SHAH ALAM - Kerosakan akibat banjir yang melanda seluruh negara sejak Jumaat dianggar mencecah ratusan juta ringgit. Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, anggaran itu mengambil kira kepadatan penduduk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerosakan akibat banjir yang melanda seluruh negara sejak Jumaat dianggar mencecah ratusan juta ringgit.

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, anggaran itu mengambil kira kepadatan penduduk terutama di Lembah Klang selain skala banjir kali ini yang menjejaskan lebih banyak kawasan.

"Kalau lihat skala rumah tenggelam, ia melibatkan kawasan agak besar. Tentunya situasi ini membabitkan kerosakan alat elektronik rumah dan kereta. Banjir kali ini berlaku dalam keadaan mengejut.

"Selain itu, kita lihat ada juga sekolah, pasar raya serta infrastruktur yang terkesan. Mungkin ratusan juta ringgit kos kerosakan harta benda kerana melibatkan semua kawasan di Lembah Klang secara serentak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas mengenai bantuan diperlukan ketika ini, Dr Mohd Daud berkata, untuk peringkat awal, kerajaan perlu memastikan kecukupan bekalan makanan dan tempat perlindungan mangsa terlibat.

Katanya, bantuan selepas banjir pula perlu mengutamakan pemulihan infrastruktur utama rumah mangsa seperti pendawaian elektrik dan bekalan air bersih.

DR MOHD DAUD

"Ini kerana bila rumah tenggelam ini dan berlaku secara mengejut pula, banyak harta benda tidak dapat diselamatkan seperti barangan asas perabot dan alat elektronik seperti peti ais di samping pakaian anak dan keperluan sekolah. Ini melibatkan kos yang tinggi.

"Jadi, bantuan asas seperti ini termasuk sara hidup perlu diberikan perhatian oleh badan kebajikan kerajaan sendiri untuk tempoh tiga bulan bagi membantu mangsa banjir pulih dengan segera,” katanya.

Tambah beliau, pemulihan banjir kali ini juga dilihat lebih membebankan dari segi kewangan kerana mengambil kira situasi pendapatan masyarakat yang baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

Dr Mohd Daud berkata, untuk peringkat awal tidak termasuk bantuan jangka panjang, kos pemulihan setiap rumah mangsa dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya sudah mula menggerakkan pasukan untuk memberikan pertolongan kepada mangsa banjir di kawasan Lembah Klang selain bantuan yang dimulakan di pantai timur sejak minggu lepas.

Menurutnya, untuk musim banjir kali ini, MRA setakat ini telah mengumpulkan dana sebanyak RM200,000 dan memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan bantuan dari segi logistik bagi menggerakkan bantuan terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca