RAMAI yang tidak menyedari sejarah merupakan suatu elemen yang penting bagi membina tamadun sesuatu bangsa. Para pemikir juga sering mengatakan bahawa sejarah pasti akan berulang. Oleh yang demikian pengkajian sesuatu pengkisahan sejarah... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI yang tidak menyedari sejarah merupakan suatu elemen yang penting bagi membina tamadun sesuatu bangsa. Para pemikir juga sering mengatakan bahawa sejarah pasti akan berulang. Oleh yang demikian pengkajian sesuatu pengkisahan sejarah perlu diberi penekanan bagi membolehkan sesuatu bangsa maju ke hadapan.

Menoleh ke belakang menelaah sejarah akan membawa seseorang itu maju ke hadapan. Begitulah juga keadaannya dalam bidang perundangan. Kedudukan undang-undang sebenarnya tidak boleh lari dari aspek sejarah.

Bagi memahami perundangan masa kini kita perlu menelusuri sejarah negara. Ini disebabkan undang-undang itu sendiri bukan tiba-tiba muncul dari dalam lompang atau vakum tetapi mempunyai sebabnya yang tersendiri kenapa ianya digubal.

Umpamanya, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang mendasari setiap tindakan di dalam negara juga mempunyai sejarahnya sendiri. Perlembagaan Persekutuan bukan tiba-tiba muncul pada saat negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perlembagaan Persekutuan hanya meneruskan kemahuan anak watan dan merupakan kesinambungan susun atur masyarakat telah telah berlaku sebelum Perlembagaan digubal. Bukanlah sifat Perlembagaan itu mengenepikan apa yang telah diaturkan dan membuat aturan yang baru selepas kemerdekaan negara.

Oleh itu, dalam memahami setiap peruntukan Perlembagaan, seseorang mesti juga mengkaji sejarah Perlembagaan dan perundangan negara. Paduan akan diperoleh dengan betul jika kita mengkaji sejarah Perlembagaan itu sendiri. Sebagai contohnya ramai yang ketika ini mula mempertikaikan keistimewaan agama Islam dalam Perlembagaan.

Golongan itu mengatakan bahawa semua agama adalah sama dan perlu dilayan sama rata oleh pihak kerajaan. Golongan ini sering mempertikaikan kemudahan dan kelebihan yang diberikan kepada agama Islam dan menuntut agama-agama lain juga diberikan hak yang sama.

Namun jika kita menelusuri sejarah, kita akan dapati bahawa memang sebenarnya Islam telah pun diberikan tempat yang tinggi di dalam perundangan negara sejak sebelum penjajahan lagi. Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama bertindak sebagai pelindung kepada agama Islam.

Hak asal pentadbiran sebenarnya dimiliki oleh negeri-negeri yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu. Apabila negara mencapai kemerdekaan baginda Raja-Raja Melayu menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Persekutuan. Islam mengikut sejarah tidak hanya diamalkan dalam ritual-ritual tertentu sahaja tetapi lebih sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Orang bukan Melayu sebelum kemerdekaan pula diberikan kerakyatan Tanah Melayu dengan persetujuan kedudukan istimewa Islam, raja-raja Melayu dan orang Melayu terpelihara. Kita akan dapati secara tuntas sekiranya kita mengkaji sejarah bahawa kedudukan agama Islam tersebut diberikan sebegitu istimewa dengan sebab yang tertentu. Oleh hal yang demikian adalah amat tidak wajar kini ada golongan sama ada orang Melayu atau bukan Melayu mempertikaikan kedudukan istimewa Islam.

Berbalik kepada kepentingan sejarah, memang tidak dapat dinafikan masyarakat awam dewasa ini sudah mula tidak menoleh kepada sejarah bagi membuat justifikasi mereka.

Malah ramai yang tidak mengenali tokoh-tokoh penting negara berbanding dengan populariti golongan hiburan.

Paksi sesebuah negara sebenarnya tertegak melalui sejarahnya, Sejarah perundangan pula penting bagi mengetahui falsafah perundangan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca