Minggu lalu, Parti Warisan (Warisan) pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara rasminya sudah melebarkan sayap parti itu ke semenanjung Malaysia. Bekas parti lokal daripada Sabah itu berkeyakinan mampu... Klik di sini untuk terus membaca

Minggu lalu, Parti Warisan (Warisan) pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara rasminya sudah melebarkan sayap parti itu ke semenanjung Malaysia.

Bekas parti lokal daripada Sabah itu berkeyakinan mampu menjanjikan peralihan wadah perjuangan politik penduduk semenanjung yang selama ini terikat dengan parti berasaskan perkauman dan agama, kepada politik kepelbagaian kaum dan agama.

Meskipun impak kehadiran Warisan sedikit sebanyak terencat dengan tragedi bencana banjir kilat 'luar biasa' yang dialami penduduk Lembah Klang sejak Jumaat lalu.

Motif penampilan parti yang mendapat sokongan padu Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) itu ke semenanjung kini dipersoalkan banyak pihak.

Antara yang lantang mempersoalkannya adalah bekas Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew apabila beliau mengaitkan kehadiran Warisan ke semenanjung bertujuan untuk mengembalikan pengaruh bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam blok Pakatan Harapan (PH).

Lebih mengejutkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu turut membidas seruan segelintir pemimpin PH yang mengajak semua parti pembangkang bersatu di bawah satu 'khemah besar' dan secara peribadi menganggapnya agenda mengangkat kembali pengasas Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) berusia 96 tahun itu.

"Hasrat Warisan melebarkan sayap ke semenanjung seolah-olah mahu menyahut seruan pembentukan 'khemah besar' pembangkang, ditambah parti itu mendapat sokongan MUDA yang diasaskan oleh bekas protege Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Namun persoalannya, adakah saranan bentuk 'khemah besar' sebenarnya satu penipuan besar? Perlu diingat, kedua-dua pemimpin Warisan dan MUDA mempunyai hubungan sangat rapat dengan Dr Mahathir.

"Dengan Warisan dan MUDA melaungkan mereka merupakan parti kepelbagaian kaum selain Mohd Shafie sendiri menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri masa hadapan, pembentukan 'khemah besar' itu sebenarnya lebih memenuhi agenda politik mereka berbanding PH," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Berikutan itu, Ronnie Liu berpandangan PH harus berfikir secara masak-masak sama ada mereka perlu meneruskan pendekatan 'khemah besar' pembangkang dengan menjemput koalisi Warisan-MUDA atau membiarkan koalisi itu bergerak sendiri.

Ditambah dengan desas-desus mengatakan Dr Mahathir sebenarnya menjadi arkitek penting dalam menjayakan kewujudan blok Warisan-Pejuang-MUDA, kehadiran blok pembangkang baharu itu sedikit sebanyak mampu mengenepikan pengaruh PH terutamanya PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada PRU15.

"Ditambah dengan prestasi teruk PH di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini, kehadiran blok pembangkang baharu pastinya menambahkan risiko untuk koalisi itu kehilangan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor kelak,"katanya.

Bagi beberapa pemerhati politik tempatan, pandangan Ronnie Liu dan beberapa pemimpin PH pro Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin berasas memandangkan kehadiran Warisan seolah-olah digunakan Pejuang dan Muda untuk meningkatkan kuasa rundingan kerusi pilihan raya bersama PH.

Bagaimanapun, pada saat majoriti pengundi negara ini semakin muak dengan polemik perebutan kuasa di antara Anwar dan Dr Mahathir, Warisan dan MUDA sepatutnya mengambil peluang ini untuk lari daripada bayang-bayang kedua-dua pemimpin veteran berkenaan.

"Berdasarkan trend kekalahan PH di PRN Melaka dan Sarawak, sekiranya polemik perbalahan Anwar-Dr Mahathir berterusan dalam blok pembangkang sewaktu PRU15, pembangkang pasti akan kalah.

"Pembangkang kena berani tampilkan muka baharu lebih berketrampilan tanpa mengenepikan peranan dua pemimpin terbabit yang boleh dilantik menjadi penasihat Perdana Menteri baharu daripada blok berkenaan.

"Dalam konteks sekarang, koalisi pembangkang sememangnya perlu mewujudkan 'khemah besar' untuk mencabar pengaruh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Bagaimanapun, sekiranya 'khemah besar' itu masih dibayangi persoalan siapa di antara Anwar dan Dr Mahathir, mahu pun Mohd Shafie sendiri yang akan menjadi calon Perdana Menteri sekiranya blok pembangkang menang, koalisi ini akan ditolak sepenuhnya rakyat," kata Ahli Kumpulan Penyelidik Geopolitik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg.

Klik di sini untuk terus membaca