SHAH ALAM - Di sebalik bencana banjir kilat di Lembah Klang yang dianggap antara kejadian terburuk sejak tahun 2014, seorang pakar alam sekitar menggesa kerajaan negeri dan Pusat menghentikan budaya 'sudah terhantuk, baru terngadah' dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik bencana banjir kilat di Lembah Klang yang dianggap antara kejadian terburuk sejak tahun 2014, seorang pakar alam sekitar menggesa kerajaan negeri dan Pusat menghentikan budaya 'sudah terhantuk, baru terngadah' dalam menangani ancaman bah.

Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, meskipun pihaknya tidak menolak kewujudan faktor semula jadi, kerajaan juga tidak boleh mengenepikan faktor pelaksanaan pembangunan yang terlampau pesat tanpa mengambil kira sepenuhnya kemampuan daya tampung alam.

Jelas beliau, masalah utama dihadapi penduduk di kawasan Lembah Klang meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah peranan alam sekitar untuk mengurangkan kesan bencana di kediaman mereka telah dilangkaui oleh aktiviti pembangunan tidak terancang.

Dr Haliza

"Perubahan corak guna tanah drastik hasil pembangunan setempat yang terlalu pesat menyebabkan banyak kawasan tidak telap air yang meningkatkan kadar aliran uncak dan tidak menggalakkan penyerapan air larian ke dalam tanah secara semula jadi.

"Ditambah dengan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung air larian permukaan kerana tersumbat dengan sampah sarap dan kelodak hasil pembinaan atau kerja tanah di kawasan sekitar.

"Air daripada sistem saliran sama ada sungai semula jadi atau saliran perparitan mengambil masa lama untuk mengalirkan air hingga mengakibatkan mudah terjadi banjir kilat.

"Hal ini akan menjadi lebih buruk apabila berlaku kelemahan dalam penyelenggaraan sistem perparitan tidak sempurna," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas fenomena hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan banjir melanda banyak kawasan Selangor, dengan Klang dan Shah Alam menjadi antara daerah yang paling teruk terjejas.

Selain Selangor, negeri lain yang terjejas adalah Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan terkini Perak.

Media tempatan turut melaporkan lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang setakat pagi Ahad.

Mengulas lanjut, Haliza turut berpandangan kerajaan tidak boleh berterusan menyalahkan faktor cuaca semata-mata apabila mendepani kejadian banjir kilat luar biasa seakan-akan tragedi banjir di Kajang pada tahun 2014 ketika ini.

Sebaliknya, kerajaan perlu benar-benar serius dalam melaksanakan projek tebatan banjir sebagaimana negeri Selangor diberikan peruntukan antara tertinggi bagi tujuan itu menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan RMK12.

"Persoalannya, walaupun Selangor menerima peruntukan yang besar bagi tujuan pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri itu, mengapa masalah banjir kilat masih berulang?

"Perlu diingat, masalah banjir kilat di Lembah Klang bukan perkara baharu dan sentiasa berulang hampir setiap tahun. Kerajaan tidak boleh bersikap 'sudah terhantuk, baru tengadah' dalam membendung isu banjir kilat di negara ini," katanya.

Selain itu, Haliza turut mempersoalkan keberkesanan kerajaan dalam melaksanakan perkongsian maklumat antara agensi dalam usaha memberi amaran awal kepada penduduk terhadap kemungkinan berlaku banjir kilat, sekali gus merangka usaha mengekangnya.

Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir. - Foto Bernama

Ujarnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai entiti terpenting seharusnya memainkan peranan dengan lebih agresif, bukan sahaja dalam aspek penyaluran amaran awal kepada penduduk, bahkan dalam usaha memobilisasikan segera pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir terperangkap serta keputusan bekalan makanan.

"Namun kita lihat apabila Lembah Klang mula 'menangis' sejak Jumaat lalu, tindak balas agensi bertanggungjawab terutama Nadma dalam membantu mangsa banjir agak perlahan dan tidak begitu proaktif, walhal bencana banjir saban tahun berlaku di negara ini.

"Dengan masalah perubahan iklim yang menyebabkan cuaca semakin tidak menentu, sepatutnya Nadma bersama agensi kerajaan berkaitan perlu lebih bersiap siaga secara lebih tuntas dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana di negara ini.

"Punca banjir boleh dikenal pasti melalui kajian guna tanah dan perubahan guna tanah dengan analisis data banjir terdahulu daripada laporan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepatutnya boleh diguna pakai bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi banjir termasuk kekerapan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca