SEKALI lagi rakyat Malaysia pelbagai kaum mengalami ujian hujan lebat di Lembah Klang pada waktu menjelang tengah malam Sabtu 18 Disember 2021 dan bersambung hingga dinihari Ahad 19 Disember.Akibatnya ialah satu banjir besar yang sangat... Klik di sini untuk terus membaca

SEKALI lagi rakyat Malaysia pelbagai kaum mengalami ujian hujan lebat di Lembah Klang pada waktu menjelang tengah malam Sabtu 18 Disember 2021 dan bersambung hingga dinihari Ahad 19 Disember.

Akibatnya ialah satu banjir besar yang sangat buruk melanda semua daerah lembah dan tanah rendah. Sementara itu air deras semua sungai besar dan kecil melimpah ruah melewati tebingnya.

Di tengah-tengah kegelapan malam, mereka yang berada di tanah tinggi mula membantu mereka yang menjadi mangsa dan pemandiri (survivors) banjir di tanah rendah. Banyak keluarga di Lembah Klang yang terkesan secara langsung dan banyak lagi keluarga yang mempunyai sanak saudara serta sahabat handai yang terkesan secara tidak langsung.

Bantuan kewangan diperlukan bersekali dengan bantuan fizikal untuk pembersihan dan menangani kerosakan pada bangunan dan tempat tinggal. Banjir yang menghanyut dan memusnahkan harta benda yang musnah dan hilang seolah-olah membawa sama sebahagian daripada hayat pemandiri banjir.

Mereka yang dibantu berada dalam keadaan sangat rentan (vulnerable) kepada pelbagai penyakit fizikal serta tekanan psikologikal. Di sudut kepercayaan dan spiritual, mungkin ada yang memarahi Tuhan yang telah mengizinkan bencana ini meranapkan kehidupan mereka.

Bantuan dan pemantapan psikososial dan psikospiritual diperlukan serta merta oleh pemandiri banjir pelbagai usia, kaum dan kepercayaan. Ini sementara mereka membina kembali sebahagian daripada kehidupan mereka dengan bantuan fizikal dan kewangan.

Kita yang tidak mengalami bencana ini secara langsung mestilah berhati-hati bila mendakwa bahawa kita mempunyai empati terhadap mereka yang dirundung malang. Bagaimanapun kita rasa kita memahami kenestapaan para pemandiri bencana, banyak sudut perasaan serta pengalaman mereka yang tidak boleh kita amati dan rasai.

Trauma

Para pemandiri bencana, khususnya mangsa banjir, mengalami berbagai-bagai perasaan yang jika dibiarkan berlarutan akan menjadi berbahaya. Antaranya ialah perasaan bimbang, murung, kecewa, terperanjat, takut dan panik. Dalam suasana malang ini rasa stres beriringan dengan rasa kehilangan.

Pada kebiasaannya, hujan malam menambah rasa tenang dan rasa dingin yang menyelubungi tubuh. Jika stres trauma banjir dibiarkan tanpa perhatian dan rawatan, bunyi hujan malam yang sepatutnya menenangkan itu akan menjadi pencetus kepada imbas kembali (flashback) pengalaman banjir yang meremukkan perasaan. Penyakit mental yang bernama kecelaruan stres pascatraumatik boleh berlaku jika jiwa yang rentan tidak diberi perhatian.

Ini disebut oleh para pemandiri tsunami Aceh kepada kami yang berusaha untuk menyampaikan bantuan kepada mereka di negeri rencong itu hampir 17 tahun dahulu. Mereka berkata bahawa bila mereka mendengar bunyi hujan, mereka takut tsunami akan kembali. Walhal sewaktu tsunami membantai pantai Aceh, cuaca pagi Ahad 26 Disember 2004 itu sangat baik.

Di tengah-tengah kesedihan, kerosakan dan rasa malang, ada harapan. Harapan datang dalam pelbagai bentuk. Keluarga dan komuniti memainkan peranan yang sangat penting.

Dengan budi tinggi, mereka di tanah tinggi membantu pemandiri banjir mengukuhkan kebingkasan (resilience) diri serta menyuburkan harapan dalam menghadapi dugaan hidup yang amat mencabar ini.

Berulang-ulang kali kita membaca kapsyen foto dan video yang dikirim oleh pemandiri banjir ke media sosial yang sarat dengan mesej kepasrahan kepada Tuhan. Dengan jelas mereka mengimani akan inayah Ilahiah yang akan tiba sebagai natijah doa dan usaha mereka utnuk meneruskan hayat.

Moga ALLAH ar-Razzāq, Tuhan Pemberi Rezeki memberkati semua pemandiri banjir dan mereka yang membantu mereka.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca