CONCEPCION Tumanda memandang ke arah rumahnya yang hancur disebabkan oleh Taufan Rai yang mengganas di pulau-pulau di Filipina pada minggu lalu sehingga menyebabkan ratusan orang mati di negara tersebut. Taufan itu turut menghancurkan... Klik di sini untuk terus membaca

CONCEPCION Tumanda memandang ke arah rumahnya yang hancur disebabkan oleh Taufan Rai yang mengganas di pulau-pulau di Filipina pada minggu lalu sehingga menyebabkan ratusan orang mati di negara tersebut.

Taufan itu turut menghancurkan destinasi pelancongan popular di Pulau Bohol, selatan negara itu dengan membawa hujan lebat, menyebabkan bumbung-bumbung rumah melayang, tiang-tiang elektrik dan pokok-pokok tumbang serta menghancurkan kapal-kapal nelayan.

"Rumah ini hancur, semuanya hancur. Kami tidak mempunyai apa-apa lagi, " kata Tumanda kepada AFP sambil menangis ketika dia berdiri di runtuhan rumahnya yang terletak di kawasan perbandaran Loboc di Bohol.

Pulau Bohol terkenal sebagai lokasi menyelam, tempat terletaknya 'Chocolate Hills' iaitu sebuah taman kembara yang penuh dengan pelbagai cabaran serta menjadi tempat kehidupan pelbagai jenis haiwan primat kecil.

Pulau itu adalah salah sebuah pulau yang paling teruk terjejas akibat taufan tersebut sehingga mengakibatkan kampung-kampung banjir manakala penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung.

Setelah taufan tersebut mengganas pada Khamis lalu, tiada siapa yang menyangka pulau-pulau Filipina yang kembali meriah dengan kedatangan para pelancong tempatan setelah sepi akibat Covid-19 kini dibadai pula oleh Taufan Rai.

Menurut Gabenor Bohol, Arthur Yap di Facebook, beliau telah meminta Presiden Filipuna, Rodrigo Duterte untuk menghantar dana bagi membeli makanan dan air untuk penduduk yang terjejas setelah tenaga elektrik dan komunikasi terputus di wilayahnya itu.

Lebih 98 orang kehilangan nyawa dan lebih 15 orang lagi masih hilang di Bohol sehinggakan seorang ketua kampung terpaksa menggunakan botnya untuk menghantar makanan kepada mangsa-mangsa terselamat.

Taufan itu dengan kekuatan angin selaju 195 kilometer sejam turut menyebabkan kemusnahan yang meluas di Pulau Siargao, Dinagat dan Mindanao.

Duterte kemudian mengisytiharkan situasi 'bencana alam' di kawasan-kawasan yang dilanda Taufan Rai yang mana lebih 374 orang terbunuh setakat Rabu lalu dan mengeluarkan dana untuk kerja-kerja bantuan serta memberikan kuasa kepada pegawai-pegawai tempatan untuk mengawal harga barangan.

Tentera pula mengerahkan kapal-kapal, pesawat-pesawat, trak-trak untuk menghantar makanan, air minuman dan bekalan perubatan kepada mangsa-mangsa terselamat termasuk pasukan Palang Merah yang turut mengagihkan bantuan manakala kerajaan-kerajaan asing telah menjanjikan bantuan kewangan bernilai berjuta-juta dolar.

Namun, pegawai-pegawai dan penduduk tempatan mengadu bahawa bantuan tersebut tidak tiba dengan begitu cepat.

Taufan Rai yang membawa angin selaju 195 kilometer sejam turut menyebabkan kemusnahan yang meluas di Pulau Siargao, Dinagat dan Mindanao di Filipina. - Foto AFP

"Tolong cepatkan bantuan, ini satu-satunya harapan kami kerana kami tidak mempunyai apa-apa lagi," kata seorang pekerja di sebuah restoran terapung di Sungai Loboc yang musnah dalam kejadian tersebut.

Seminggu setelah taufan melanda, penduduk masih berusaha menyelamatkan perabot-perabot dan barang-barang lain dari rumah mereka yang musnah.

Seorang penduduk, Telesfora Toledo menyatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan kehidupan lagi dengan begitu banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Sebelum ini, pelancongan domestik mulai meningkat dalam beberapa bulan terakhir ini ketika pemerintah Filipina melonggarkan peraturan Covid-19 dengan tujuan untuk meningkatkan kegiatan ekonomi walaupun ia melarang para pelancong asing memasuki negara tersebut.

"Semua orang sangat gembira, pulau itu kembali meriah. Kemudian dengan tiba-tiba ribut datang," kata seorang penolong cef, Claudine Mendoza di sebuah resort tepi pantai di Pulau Siargao.

Kini para pemilik perniagaan menghadapi kos pembaikan yang mahal atau memulakan semula bisnes manakala pekerja mereka menghadapi masa depan yang tidak menentu.

"Taufan ini jauh lebih buruk berbanding pandemik (Covid-19). Pandemik tidak menyebabkan sebarang kerosakan," kata seorang pemilik sebuah resort di Pulau Siargao, Anton Alvarez seperti dilaporkan oleh AFP.

Petani-petani dan nelayan-nelayan juga melihat kehidupan mereka musnah manakala ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Elka Requinta iaitu penyelaras pemasaran di Pulau Siargao menyatakan kekuatan taufan itu mengejutkan semua orang dengan berkata: "Kami tidak menyangka ia seteruk ini." - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca