APABILA Jerman dilanda banjir besar pada Julai, malah apabila Amerika Syarikat (AS) diserang hurikan pada November, ia berita luar negara bagi kita. Apabila Taman Sri Muda di Shah Alam tenggelam untuk beberapa hari, kita baru terkejut dan... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Jerman dilanda banjir besar pada Julai, malah apabila Amerika Syarikat (AS) diserang hurikan pada November, ia berita luar negara bagi kita.

Apabila Taman Sri Muda di Shah Alam tenggelam untuk beberapa hari, kita baru terkejut dan menyedari bahawa krisis ‘perubahan iklim’ sudah pun mendarat di bumi Malaysia.

Ketidaksediaan kita – daripada pihak berkuasa sehinggalah sistem longkang yang tidak dapat menampung air mengejutkan kita daripada keselesaan.

Kali terakhir banjir sebesar itu berlaku adalah pada 1971, tepat 50 tahun yang lalu.

Persoalan sekarang, bilakah banjir berskala sebegini akan datang lagi? Ia tidak akan menunggu 50 tahun lagi kerana iklim sudah berubah.

Apa yang jarang dahulu akan semakin kerap.

Moga-moga kita akan lebih tersedia pada masa akan datang dalam usaha memindahkan dan menyelamatkan mangsa.

Bagaimana pula dengan persediaan kita untuk menangani puncanya?

Punca pertama tentang banjir yang kita semua sudah tahu adalah pembalakan dan pembangunan yang terlalu padat sehingga air hujan tidak dapat dititiskan melalui daun dan meresap ke dalam tanah tetapi terus jatuh dan mengalir di tanah yang lapang, kemudiannya berkumpul menjadi air bah.

Adakah kita sudah bersedia untuk meneliti dan mengurangkan aktiviti pembalakan? Ia dosa manusia yang jelas sekali apabila kita mengejar kekayaan sehingga tidak mempedulikan kelestarian alam.

Punca kedua adalah emisi atau pengeluaran karbon kita. Seluruh dunia sedang membincangkan sasaran dalam mengurangkan emisi karbon tetapi bila kita dengar perbincangan sebegini di Parlimen?

Dalam kedua-dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini, saya tidak perasan ada mana-mana parti atau calon yang menyentuh isu perubahan iklim.

Bagi saya, kesunyian itu amat membimbangkan. Jika dalam kempen pilihan raya, parti-parti dan calon-calon ‘menyerang’ atas pelbagai isu tetapi langsung tidak menyentuh iklim, tidakkah ia bermakna iklim dan alam tidak penting untuk elit politik kita yang ingin menerajui negeri?

Mungkin ada yang cuba membeli alasan, kuasa kerajaan negeri terlalu kecil untuk menyelesaikan isu sedunia seperti perubahan cuaca.

Pertama, kerajaan negeri yang menjaga tanah termasuk hutan dan kerajaan tempatan, banyak daya usaha boleh diikhtiarkan jika mahu.

(Saya sebenarnya tidak faham mengapa ada menteri besar yang tidak bangkit membantah apabila dilucutkan jawatan dalam Majlis Keselamatan Negeri.)

Kedua, bagaimana dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)? Banyak parti dan tokoh yang berbincang serta bimbang mengenai PRU15.

Siapa yang sudah menyatakan apakah pendirian parti mereka terhadap perubahan iklim?

Kita perlu mendesak parti-parti politik menawarkan dasar dan pelan mereka untuk mengurangkan emisi karbon.

Sememangnya masalah itu berskala dunia dan usaha kita sendiri sahaja tidak dapat mengubahnya.

Namun, jika seluruh dunia pun fikir begitu dan tidak berbuat apa-apa, maka banjir mungkin menjadi peristiwa bulanan suatu hari nanti.

Emisi karbon tidak dapat dipotong tanpa kos ekonomi. Sebaliknya, ia juga boleh menjadi pemangkin ekonomi hijau kita.

Sebab itu, kita perlukan pakej dasar yang mengimbangkan alam sekitar dan kesejahteraan insan.

Tanpa pemikiran mendalam dan persediaan yang jelas, maka sebarang janji akan dilupakan atas alasan ‘manifesto itu bukan kitab’.

Jika parti-parti cuma pandai melaga-lagakan kita atas dasar kaum, agama dan sebagainya seolah-olah kita diancam sesama yang lain, dan bukan air bah yang boleh menghanyutkan kita semua, baik kita hanyutkan parti-parti sedemikian dalam arus PRU15.

* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca