BILANGAN belut dulunya begitu banyak sehingga dianggap sebagai hidupan perosak.
Namun, haiwan itu kini diancam oleh aktiviti manusia dan ia berisiko akan pupus sama sekali, menurut para saintis dan ahli alam sekitar yang memberikan amaran tentang makhluk itu.
Belut muncul dalam mitologi manusia dan seni kuno manakala tulang hidupan laut dan air tawar itu telah dijumpai sejak ribuan tahun lalu.
Daging belut amat digemari di Asia dan ia telah dimakan oleh manusia sejak ribuan tahun lalu.
Kira-kira 30 tahun lalu, haiwan itu dianggap sebagai satu pemandangan biasa di Perancis dan pernah dianggap merosakkan stok ikan salmon serta memusnahkan jaring pancing.
"Ketika saya masih muda, belut berada di setiap sungai dan muara. Nenek saya mempunyai kafe. Kadang-kadang pelanggan yang kurang bernasib baik hidupnya akan membawa sebaldi belut muda untuk membayar minuman kopi mereka," kata seorang penyelidik Perancis, Eric Feunteun yang pakar tentang makhluk itu kepada AFP.
Dalam masa kurang dari setengah abad, keadaan telah berubah secara radikal kerana populasi belut Eropah kini hanya 10 peratus berbanding pada tahun 1960 hingga 1970an lalu.
Menurut Feunteun yang juga seorang profesor ekologi laut di Muzium Kebangsaan Sejarah Alam Semula Jadi Perancis, amaran tentang populasi belut itu telah dibangkirkan pada tahun 1980-an.
Namun, sehingga tahun 2007, baharulah Kesatuan Eropah meminta anggota-anggotanya untuk melindungi spesies tersebut.
Belut di Eropah kini muncul dalam senarai Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam sebagai makhluk yang terancam.
Apa yang mengancam populasi belut?
Kitaran hidup belut yang kompleks menjadikannya terdedah terhadap berbagai kegiatan manusia termasuk penangkapan ikan berlebihan terhadap spesies yang sangat disukai di Asia itu.
Bagaimanapun, tekanan itu jauh daripada faktor yang mendorong penurunan bilangan belut.
"Kami telah mengetahui sejak tahun 1980-an bahawa terdapat banyak alasan dan memancing mungkin bukannya faktor utamanya," kata Feunteun.
Beliau menyatakan bahawa mencemari saluran air dengan bahan tercemar seperti racun perosak, ubat-ubatan dan pemplastik iaitu bahan aditif yang digunakan untuk melembutkan makanan didapati mempunyai kesan jauh lebih besar termasuk terhadap keupayaan pembiakan belut.
Pemusnahan habitat haiwan itu juga memainkan peranan penting dalam pengurangan bilangan belut, menurut Andrew Kerr iaitu Presiden Kumpulan Lestari Belut.
Beliau menyatakan pengeringan tiga suku tanah paya di Eropah dan lebih satu juta halangan dibina seperti empangan yang menghalang penghijrahan ikan sebagai faktor bilangan haiwan tersebut berkurangan.
"Jadi, pada dasarnya kita memusnahkan habitat belut. Itulah yang benar-benar membunuhnya," katanya kepada AFP.
Perubahan iklim juga merupakan antara faktor yang menyebabkan haiwan tersebut berkurangan.
Ini adalah kerana ia mengalihkan arus laut yang membawa belut dari kawasan tempatnya bertelur di perairan tropika ke sungai dan muara.
Sejak tahun 2012, Jepun, China, Taiwan dan Korea Selatan telah bekerjasama dalam memulihara belut di perairan negara masing-masing termasuk melalui pelaksanaan kuota penangkapan ikan.
Tetapi, had memancing sahaja tidak mencukupi.
Usaha-usaha lain termasuk program mengatasi halangan migrasi hingga memindahkan belut muda dari lokasi yang mana bilangan haiwan tersebut banyak ke tempat-tempat yang mengalami kekurangan makhluk tersebut.
Di Asia, haiwan itu berenang ke muara dan sungai di Jepun, Taiwan, China dan Korea Selatan serta tinggal di habitat air tawar antara lima hingga 15 tahun sebelum berenang kembali ke laut untuk bertelur sebelum mati.
Bagaimanapun, Feunteun yakin makhluk yang telah hidup sejak 70 juta tahun lalu itu dan bilangannya mengalami penurunan dalam tempoh 40 tahun akan kembali semula dalam jumlah yang banyak di bumi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca