SHAH ALAM - Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara sejak Sabtu lalu dilaporkan meragut 36 nyawa setakat Rabu namun tidak mustahil angka korban akan terus meningkat dalam masa terdekat.Selangor setakat ini mencatatkan jumlah... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara sejak Sabtu lalu dilaporkan meragut 36 nyawa setakat Rabu namun tidak mustahil angka korban akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Selangor setakat ini mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 25 kematian dengan 14 mayat ditemukan di lokasi banjir terburuk iaitu Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam manakala baki 11 lagi mayat merupakan korban banjir di Pahang.

Banjir yang berlaku berikutan hujan lebat berterusan melebihi 24 jam bermula Jumaat itu turut menjejaskan hampir 70,000 mangsa setakat ini di seluruh negara.

Ramai mangsa yang terperangkap tanpa jalan keluar akibat kenaikan mendadak air banjir dan tidak kurang yang terpaksa berlapar lebih 24 jam sebelum bantuan tiba.

Lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar mangsa juga terpaksa menanggung kerugian besar kerosakan harta benda seperti kenderaan dan kediaman akibat banjir.

Bagaimanapun, mangsa kini boleh menarik sedikit nafas lega apabila kerajaan mengumumkan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000 bagi membantu mendepani situasi pasca banjir.

Situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda yang ditenggelami air akibat banjir kilat .- Foto Bernama


Di satu sisi lain, kejadian banjir ini menyerlahkan bahawa semangat bantu-membantu masih menebal dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini terbukti apabila bantuan dihulur tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Namun apa yang patut diberi perhatian adalah angka kematian yang direkodkan akibat banjir ini adalah jauh lebih tinggi daripada insiden banjir besar yang pernah melanda Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor pada tahun 2014.

Pada ketika itu, Jabatan Meteorologi Malaysia, telah mengeluarkan 38 amaran cuaca buruk; 15 amaran peringkat 'Merah', 15 amaran 'Oren' dan 8 amaran 'Kuning'.

Akhirnya, banjir besar yang juga digelar Bah Kuning itu telah mengorbankan 21 orang manakala 10 yang lain dilaporkan hilang dan sejumlah lebih 300,000 orang pula terpaksa dipindahkan.

Kerajaan pada ketika itu turut dilaporkan memerlukan RM9.32 bilion untuk pembinaan dan penaiktaraf semua infrastruktur saliran di kawasan bandar dan luar bandar.

Sebahagian bot dan sampan yang digunakan penduduk kampung untuk menyelamatkan diri ketika bah kuning pada Disember 2014. - Foto Bernama


Berhubung situasi banjir terkini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkannya seakan sama dengan banjir besar yang berlaku pada tahun 1971.

Insiden banjir besar 50 tahun lalu itu dianggap terburuk dalam lipatan sejarah Malaysia sehinggakan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpaksa mengisytiharkan darurat bencana di seluruh negara berkuat kuasa pada 5 Januari 1971.

Hujan monsun yang berlarutan hampir seminggu bermula 26 Disember 1970 menyebabkan air Sungai Pahang melimpah sebelum Terengganu, Johor, Kelantan, Melaka dan Selangor turut dilanda banjir teruk.

Malah, Kuala Lumpur juga 'tenggelam' akibat bah besar tersebut yang dilaporkan meragut lebih 30 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu mangsa lain tinggal sehelai sepinggang setelah banjir reda.

Jumlah mangsa banjir paling tinggi ialah di negeri Pahang iaitu seramai 40,000 orang manakala negeri Johor 17,000 dan Selangor 14,000 orang. Negara turut berdepan kerugian lebih RM84.7 juta (nilai ketika itu).

Untuk rekod, negara juga pernah dilanda banjir besar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1926 (Bah Besar) dan seterusnya pada tahun 1946 namun banjir 1971 di Kuala Lumpur itu disifatkan banjir besar paling dahsyat dalam sejarah negara.

Kuala Lumpur pernah dilanda banjir besar pada tahun 1971. - Foto Sumber Internet
Klik di sini untuk terus membaca