SEKTOR pelancongan adalah antara pemacu terpenting dalam ekonomi negara. Pada 2019, sektor ini menyumbang 15.9 peratus KDNK negara.
Memandangkan pintu masuk negara belum dibuka kepada pelancong luar, kerajaan melaksanakan gelembung pelancongan tempatan. Ia bertepatan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong, menyemarakkan pelancongan domestik dan mengenal pasti produk serta meningkatkan penawaran lebih kreatif dengan memaksimumkan sumber sedia ada.
Kebimbangan terhadap ‘jangkitan’ Covid-19 telah mengubah minat pelancong tempatan untuk melancong dan meneroka lokasi pelancongan yang kurang sesak dan selamat untuk keluarga masing-masing.
Maka, keunikan biodiversiti dan alam semula jadi dalam negara menjadi tarikan. Antara destinasi popular adalah menerokai Gua Mulu di Sarawak; merentas Titi Gantung Lembah Danum, Sabah; menghirup teh dan menikmati strawberi di Cameron Highlands, Pahang serta menyelam bersama penyu di Pulau Perhentian, Terengganu.
Namun, timbul kebimbangan tempat-tempat pelancongan semula jadi akan berdepan dengan fenomena overtourism terutamanya apabila strategi pengurusan pengunjung tidak berfungsi dengan baik. Akibatnya kawasan pelancongan yang dikategorikan sebagai sensitif seperti tanah tinggi, pinggir pantai dan pulau dikhuatiri terganggu, tercemar dan merosot dari segi kualitinya.
BUANG SAMPAH
Pelancongan yang gagal mempraktikkan kelestarian membawa kesan negatif terhadap alam sekitar. Perkara ini berlaku apabila industri pelancongan melampaui halangan undang-undang dan batasan etika untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan, seterusnya berpotensi mengakibatkan kemusnahan alam sekitar.
Pelancong yang tidak bertanggungjawab pula sering mengganggu gugat tempat-tempat pelancongan yang dikunjungi. Antaranya membuang sampah dalam jumlah yang besar merata-rata tanpa sekelumit rasa bersalah sedangkan pelupusan sisa atau sampah merupakan masalah besar dalam persekitaran semula jadi terutama plastik pakai-buang, bekas makanan polistrena serta botol minuman.
Keadaan infrastruktur dan kegiatan pelawat yang tidak diuruskan secara lestari melalui aktiviti pelancongan juga boleh menyebabkan tekanan dan kesan negatif terhadap sesebuah kawasan alam semula jadi. Peningkatan dan pertambahan jumlah pelancong akan menyebabkan pencemaran alam sekitar di kawasan tersebut.
Perkembangan pelancongan yang tidak terkawal di pulau-pulau seperti Mantanani dan Mabul (di Sabah) adalah contoh yang baik untuk mengetahui kesan-kesan perkembangan pelancongan terhadap ekosistem laut dan implikasi terhadap penduduk pulau.
Di Mantanani, bilangan pelancong meningkat kepada 3,000 sehari (meningkat daripada 50 sehari hanya 8 tahun yang lalu), dan kajian terumbu karang membuktikan peningkatan kerosakan ekosistem laut daripada kapal, perenang snorkel dan penyelam.
Bekalan air tawar terganggu akibat daripada peningkatan penyaluran air untuk pelancong. Di Mabul, di mana bilangan resort masih meningkat, pengurusan sampah adalah satu masalah yang serius.
Hutan juga merupakan satu kawasan yang dijadikan habitat utama kepada haiwan untuk membentuk lingkungan populasi, tetapi akibat daripada gangguan manusia seperti aktiviti pelancongan ini menyebabkan pelbagai spesies juga turut terganggu.
Pelancongan tidak mungkin berlangsung tanpa kewujudan sumber asli dan alam sekitar. Maka, sumber alam semula jadi mesti diangkat sebagai modal sejagat yang perlu dipelihara dan dipulihara demi kelangsungan sektor pelancongan.
Alam semula jadi bersifat rapuh, kaedah pengurusan yang tidak cekap untuk melindungi alam sekitar boleh menyebabkan sistem sokongan yang penting seperti tumbuhan dan haiwan untuk kelestarian pelancongan berteraskan alam semula jadi terjejas.
Masyarakat terutamanya pengunjung perlu dididik untuk menghargai dan memulihara alam semula jadi.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca