PROJEK pembinaan Masjid Al-Rahman di Baghdad yang boleh memuatkan seramai 15,000 jemaah dan dibina ketika pemerintahan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein pada tahun 1990an tidak pernah siap sehingga sekarang.
Sebaliknya, bangunan konkrit berwarna kelabu yang sudah separuh siap dan berdiri di tengah-tengah Baghdad itu adalah sebagai bukti berlakunya perselisihan mazhab dan politik dalam sejarah moden Iraq.
Ketika era Saddam, ia dijangka menjadi salah sebuah masjid yang terbesar di Timur Tengah apabila siap sepenuhnya.
Masjid itu dibina pada tahun 1990-an ketika Iraq menghadapi sekatan Barat kerana negara tersebut melakukan pencerobohan tentera ke atas Kuwait.
Namun, impian untuk melihat masjid itu siap sepenuhnya musnah berikutan pencerobohan tentera yang diketuai AS ke atas Iraq pada tahun 2003 atas alasan Baghdad memiliki senjata besar-besaran.
Sepatutnya, masjid itu yang mempunyai sebuah kubah seramik keemasan setinggi 84 meter dan besar telah menjadi ruang solat utama pada hari ini.
Di sekitar kubah utama itu, terdapat lapan kubah setinggi 28 meter masing-masing diapit oleh lapan kubah yang lebih kecil.
Beberapa kren kelihatan di masjid itu yang menghadap daerah Mansur di Baghdad.
"Sayangnya, kami telah mengabaikan warisan negara," kata arkitek dan profesor sebuah universiti, Mohamed Qassem Abdel Ghaffour kepada AFP.
"Projek ini adalah milik semua rakyat Iraq, kita harus memanfaatkan warisan ini dan mengubahnya menjadi lokasi budaya dan pelancongan," tambahnya.
"Semua ini adalah (daripada) wang Iraq dan negara mesti mendapat keuntungan daripadanya," ujar Mohamed Qassem lagi.
Walaupun pada awalnya dibina sebagai masjid untuk golongan Sunni, ia kemudiannya diambil alih oleh ulama Syiah setelah kejatuhan Saddam.
Hari ini, ia adalah simbol perpecahan antara Syiah dengan Sunni.
Golongan Syiah menjadi kekuatan politik yang dominan di Baghdad setelah puluhan tahun dipinggirkan di negara Arab itu yang majoritinya penduduk Syiah.
"Setelah kejatuhan rejim lama, masjid itu berada di bawah kawalan Parti Kebajikan Islam," kata seorang pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya didedahkan kepada AFP.
"Parti itu tidak pernah menyiapkan pembinaan itu kerana kosnya sangat besar," tambahnya.
Saddam mahukan sebuah masjid yang lebih besar daripada Taj Mahal, dakwa pegawai berkenaan.
Taj Mahal di Agra, India dibina antara tahun 1630an dan 1640an oleh Maharaja Shah Jahan bagi memperingati isterinya, Mumtaz Mahal yang telah meninggal dunia.
Dalam pada itu, Parti Kebajikan Islam telah menyekat rancangan pemerintah untuk menjadikan masjid itu sebagai sebuah universiti atau muzium, kata pegawai tersebut.
Walaupun pengambilalihan masjid oleh parti itu dianggap tidak rasmi namun anggota-anggotanya mengadakan solat pada setiap hari Jumaat pada waktu tengah hari di bawah salah satu kubahnya.
Bagaimanapun, kira-kira 150 keluarga telah tinggal selama bertahun-tahun di rumah-rumah sementara di kawasan kosong di sekitar masjid tersebut.
Pada Januari 2020, sebuah mahkamah mengiktiraf masjid tersebut diuruskan oleh wakaf Syiah iaitu sebuah institusi yang menguruskan harta masyarakat Islam.
Pihak wakaf itu menuduh parti tersebut telah menduduki masjid tersebut selama lebih 16 tahun tanpa kesahihan undang-undang atau agama.
Ekoran keputusan itu, Parti Kebajikan Islam diminta membayar pampasan AS$200 juta (RM842.60 juta), menurut kenyataan dari pihak wakaf berkenaan.
Namun, keputusan mahkamah berhubung masjid itu belum lagi dikuatkuasakan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca