APA yang bermula dengan hajat keluar rumah untuk mengambil kerusi perabot dan makan tengah hari di U16 di Shah Alam, Selangor pada Sabtu, akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri. Penulis terperangkap hampir 24 jam di tengah-tengah flyover... Klik di sini untuk terus membaca

APA yang bermula dengan hajat keluar rumah untuk mengambil kerusi perabot dan makan tengah hari di U16 di Shah Alam, Selangor pada Sabtu, akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri.

Penulis terperangkap hampir 24 jam di tengah-tengah flyover Batu 3, Shah Alam kerana banjir teruk di Shah Alam.

Malah, hujan lebat yang turun tidak henti-henti selama dua hari di Lembah Klang juga menyebabkan jutaan penduduk lain berdepan dengan pelbagai kisah duka dan sengsara angkara banjir besar.

Lebih menyayat hati, ramai yang berdepan situasi cemas apabila rumah, kenderaan dan segala harta benda musnah ditenggelami air banjir.

Penulis menyaksikan dengan mata kepala sendiri tragedi cemas ini saat memandu kereta dari U16 menuju pulang ke Seksyen 22.

Penulis sudah tidak sedap hati apabila sekitar jam 1 tengah hari, aplikasi Waze sudah mula ‘pening’ apabila beberapa kali bertukar-tukar route laluan balik ke Seksyen 22.

Selepas beberapa kali membuat pusingan U, Waze akhirnya menunjukkan laluan alternatif lain melalui Jalan U8 sebelum ke TTDI Jaya. Laluan tersebut masih boleh dilalui tapi penulis sudah mula bimbang apabila melihat sebuah taman perumahan yang rendah betul-betul di depan Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya sudah tenggelam teruk.

Air banjir naik sehingga menutup separuh kedai, sebuah kereta BMW pula hanya nampak bumbung dan bas kilang warna biru juga hanya nampak separuh.

Walaupun sudah tiga tahun bekerja di Shah Alam, tapi penulis baru sebulan tinggal di ibu negeri Selangor ini menyebabkan penulis kurang arif dengan situasi banjir di sini.

Sebaik memasuki Jalan Subang berselahan Management and Science University (MSU) apa yang paling ditakuti akhirnya menjadi kenyataan. Dari tepi jalan sebelah kiri sudah nampak air dari Sungai Damansara bersebelahan MSU mula melimpah masuk ke Jalan Subang.

Hati nekad pada waktu itu, kalau jalan depan kilang gula menuju ke rumah penulis di Seksyen 22 ditutup, penulis akan masuk ke Lebuhraya Persekutuan untuk ke pejabat Sinar Harian di Seksyen 15.

Namun, sebaik naik di flyover Batu 3 antara Seksyen 13 dan Seksyen 22 itu, kenderaan penulis sudah terperangkap di situ.

Lebih 50 buah kereta terperangkap di dalam banjir besar berdekatan Batu 3, di Lebuhraya Persekutuan.

MULA TERKEPUNG

Beberapa rider Grab Food tanpa mempedulikan hujan lebat membantu polis menyusun kon menutup jalan masuk jalan ke Seksyen 22.

"Tak boleh lalu bang, tak boleh lalu air dah naik di Seksyen 22. Lori pun belum tentu lepas,” kata seorang rider Grab Food.

Hati yang makin gundah, terus membelok ke kanan dan pada ketika itu tiada apa lagi yang dapat dilakukan selain memberhentikan kereta di bahu jalan di flyover Batu 3. Ini kerana kereta-kereta lain di depan penulis sudah tidak dapat masuk menuju ke Lebuhraya Persekutuan.

Hujan lebat menyebabkan Sungai Damansara semakin deras ‘memuntahkan’ air masuk ke Lebuhraya Persekutuan.

Sekitar jam 3 petang, penulis sempat membuat lintas langsung untuk memaklumkan kepada pembaca dan pelayar online Sinar Harian mengenai keadaan semasa di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan.

Namun, hujan yang tidak berhenti-henti dan air semakin naik menyebabkan situasi cemas apabila kira-kira 50 kereta dan 10 buah lori serta treler tidak boleh bergerak langsung betul-betul di kawasan Batu 3, lebuh raya itu.

Kami yang berada di atas flyover semakin berdebar melihat mangsa itu yang terkepung dek air sungai melimpah di lebuh raya. Sekitar jam 6 petang, akibat air yang mula meninggi hingga ke paras tayar kereta, anggota bomba yang berada di situ mengerahkan semua orang meninggalkan kenderaan masing-masing dan naik menyelamatkan diri di kawasan flyover.

Memang menyayat hati, saat melihat ibu-ibu mengharung arus deras mengendong anak-anak kecil. Ada seorang lelaki warga emas bersendirian bertanya kepada penulis ke mana lagi dia mahu berlindung diri dalam keadaan hujan.

Penulis mencadangkan kepadanya agar berjalan sekitar 500 meter menuju ke Kondominium Puri Aiyu kerana beberapa rider Grab Food memaklumkan di situ ada kedai makan, serbaneka dan sebuah hotel yang masih dibuka.

Sebuah NGO menyediakan sampan bagi membantu penduduk di empat buah kondominium di Seksyen 22 pulang ke rumah.

Sekitar jam 8 malam, kami rata-rata perlu menerima hakikat bahawa banjir di Lebuhraya Persekutuan tidak ada tanda-tanda akan surut.

Semakin ramai yang meninggalkan kawasan flyover menuju ke arah kondo Puri Aiyu untuk mengisi perut dan ke tandas, walaupun ada ramai juga melepaskan hajat kecil di celah-celah pokok dan di dalam botol sahaja.

Penulis sendiri dan rakan sekitar jam 10 malam berjalan ke kondo Puri Aiyu untuk membeli minuman dan sempat membungkus mi goreng.

Sayu hati melihat ramai duduk dan terbaring tidur di kaki lima kedai-kedai di situ kerana bilik hotel sudah penuh.

Selesai membuat satu lagi lintas langsung sebelah malam, penulis dan rakan mengambil keputusan tidur di dalam kereta.

Agak ralat hati tidak dapat mempelawa mangsa-mangsa lain yang tidur di bawah lori atau duduk bersandar di tembok flyover kerana kereta penulis dipenuhi barang.

Jam 3 pagi mata penulis baru lelap kerana risau hujan yang masih turun menyebabkan air naik hingga ke kereta penulis. Keesokannya, jam 7 pagi hati sedikit gembira apabila air banjir tidak setinggi malam Sabtu.

Namun, selepas hampir 24 jam sudah terperangkap di flyover Batu 3, penulis nekad berjalan kaki menuju ke Seksyen 22 untuk pulang ke rumah. Mujur, walaupun laluan masuk ke kawasan kediaman penulis setinggi paras dada, ada NGO yang menghulurkan bantuan menyediakan sampan untuk membantu penduduk pulang ke rumah masing-masing.

"Sampan, pun sampanlah, janji selamat sampai rumah,” kata penulis kepada rakan.

* Zamri Rambli ialah Pengarang Berita Premium Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca