SHAH ALAM - Penduduk sekitar kawasan Shah Alam diminta tidak panik dengan berlakunya fenomena peningkatan semula paras air di beberapa sungai utama di Lembah Klang termasuk Sungai Damansara sejak pagi Rabu.
Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudra Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, meskipun kejadian kenaikan paras air sungai menyebabkan beberapa kawasan seperti TTDI Jaya, kawasan berhampiran Stadium Shah Alam di Seksyen 13 dan laluan di Plaza Tol Bukit Jelutong mula ditenggelami air sejak jam 7 pagi.
Beliau menegaskan kejadian itu tidak akan mengulangi tragedi banjir besar di Lembah Klang pada hujung minggu lalu yang sehingga kini mengorbankan nyawa puluhan mangsa dan menyebabkan kerugian harta benda bernilai ratusan juta ringgit.
"Ketika ini ada lekukan tropika (TD) kini bergerak ke arah utara dan akan berhenti di tengah Semenanjung.
"Jadi berdasarkan model Ramalan Global, kejadian hujan berterusan dan angin kencang yang turut dirasai penduduk kawasan Lembah Klang ketika ini tidak akan membentuk kombinasi bencana sebagaimana tragedi banjir yang berlaku pada hujung minggu.
"Penduduk Lembah Klang tidak perlu panik dan bimbang kerana jumlah taburan hujan yang turun tidaklah sebanyak jumlah taburan hujan direkodkan sewaktu hujung minggu. Lebih penting, model ramalan cuaca juga menjangkakan impaknya terlalu minimum," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan beberapa media tempatan yang menyuarakan kebimbangan kemungkinan berulangnya fenomena banjir besar yang mengorbankan sejumlah 20 orang di Lembah Klang pada hujung minggu lalu.
Hal ini susulan berlaku peningkatan paras air di Sungai Damansara yang melalui beberapa kawasan di Shah Alam pada pagi Rabu.
Banjir besar yang melanda negara pada setakat ini mencatatkan korban seramai 27 orang serta dianggap antara angka kematian tertinggi sejak banjir besar terakhir pada tahun 2014.
Dua puluh daripada kematian itu dilaporkan di Selangor manakala selebihnya di Pahang. Di kawasan Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam sahaja, sembilan mayat ditemui.
Mengulas lanjut, Azizan turut menjelaskan masalah paras air sungai di Lembah Klang dilihat masih tinggi juga berpunca dengan isu saki baki air sungai yang menerima taburan hujan luar biasa sejak Sabtu lalu, masih tidak dapat dialirkan keluar sepenuhnya ke laut.
Ujarnya, hal ini disebabkan kejadian air pasang besar yang turut menjadi kombinasi faktor berlaku banjir besar luar biasa di Lembah Klang, berakhir Isnin lalu.
"Ditambah dengan tindakan perlepasan air empangan Klang Gates oleh pihak pengurusan empangan, saki-baki air sungai yang mencatatkan paras tinggi ketika ini sedang dalam proses untuk dikeluarkan ke laut dan dijangka akan turun pada paras normal dalam masa terdekat.
"Paling penting, model ramalan tidak menunjukkan sebarang kombinasi data yang memungkinkan banjir besar kembali berulang di Lembah Klang dalam minggu ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca