah baca dan dengar banyak cerita mengenai orang ramai yang rugi sampai habis wang simpanan kerana tersilap melabur atau ditipu.
Yang peliknya kejadian seumpama itu terus terjadi walaupun amaran telah diberikan berulang kali dan instrumen pelaburan yang mudah dan selamat disediakan.
Yang terbaru dan semakin menjadi kegilaan adalah perniagaan mata wang digital yang dikenali sebagai cryptocurrency atau mata wang kripto.
Mata wang kripto bukanlah mata wang biasa yang dicetak atas kertas atau logam oleh sesebuah negara seperti yang kita gunakan sekarang.
Ia tidak wujud dalam bentuk fizikal, tidak diterbitkan oleh bank pusat dan berbeza daripada mata wang digital bank pusat (CBDC).
Mata wang kripto adalah kod komputer yang berpaksikan teknologi blockchain yang ditulis dengan begitu rupa sehingga mustahil untuk ditiru atau pecahkan. Pencipta dan pedagangnya sering mendakwa yang ia lebih selamat daripada mata wang biasa.
Ada lebih 10 jenama mata wang kripto yang diniaga dan digunakan untuk membeli-belah serta melabur. Antaranya adalah Bitcoin, Ethereum, XRP, Litecoin, Cardano dan Dogecoin.
Hanya dua atau tiga buah negara saja di dunia mengiktiraf mata wang kripto sebagai mata wang sah manakala China yang merupakan pasaran mata wang kripto terbesar di dunia telah mengharamkannya pada 24 September.
Pada 15 Disember, Timbalan Menteri Kewangan ll, Yamani Hafez Musa memberitahu Parlimen yang Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai rancangan segera untuk meluluskan CBDC.
Maksudnya, walau CBDC pun bukan keutamaan kerajaan, maka keputusan mengenai wang kripto bukan keutamaan langsung. Jadi sesiapa yang terlibat dengannya adalah mengambil risiko sendiri.
Justeru, rakyat Malaysia kenalah berhati-hati agar tidak dipengaruhi atau ditipu untuk mengambil bahagian dalam penggunaan atau perniagaan mata wang kripto kerana tiada undang-undang atau peraturan yang melindungi mereka.
Sudah pun terdapat aduan kepada pihak berkuasa mengenai rakyat Malaysia yang kehilangan puluhan dan ratusan ribu ringgit dalam perniagaan dan penipuan mata wang kripto.
Contohnya, pada 22 Oktober lalu Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dilaporkan berkata seorang peniaga rugi RM191,000 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto.
Jadi berhati-hatilah dengan penggunaan dan perniagaan mata wang kripto ini kerana bukan sahaja ia tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia malah di negara ia dibenarkan pun, kerajaan tidak mempunyai sepenuh kawalan ke atasnya.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca