SHAH ALAM - Seorang pakar meteorologi mempersoalkan keberkesanan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dalam mengemukakan model ramalan awal berlakunya banjir, sekali pun kedua-dua agensi itu sudah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pakar meteorologi mempersoalkan keberkesanan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dalam mengemukakan model ramalan awal berlakunya banjir, sekali pun kedua-dua agensi itu sudah dilengkapi sistem dan peralatan canggih selepas tragedi banjir besar 'bah kuning' pada tahun 2014.

Pengarah Pusat Penyelidikan Antartik Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abdul Samah berkata, setelah dilengkapi sistem canggih seperti METMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MMD-WRF) serta pembelian sebuah superkomputer yang dianggarkan bernilai RM60 juta, tiada alasan untuk METMalaysia tidak dapat membangunkan sebuah model ramalan banjir lebih awal dengan kerjasama JPS.

Jelas beliau, kombinasi data dikeluarkan MMD-WRF dengan data unjuran kenaikan paras air laut dan sungai yang boleh diramal JPS menggunakan software MIKE21 sebenarnya sudah cukup untuk mewujudkan satu sistem amaran awal banjir, sekurang-kurangnya sehari sebelum kejadian.

DR AZIZAN

"Bayangkan kalau penduduk Lembah Klang diberi amaran secara agresif sehari lebih awal daripada hari kejadian, bukan sahaja kerajaan dapat mengurangkan impak kerugian harta benda bernilai puluhan juta ringgit, bahkan bilangan mangsa terkorban mungkin terhindar.

"Dengan tempoh 24 jam diberikan, sekurang-kurangnya rakyat akan lebih bersiap-siaga untuk mengeluarkan ahli keluarga mereka daripada kawasan berpotensi banjir selain berpeluang menyelamatkan seberapa banyak harta benda penting.

"Ditambah semua peralatan dan model ramalan canggih disediakan kerajaan selepas tragedi banjir 2014, takkan agensi seperti METMalaysia dan JPS tidak boleh mengemukakan walau satu pun model ramalan berlaku banjir besar lebih awal?," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat situasi terkini keadaan banjir dalam negara oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim di Pusat Kawalan Bencana Negara malam ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan ketidaksediaan agensi kerajaan dalam menghadapi tragedi banjir besar hujung minggu lalu yang menyebabkan Lembah Klang serta lima negeri lain terjejas teruk.

Sebilangan besar ahli Parlimen pembangkang itu juga turut mempersoalkan kegagalan METMalaysia memberikan amaran awal kemungkinan berlakunya banjir besar di negeri-negeri terjejas, sekurang-kurangnya bagi tempoh seminggu atau dua minggu lebih awal.

Sekalipun METMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain, tidak ada sebarang peringatan tentang banjir diberikan sehinggalah nasi sudah menjadi bubur.

Mengulas lanjut, Azizan yang juga Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya (UM) turut menuntut agensi-agensi kerajaan seperti METMalaysia, JPS dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengambil tanggungjawab di atas kegagalan mereka.

Sekiranya model ramalan awal banjir berjaya dikemukakan agensi kerajaan bertanggungjawab sekurang-kurangnya sehari lebih awal, pakar meteorologi menjangkakan langkah itu mampu menghindarkan tragedi kehilangan nyawa akibat tragedi banjir besar Lembah Klang.

Tambah beliau, agensi-agensi sebegini juga perlu berhenti daripada menuding jari di antara satu sama lain, sebaliknya perlu mempertingkatkan komunikasi di antara mereka terutama dalam saat rakyat terkesan teruk akibat bencana banjir yang melanda kediaman mereka.

"Sistem ada, seperti di Kelantan dan pantai timur, mereka ada sistem amaran yang baik kerana banjir kerap berlaku di sana.

"Anda boleh tengok (amaran) menerusi Facebook dan lain-lain, tetapi saya tidak tahu mengapa mereka tidak berbuat demikian di Selangor,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan sekitaran (INOS) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat berpandangan NADMA sebagai agensi penyelaras usaha persediaan menghadapi bencana sepatutnya memainkan lebih proaktif dan bukan reaktif dalam mendepani kejadian banjir besar tempoh hari.

DR WAN IZATUL ASMA

Jelas beliau, melalui data ramalan kaji cuaca dibekalkan METMalaysia, kejadian air laut pasang surut disediakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan unjuran kenaikan paras air sungai daripada JPS, sepatutnya kesemua data ini sudah mencukupi untuk diintegrasi bagi diwujudkan sistem amaran awam banjir yang lebih bersepadu.

"Justeru, NADMA selaku agensi penyelaras pengurusan bencana sepatutnya lebih proaktif menguruskan penyelarasan data-data amaran dikemukakan METMalaysia, JUPEM dan JPS bagi membolehkan maklumat amaran awal banjir dapat disampaikan dengan lebih agresif.

"Ataupun mungkin peranan METMalaysia ini dikembangkan menjadi pusat pengumpulan dan penyelarasan data-data, sekali gus bertanggungjawab mewujudkan model ramalan awal banjir berdasarkan data bersepadu.

Keadaan semasa ketika tinjauan lensa Sinar Harian di sekitar kawasan banjir di Sri Muda pada Selasa. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Lebih penting, maklumat berkaitan amaran awal bencana perlulah mudah difahami orang awam bagi membolehkan mereka lebih bersedia menghadapinya,"katanya.

Sementara itu, Wan Izatul Isma turut menyeru rakyat Malaysia sentiasa peka dengan permasalahan di dalam persekitaran negara ini dengan membina keupayaan kendiri, bermula dengan pengetahuan dan kesedaran yang boleh diperoleh di hujung jari.

"Kerajaan menyediakan maklumat melalui pelbagai sumber antaranya portal laman sesawang METMalaysia, JUPEM dan Pusat Hidografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Rakyat tidak boleh bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca