APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kabinet pada 27 Ogos lalu, beliau telah menetapkan agar setiap kementerian membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.
Menurut beliau lagi, barisan kabinet perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan dengan berorientasikan tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah selain mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Dari aspek pertahanan negara ia jelas mengecewakan. Ini terutamanya dalam merealisasikan keperluan dan kehendak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tonggak utama mempertahankan kedaulatan negara.
Program utama untuk memperoleh aset yang dianggap kritikal untuk ketiga-tiga cabang ATM jelas sekali jauh tersasar dari tempoh masa yang ditetapkan. Tiga program utama yang menonjol adalah, pertama, perolehan kapal Litoral Combat Ship (LCS) atau kapal tempur pesisir pantai untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kedua, Multi Role Combat Aircraft (MRCA) atau pesawat tempur pelbagai peranan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ketiga, helikopter ringan MD 530G untuk Tentera Darat (TD).
Program perolehan LCS boleh dianggap sebagai tunjang kepada strategi baharu TLDM yang dinamakan 15 to 5. Program ini bertujuan mengehadkan jenis platform dimiliki negara tanpa mengorbankan kemampuan operasi angkatan laut tersebut.
Kementerian Pertahanan pada 2011 telah mengumumkan pemberian kontrak bernilai RM9 bilion kepada sebuah firma tempatan bagi menyiapkan enam buah kapal utama yang dijangka bakal diserah pada tahun 2023.
Malangnya menjelang berakhirnya tahun 2021, tiada sebuah LCS dapat disiapkan dan setelah melalui pelbagai kemelut, termasuk kemungkinan membatalkan program tersebut, akhirnya kerajaan mengambil langkah meneruskan pembinaan kapal ini. Pada bulan lalu, Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa kapal pertama akan hanya siap pada 2025.
Program MRCA pula mula diperkatakan sejak tahun 2011 dengan TUDM mempunyai keperluan sehingga 36 buah pesawat dari jenis tersebut. Setiap kali pameran udara LIMA, pesawat-pesawat seperti Typhoon, Rafale dan Gripen menggegarkan ruang udara Langkawi.
Namun pada Jun 2017, TUDM dilihat lebih cenderung mendapatkan pesawat rondaan maritim apabila kemungkinan mendapatkan peruntukan dari kerajaan bagi perolehan MRCA semakin sukar.
Kesemua ini sebenarnya terangkum dalam Pelan Perancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau lebih dikenali sebagai Capability Development 55 (CAP55). Fokus TUDM pada tahun 2018 kemudiannya beralih pula kepada pesawat latihan dan tempur ringan atau FLIT-LCA (Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft) apabila ia telah memohon peruntukan mendapatkan 18 pesawat jenis ini melalui pendaftaran projek baharu 2021.
Pada tahun 2016, Kementerian Pertahanan bersetuju untuk memperoleh enam buah pesawat helikopter ringan dari jenis MD-530G buatan firma dari Amerika Syarikat untuk TD. Mengikut kontrak yang dimeterai, pesawat sepatutnya dihantar dalam dua fasa, iaitu dua buah pada Julai 2017 dan empat lagi pada Disember 2018.
Malangnya sehingga penghujung tahun 2020, tiada sebuah pun helikopter telah diterima.
Pada Februari tahun ini, Panglima TD, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyatakan bahawa pihak PUTD bakal menerima pesawat-pesawat bernilai RM321.9 juta tersebut menjelang Ogos.
Apabila Ogos berlalu dan kelibat pesawat masih belum kelihatan, pada pertengahan bulan September lalu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Afendi Buang menjelaskan bahawa helikopter MD-530G sedang melalui proses pemeriksaan akhir sebelum penerimaan dan pesawat dijangka tiba penghujung tahun ini.
Pada 9 Disember lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri ikmal Hisham Abdul Aziz pula mengumumkan kepada Dewan Rakyat bahawa helikopter milik PUTD ini akan hanya diterima pada suku pertama tahun hadapan.
Apabila diimbas kembali tiga prinsip yang disebut Perdana Menteri dalam menilai pencapaian, jelas dalam sektor pertahanan negara ia boleh dianggap amat minimum.
Adalah sukar untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat jika program-program kritikal untuk mempertahankan kedaulatan negara tidak diambil berat.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca