ADA budak-budak yang tak suka main hujan? Kalau tak ada sekalipun, ia tentunya bukan disebabkan mereka tidak suka hujan tetapi mungkin sebab tidak suka dimarahi ibu bapa. Memang selalunya ibu bapa tidak suka anak-anak bermain hujan. Mereka... Klik di sini untuk terus membaca

ADA budak-budak yang tak suka main hujan? Kalau tak ada sekalipun, ia tentunya bukan disebabkan mereka tidak suka hujan tetapi mungkin sebab tidak suka dimarahi ibu bapa.

Memang selalunya ibu bapa tidak suka anak-anak bermain hujan. Mereka main hujan tak apa, anak-anak tak boleh. Hmm...

Seperti kanak-kanak lain, saya juga suka main hujan. Lebih lebat hujan, lebih seronok. Keseronokan itu akan menjadi lebih berganda jika masa itu emak dan abah tiada di rumah. Apa lagi bermaharajalelalah saya.

Antara bahagian paling seronok adalah mandi air hujan di cucur atap atau di pancuran yang menjadi laluan air mengalir deras dari bumbung. Memang seronok sangat. Kadang-kadang sengaja mengangakan mulut menadah air mencurah turun. Tidak terfikir langsung air itu mungkin membawa bersamanya tahi cicak, tahi lipas, tahi tikus dan sebagainya.Perkara lain yang menyeronokkan tentulah dapat bergomol dengan kawan-kawan dalam lebat hujan. Tidak perlu fikir tentang rumput atau lumpur melekat di badan kerana air hujan akan membersihkannya secara automatik.

Sekali sekala berlaku banjir kecil. Seronoknya tidak terkata apabila dapat mengharung air. Lebih seronok lagi menyepak-nyepak air itu ke arah kawan-kawan. Untuk menambahkan keseronokan, kami buat kapal layar daripada kertas, kemudian hanyutkan biar dibawa arus. Apa faedahnya, saya pun tidak tahu tetapi biasalah, kerja yang tidak berfaedah selalunya seronok.

Bagi sesetengah kawan saya terutama yang rumahnya jauh dari sekolah, hujan turut membawa keseronokan lain. Mereka mempunyai alasan untuk lambat ke sekolah. Malah, kalau hendak ponteng pun boleh jadikan hujan sebagai kambing hitam.

"Pakaian saya habis basah kena hujan cikgu. Yang sepasang lagi emak basuh kelmarin, semalam tak sempat kering.”Saya tidak pernah menjadi guru tetapi saya yakin ada guru pernah mendengar alasan di atas berpuluh kali. Yang beratus kali pun mungkin ada.

Walaupun nasib saya tidaklah ‘sebaik’ kawan-kawan yang berpeluang datang lambat dan ponteng sekolah itu, namun saya tetap suka jika hujan turun. Lebih-lebih lagi jika terjadi banjir kecil. Ada semacam keseronokan bersekolah pada musim hujan dan banjir.

Pertama, sejuk dan kedua, guru-guru tidaklah beria-ia sangat mengajar. Mungkin kesejukan mengubah ‘mood’ mereka.

Tetapi minat saya terhadap hujan dan banjir berubah apabila mula bermotosikal semasa di universiti dan kemudiannya mula bekerja. Sentiasa sangat saya berdoa supaya hujan jangan turun, sekurang-kurangnya sehingga saya sampai di rumah. Hanya yang biasa melaluinya akan tahu betapa seksanya menunggang motosikal di tengah hujan lebat, apatah lagi jika terpaksa meredah banjir.

Kalau bernasib baik dapat berteduh di bawah jejantas atau di pondok hentian bas. Tetapi di situ bukannya ada orang bagi selimut.

Suka atau tidak, terpaksalah berdiri memeluk tubuh sambil terketar-ketar menahan kesejukan. Dan harus diingat, yang dipeluk itu pula tubuh sendiri. Apalah sangat seronoknya...

TERPERANGKAP

Setelah berkereta pun, saya pernah terperangkap dalam banjir kilat di Kuala Lumpur. Saya tidak ingat tahunnya tetapi yang pasti ketika itu saya masih muda belia. Masih segak.

Berjam-jam berada di jalan raya, dengan perut berkeroncong lapar dan meter minyak kereta semakin mendekati E, yang maksudnya mungkin enough atau mungkin empty, bukanlah pengalaman menyeronokkan.

Terasa seakan-akan hendak buka pintu dan berlari balik ke rumah dengan meninggalkan kereta di situ. Mujurlah saya bukan anak Bill Gates atau Sam Walton, dua individu terkaya di dunia ketika itu. Jika tidak, bukan mustahil saya berbuat demikian.

Saya memang berharap pengalaman buruk itu tidak berulang. Tetapi sebagai manusia, setakat itu sahajalah kemampuan kita. Berdoa dan berharap. Ketentuan-Nya tidak mungkin boleh dielak, apatah lagi ditolak. Ada lagi rupanya pengalaman lain yang sedang menanti untuk menjadikan saya lebih dewasa.

Januari 2017, ketika masih berjawatan ahli Parlimen kawasan Sungai Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, saya diuji dengan peristiwa lebih besar.

Ketika itu seluruh kawasan Parlimen saya dilanda banjir. Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa bekerja keras siang malam, pagi dan petang tanpa menghiraukan teriakan mata untuk berehat dan tangisan perut yang memerlukan isi.

Keutamaan saya adalah mengkoordinasi dan memobilasikan segala sumber, aset serta bantuan bagi meminumkan impak bencana itu ke atas rakyat di kawasan saya.

Rupa-rupanya itu hanya mukadimah ujian. Pada 23 Januari 2017, abah saya, Mohd Zohdi Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam.Bayangkanlah di satu sisi anda kehilangan insan amat disayangi, di sisi lain puluhan ribu rakyat mengharap anda melakukan sesuatu untuk membantu apa yang boleh demi meringankan beban ditanggung akibat banjir.

Saat itu, tanpa kekuatan rohani dan jasmani, tanpa keyakinan teguh terhadap kudrat dan iradat-Nya, mungkin saya sendiri hanyut dibawa arus. Kalau bukan arus banjir pun, mungkin arus air mata. Ia tidak berakhir di situ. Ada lagi...

Empat hari lalu, 18 Disember, saya di Sungai Besar menghadiri mesyuarat perwakilan parti. Seperti biasa, setiap kali balik ke kawasan, banyak kerja dan banyak urusan. Lewat malam saya bertolak balik ke ‘sarang’ saya di Bangi. Hujan di sepanjang perjalanan. Tapi, eleh hujan sekadar air, bukannya api. Jadi tidak ada masalah meredahnya.

Tiba di sarang, selepas menyelesaikan apa yang patut, saya pun melepaskan lelah di tempat tidur. Hujan terus mencurah. Bercerau bunyinya di tengah-tengah galak deruan angin. Malam penuh nikmat untuk mata yang mahu lena

KETUKAN

Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Maklumlah orang lena, mana sedar apa-apa. Yang separuh sedar itu orang mabuk. Dan lena saya terganggu hanya setelah terdengar ketukan di pintu. Ketukan kuat. Sangat kuat, meningkah bunyi hujan. Kedengaran suara pembantu kebun saya memanggil-manggil.

Menyedari yang saya tidak bermimpi, maka saya bingkas bangun. Saya turun dari katil tetapi tiba-tiba terasa kaki saya sudah berada di dalam air.

"Air dah naik Datuk! Air naik...” Suara pekerja saya menjerit-jerit dari luar. Apa yang berlaku selepas itu adalah satu lagi sejarah.

Air melebihi paras lutut menenggelamkan seluruh kawasan kebun yang menjadi ‘sarang’ saya itu. Kelam-kabut saya dibuatnya terutama apabila teringat perpustakaan kecil tempat saya menyimpan bukan sahaja koleksi buku-buku yang saya beli dari merata penjuru alam tetapi juga stok buku-buku terbitan saya sendiri.

Sebahagian daripadanya tidak sempat diselamatkan. ‘Menemui ajal’ dalam air yang bergerak naik dengan pantas itu.

Mujurlah selepas itu hujan reda. Menjelang siang, air semakin surut. Selain buku, banyak juga barang rosak. Namun, jika dibandingkan dengan kemusnahan, kerosakan dan kesengsaraan yang dialami ribuan mangsa banjir lain di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan semua negeri lain yang terlibat dengan bencana itu, apa yang saya alami hanyalah ibarat hujung kuku.

Jadi, kata saya kepada diri sendiri, bersyukurlah Budi, giliranmu sampai lagi untuk membantu mereka yang memerlukan. Lekas bangun! #dush...

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca