KEJAYAAN Gabungan Parti Sarawak menang di 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 Sabtu lalu, bukan hanya satu kemenangan luar biasa dan bersejarah, malah bagaikan memberi satu mesej kepada parti-parti politik.
Kemenangan itu adalah bukan hanya terbesar dalam sejarah diperoleh parti pemerintah sejak PRN Sarawak pertama diadakan kira-kira 52 tahun lalu, malah mengatasi rekod cemerlang dicipta semasa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan di era Tun Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, sebelum ini.
Ini membolehkan Ketua Menteri Sarawak sekarang, Tan Sri Johari Abang Openg sudah keluar daripada bayangan Adenan dan Tun Taib dengan memperoleh mandat besar daripada rakyat Sarawak atas usaha dan kepimpinannya sendiri.
Pemilihan GPS juga menunjukkan rakyat Sarawak mengambil langkah selamat serta mahukan kestabilan dan bimbang krisis politik seperti berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri seperti di Melaka dan Perak, sebelum ini, berulang di Sarawak.
Malah, kemenangan luar biasa itu memberi gambaran bahawa tiada alasan kukuh untuk Perikatan Nasional (PN) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menuntut sebarang kerusi Parlimen daripada GPS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, berkata faktor utama kemenangan luar biasa dicatatkan GPS pada PRN Sarawak kali ini bukan hanya berpunca daripada perpecahan undi kerana terlalu banyak parti pembangkang dan calon bertanding, sehingga menyebabkan pertembungan banyak penjuru.
Malah, Jeniri berkata, kemenangan GPS juga dipengaruhi oleh dasar diamalkan kerajaan negeri sekarang termasuk 110 inisiatif dilaksanakan menyentuh pelbagai bidang termasuk sosio ekonomi yang berjaya menyentuh hati sanubari masyarakat Sarawak khususnya pakej bantuan Sarawakku Sayang berjumlah RM5.3 bilion.
"Kemenangan GPS berkenaan juga adalah manifestasi kemarahan rakyat Sarawak terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana gagal menunaikan janji manis dibuat semasa pilihan raya umum ke-14 lalu dan ketika mereka memerintah di Putrajaya selama 22 bulan.
"Saya juga percaya kejayaan ini juga dipengaruhi oleh 34 perkara yang menjadi janji dan tekad terkandung dalam tawaran manifesto GPS, iaitu kesinambungan daripada pelbagai inisiatif dilaksanakan sebelum ini yang berjaya menambat hati rakyat berbanding janji pilihan raya dibuat pembangkang," katanya kepada wartawan Sinar Premium pada Isnin.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, pihak pembangkang pula dilihat tidak konsisten dan tiada manifesto yang jelas serta dengan lebih gemar membangkitkan isu perkauman termasuk mencetuskan sentimen Dayakisme dan usaha membawa Sarawak keluar dari Malaysia.
Bagaimanapun, Jeniri menegaskan usaha dilakukan parti pembangkang terutama DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkenaan bukan hanya tidak diterima oleh rakyat Sarawak, malah mereka menunjukkan dengan memberi undi dan kemenangan besar kepada GPS dalam PRN kali ini.
"Saya juga memang sudah menjangkakan ramai calon pembangkang terutama dari PKR dan Amanah akan hilang wang pertaruhan," katanya.
Justeru itu, Jeniri berkata, dengan mandat cukup besar adalah tidak logik bagi PN terutama Bersatu untuk menuntut mana-mana kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15 nanti.
"Saya juga percaya GPS akan mendapat mengekalkan momentum dan mencatatkan kemenangan besar jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat jika tiada isu besar timbul," katanya.
Malah, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen sendiri mengakui kekalahan mereka dalam PRN Sarawak kali ini adalah mimpi buruk buat gabungan parti pembangkang bertekaan.
Ini kerana mereka hanya menang dua daripada 82 kerusi ditandingi mereka dalam PRN Sarawak ke-12, itu menerusi kemenangan Chieng Jen di Padungan dan Violet Wong di DUN Pending.
Keadaan itu adalah rekod terburuk berbanding pada PRN Sarawak ke-11 pada 2016, di mana DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR menang tiga kerusi.
Klik di sini untuk terus membaca