PANDEMIK Covid-19 yang telah dua tahun melanda dunia bukan sahaja meragut nyawa manusia, tetapi juga kualiti kehidupan sebahagian besar kita. Sehingga November 2021, hampir tiga juta orang dijangkiti Covid-19 dan lebih 30,000 orang... Klik di sini untuk terus membaca

PANDEMIK Covid-19 yang telah dua tahun melanda dunia bukan sahaja meragut nyawa manusia, tetapi juga kualiti kehidupan sebahagian besar kita.

Sehingga November 2021, hampir tiga juta orang dijangkiti Covid-19 dan lebih 30,000 orang meninggal dunia akibat pandemik ini. Berbilion pakej pemulihan ekonomi yang diumumkan, namun hasil positif masih sukar dijangka.

Politik negara juga tidak pernah stabil. Sejak kehadiran Covid-19 negara telah menyaksikan tiga orang Perdana Menteri. Ketika pandemik ini bermula negara dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya meletak jawatan secara mengejut akibat pergelutan politik dalaman.

Penggantinya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan pada Mac 2020 ketika negara di ambang kecemasan. Muhyiddin terus mengadakan sekatan pergerakan dan menguatkuasakan beberapa akta mengawal penyakit berjangkit.

Namun pada Ogos 2021, Muhyiddin berhadapan tekanan politik dan rakyat yang kecewa dengan keadaan pandemik telah meletak jawatan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan negara berhadapan tanggungjawab besar untuk memulihkan negara ini.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020 mencatatkan negatif 5.6 peratus berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global. Manakala kadar pengangguran tahun 2020 ialah 4.5 peratus, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak 1993.

Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan purata bulanan isi rumah telah menurun sebanyak 10.3 peratus pada 2020.

Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah beralih kepada kumpulan B40.

Realiti pahit, pandemik telah melemahkan ekonomi negara, menambah kumpulan rakyat miskin, hilang pekerjaan dan tempat bergantung.

Tampil selepas mengangkat sumpah, Ismail Sabri memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.

Anak penoreh getah itu mahu rakyat saling berganding bahu saling membantu seperti mana kita membantu dan bertolak ansur sesama ahli keluarga.

Beliau percaya kesusahan, kepayahan dan kesukaran rakyat akibat pandemik ini hanya dapat dipulihkan dengan sikap kasih sayang, saling membantu dan saling mempercayai antara rakyat dan kerajaan serta sesama rakyat.

Maka tidak hairanlah Ismail Sabri meletakkan tanggungjawab membasmi kemiskinan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jika suatu masa dahulu menguruskan kemiskinan rakyat berada dalam kementerian berkenaan kebajikan, kini Mustapa, seorang teknokrat ekonomi sejak beberapa dekad lalu telah diberi tanggungjawab menyelaras semua inisiatif dalam dasar pembasmian kemiskinan.

Hasrat kerajaan jelas. Membasmi kemiskinan bukan sekadar kisah kebajikan dan bantuan berterusan.

Kerajaan juga tampaknya mahu memastikan faktor ketirisan bantuan, pilih kasih dan pembaziran sumber dapat dikurangkan. Dalam masa sama penyelarasan ini membolehkan kerajaan memantau pencapaian program ini.

Difahamkan salah satu keutamaan oleh Mustapa ialah membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial Peringkat (PDPS) Persekutuan yang akan mengintegrasikan semua data bantuan kepada rakyat miskin bagi memastikan tiada yang tertinggal.

Sejak beberapa bulan lalu, Mustapa telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai agensi dan kementerian bagi memformulakan pengintegrasian ini.

Secara dasarnya sebuah unit kemiskinan Jabatan Perdana Menteri akan ditubuhkan di peringkat Persekutuan dan kemudiannya nanti ini akan dikembangkan di peringkat negeri dan daerah.

Kita berharap PDPS bukan sekadar pusat pengumpulan data. Data harus dianalisis dan digunakan untuk memperbaiki dasar yang dilaksanakan.

Kemiskinan sukar dibasmi namun harus diuruskan sebaik mungkin supaya mereka yang miskin tidak tercicir dari arus pembangunan negara.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca