PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menentang pemikiran ekonomi ortodoks sebagai sebahagian daripada 'perang kemerdekaan ekonomi' dan menentang kadar faedah yang tinggi bagi mengekang inflasi yang menjejaskan kuasa beli penduduk... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menentang pemikiran ekonomi ortodoks sebagai sebahagian daripada 'perang kemerdekaan ekonomi' dan menentang kadar faedah yang tinggi bagi mengekang inflasi yang menjejaskan kuasa beli penduduk negaranya.

Ini adalah kerana nilai mata wang negara tersebut, lira jatuh hampir 50 peratus berbanding dolar sejak awal November lalu dan kadar inflasi yang meningkat kepada 21.31 peratus pada bulan November dengan ramalan ia akan meningkat pada bulan ini.

Pada tahun 2011, harga pengguna mencapai sekitar empat peratus tetapi inflasi terus meningkat sejak tahun 2017.

KRISIS

Krisis mata wang itu telah mendorong ramai warga Turki berada di bawah paras kemiskinan rasmi dan ratusan orang pula turun ke jalanan bagi menunjukkan protes terhadap dasar kewangan kerajaan di Ankara dan Istanbul baru-baru ini.

Sebelum ini terdapat kebimbangan bahawa Turki perlu melaksanakan kawalan modal selepas kejatuhan lira tetapi Erdogan menolak spekulasi itu.

Bank Pusat Turki telah berjaya menurunkan kadar faedah kepada 14 peratus daripada 19 peratus manakala para diplomat berpendapat bahawa jika terdapat pertumbuhan ekonomi di negara berkenaan, ia akan membantu melanjutkan lagi pemerintahannya melalui pilihan raya yang dijangka diadakan menjelang pertengahan 2023.

Presiden Turki itu juga telah meletakkan penyokong setianya berkhidmat di Bank Pusat yang berkongsi visinya iaitu kos pinjaman tinggi akan menyebabkan kenaikan inflasi.

Menurut AFP, sejak tahun 2019, beliau telah menyingkirkan tiga gabenor Bank Pusat yang menentang hasratnya untuk menurunkan kadar faedah.

Kebanyakan bank pusat di seluruh dunia menaikkan atau mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar faedah untuk mengelakkan gelombang inflasi yang disebabkan oleh faktor-faktor berkaitan dengan pandemik Covid-19.

Justeru, Erdogan telah meminta kadar faedah yang lebih rendah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan pengeluaran serta meningkatkan eksport Turki.

Bagaimanapun, tindakan Erdogan itu turun memberi kesan kepada kenaikan inflasi apabila data bulanan menunjukkan kadar inflasi tahunan mencecah 21.31 peratus pada bulan lalu iaitu lebih empat kali ganda daripada sasaran kerajaan.

Pecahan rasmi menunjukkan harga roti dan beberapa produk meningkat antara 30 dan 50 peratus pada tahun lalu.

PARAS TERENDAH

Angka-angka itu dan pandangan daripada agensi penarafan Fitch dari Amerika Syarikat (AS) telah mendorong lira kembali ke paras terendah.

Mata wang Turki telah kehilangan lebih daripada 45 peratus nilainya berbanding dolar sejak awal tahun ini.

Namun, Ketua Pembangkang Turki, Kemal Kilicdaroglu pernah menuduh agensi perangkaan negara tersebut 'mereka-reka' nombor dalam statistik bagi menyembunyikan kesan sebenar dasar kerajaan terhadap kehidupan seharian.

Beberapa ahli ekonomi juga mula mempersoalkan kebolehpercayaan data rasmi yang dikeluarkan olek kerajaan Turki.

Angka yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan harga pengguna untuk bulan lepas meningkat sebanyak 3.5 peratus daripada yang dicatatkan pada bulan Oktober.

Erdogan yang menjadi Presiden Turki sejak tahun 2014 telah menerima peletakan jawatan Lutfi Elvan sebagai Menteri Kewangan selepas lebih setahun beliau memegang jawatan tersebut kerana krisis ekonomi yang semakin memburuk dan tidak bersetuju dengan Erdogan berhubung pengurusan ekonomi.

Beliau kemudian melantik timbalan Elvan, Nureddin Nebati sebagai Menteri Kewangan baharu pada awal bulan ini.

Elvan yang memegang jawatan itu sejak November 2020 dilantik ke jawatan tersebut selepas peletakan jawatan menantu Erdogan, Berat Albayrak.

Bagaimanapun, Erodogan dalam ucapannya di televisyen baru-baru ini menyatakan bahawa kepercayaan Islamnya telah menghalang beliau daripada menyokong kenaikan kadar faedah.

Sebagai seorang Muslim, saya akan terus melakukan apa yang agama kita suruh. Ini perintahnya, kata beliau. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca