SHAH ALAM - Di sebalik data Kemaskini Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan Selangor berada pada tahap waspada, seorang pakar meteorologi menjangkakan fenomena banjir kilat di Lembah Klang bakal surut dalam tempoh 24 jam.
Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, unjuran itu dikemukakannya susulan fenomena air pasang besar berpunca daripada kejadian bulan penuh dijangka berakhir pada Isnin, sekali gus memberi ruang air bah yang terkepung di kawasan darat mengalir ke laut.
Jelas beliau, peristiwa banjir kilat di Lembah Klang pada kali ini juga menyerupai corak tercetusnya tragedi banjir besar ‘Bah Kuning’ yang menjejaskan sebahagian besar negeri Kelantan dan Terengganu pada tahun 2014, berdasarkan faktor tempias kehadiran taufan dan pada masa sama berlakunya air pasang besar.
"Banjir kilat melanda Lembah Klang ini ada kaitan dengan kehadiran Taufan Rai yang melalui Laut China Selatan dan menyebabkan berlakunya peningkatan taburan hujan empat kali ganda lebih banyak daripada biasa akibat tekanan rendah yang berlaku di tengah kawasan Semenanjung.
"Tekanan rendah ini yang menjana hujan secara besar-besaran. Sekiranya sekadar ribut petir biasa, hujan lebat hanya berlarutan selama beberapa jam sahaja.
"Selain itu, hujan lebat bukan sekadar turun di Lembah Klang sebaliknya di kawasan tanah tinggi di Banjaran Titiwangsa yang seterusnya memasuki sungai-sungai utama di Selangor sehingga melebihi paras bahaya.
"Lebih buruk, kehadiran air pasang besar yang menyebabkan air dari darat tidak dapat keluar. Saya berani katakan kesan fenomena banjir di Lembah Klang kali ini menyamai atau mungkin lebih buruk daripada banjir besar ‘Bah Kuning’ pada tahun 2014,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas fenomena hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan banjir melanda banyak kawasan Selangor, dengan Klang dan Shah Alam menjadi antara daerah yang paling teruk terjejas.
Selain Selangor, negeri lain yang terjejas adalah Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan terkini Perak.
Mengulas lanjut, Azizan turut menjangkakan kesan kerosakan harta benda yang diakibatkan oleh fenomena banjir kilat di Lembah Klang kali ini adalah jauh lebih teruk berbanding tragedi ‘Bah Kuning’ di Pantai Timur dan mungkin menelan kos kerugian lebih ratusan juta ringgit.
"Saya juga menolak tanggapan kerajaan lambat menyampaikan amaran awal berlaku banjir kepada rakyat dengan MET sudah melakukannya sejak permulaan berlakunya hujan lebat pada 17 Disember lalu.
"Cuma saya fikir maklumat itu tidak digembar-gemburkan kepada masyarakat umum secara lebih proaktif dengan Malaysia sewajarnya mencontohi inisiatif Hong Kong yang menyalurkan amaran awal bencana kepada rakyat dengan lebih agresif,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca