SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken telah mengadakan kunjungan rasmi ke rantau Asia Tenggara buat kali pertama semenjak Presiden AS, Joe Biden mengambil alih tampuk pemerintahan AS daripada Donald Trump pada awal... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken telah mengadakan kunjungan rasmi ke rantau Asia Tenggara buat kali pertama semenjak Presiden AS, Joe Biden mengambil alih tampuk pemerintahan AS daripada Donald Trump pada awal Januari 2021.

Ia merupakan sebahagian daripada strategi pentabiran Biden untuk memulihkan hubungan AS dengan negara-negara Asia Tenggara.

Sebelum ini, ketika pentadbiran Trump hubungan AS dengan rantau ini menjadi dingin. Pentadbiran Trump lebih tertumpu kepada hubungan dengan kuasa-kuasa besar seperti China dan Rusia.

Pelantikan beberapa jawatan duta besar AS ke rantau Asia Tenggara telah terbiar kosong ketika pentadbiran Trump dan beliau menunjukkan sikap dingin terhadap Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan menghantar wakil berstatus lebih rendah menghadiri persidangan ASEAN.

Maka tidak keterlaluan untuk menyifatkan pentadbiran Trump telah ‘menganaktirikan’ hubungannya dengan negara-negara Asia Tenggara.

Perkara ini telah memberi peluang kepada China untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan rantau ini khasnya melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.

Secara umumnya projek BRI boleh dikesan hampir di semua negara Asia Tenggara dalam bentuk pembinaan infrastruktur seperti pelabuhan, laluan kereta api dan lebuh raya. Selain itu, para pemimpin China seperti Menteri Luar China Wang Yi seringkali membuat kunjungan hormat ke negara Asia Tenggara.

Oleh demikian, pentadbiran Biden berpendapat sekiranya fenomena dibiar berterusan, pengaruh AS di rantau ini akan terkubur dan pergantungan terhadap China bertambah sehingga menjadi sebahagian daripada kawasan pengaruh Beijing.

Justeru, pentadbiran Biden telah mengatur beberapa langkah strategik untuk membina semula keyakinan para pemimpin di Asia Tenggara. Antaranya kunjungan rasmi pemimpin-pemimpin AS seperti Timbalan Presiden Kamala Harris pada Ogos ke Singapura dan Vietnam yang suatu ketika dahulu pernah menjadi musuh ketat AS.

Pemimpin-pemimpin kanan AS yang lain turut berkunjung rantau ini misalnya Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dan Timblan Setiausaha Negara Wendy Sherman. Terkini adalah Setiausaha Negara AS Anthony Blinken sendiri telah mengadakan lawatan ke Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Ketika berada di Jakarta, Indonesia beliau telah bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. Blinken telah membincagkan kepentingan kerjasama dalam kerangka Indo-Pasifik. Beliau telah tegaskan rantau Indo-Pasifik mesti bebas dan terbuka. Selain itu, beliau telah memperbaharui komitmen AS dengan sekutunya seperti Korea Selatan, Jepun, Filipina dan Thailand.

Blinken juga mengulangi pendirian kerajaan AS menolak tuntutan China terhadap seluruh Laut China Selatan dan komitmen AS untuk mempertahankan Taiwan.

Ketika Blinken berada di Kuala Lumpur beliau telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob di Parlimen dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifudin Abdullah. Antara isu yang menjadi perhatian adalah kerjasama AS-Malaysia dalam menghadapi pandemik Covid-19. Blinken telah mengulangi pendirian AS untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin kepada masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.

Isu Myanmar telah dibangkitkan di mana Blinken telah menegaskan Lima Point Konsensus ASEAN mesti dipatuhi. Selain daripada isu-isu rantau perkara bilateral turut dibincang antara Blinken dan Saifudin ini termasuk kerjasama AS-Malaysia seperti keselamatan, pelaburan AS di Malaysia, pembangunan insan.

Semasa di Kuala Lumpur Blinken juga ambil kesempatan untuk berjumpa dengan perwakilan daripada Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara, (YSEALI).

Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah kepada Setiausaha Negara AS. Sebelum ini, Mike Pompeo (2018), Rex Tillerson (2017), Hillary Clinton (2010) dan Condolezza Rice (2006) pernah membuat kunjung rasmi ke Kuala Lumpur. Ini jelas membuktikan Malaysia berada pada kedudukan penting dalam hubungan AS dengan rantau Asia Tenggara.

Pada tahun depan AS dijangkakan akan mengadakan suatu persidangan khas dengan para pemimpin ASEAN. Ini dapat ditaksir sebahagian daripada usaha AS untuk ‘memikat hati’ yang telah terlepas kepada China.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca