RATA-rata rakyat Malaysia yang terkesan dengan kemusnahan akibat banjir besar melahirkan rasa marah terhadap kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana kurang kompeten dalam menangani bencana itu selepas hujan lebat berterusan.
Tempias Taufan Rai yang telah meragut banyak nyawa di Filipina terkena Malaysia sehingga menyebabkan kemusnahan di lapan buah negeri di semenanjung.
Bencana banjir besar menenggelamkan banyak rumah, menumbangkan pokok dan tiang elektrik serta menyebabkan puluhan pengguna jalan raya terkandas di tengah jalan termasuk sesetengah mereka terpaksa memanjat dan duduk di atas bumbung kereta.
Situasi itu turut memperlihatkan Jabatan Meteorologi Malaysia gagal memberi amaran mencukupi kepada semua penduduk.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan usaha oleh kerajaan serta pasukan penyelamat yang tidak menyelaras dengan betul bagi membantu mereka yang terkesan.
Tidak kisah jika taburan hujan ini adalah luar biasa kerana yang penting adalah sepantas mana kerajaan bertindak untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada rakyat secara lebih efektif.
Kerajaan perlu segera membuat penyelarasan dan pembahagian tugasan daripada melakukan tinjauan atau pelancaran misi bantuan.
Isu masih belum selesai. Rakyat tidak menyalahkan anggota bawahan atas kelewatan pergerakan mereka di kawasan bencana, sebaliknya mempersoalkan tindakan kerajaan yang lewat bertindak.
Keadaan buruk terutama di Selangor adalah sesuatu yang dijangka dan penduduk sepatutnya telah diberi amaran lebih awal agar bersedia menghadapi banjir.
Amaran awal dan arahan bersedia adalah penting terutama di Selangor kerana ramai penduduknya tidak biasa menghadapi banjir besar.
Shah Alam adalah antara lokasi paling teruk terjejas.
Ramai mangsa terpaksa memanjat bumbung rumah dan menunggu sehingga lebih sehari untuk diselamatkan.
Penduduk di Taman Sri Muda juga sudah mengetahui bahawa kawasan mereka mudah dinaiki air tetapi mereka tidak diberikan amaran dengan betul.
Untuk mengatakan bahawa perkara itu tidak dijangka adalah tidak benar.
Sekiranya pihak berkuasa memberikan amaran secukupnya, orang ramai akan dapat membuat persediaan sedikit sebanyak.
Orang di Selangor tidak biasa berdepan dengan bencana banjir besar.
Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri juga patut berhubung dengan orang ramai bagi memastikan persiapan dibuat. Ia adalah bencana alam.
Nadma ditubuhkan pada 2015 selepas banjir besar di Kelantan pada 2014.
Ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan sewajarnya bertindak dalam apa juga bencana yang berlaku di negara ini.
Malaysia perlu berasa bimbang mengenai perubahan iklim yang akan membawa lebih banyak hujan.
Persiapan termasuk menyediakan sistem perparitan lebih bagus mampu mengurangkan kadar air banjir kerana negara kita adalah negara yang menghadapi lebihan air.
Keadaan tidak terkawal yang berlaku ketika banjir ini adalah kerana tiada penyelarasan dan kawalan yang baik oleh kerajaan serta pihak berkuasa.
Keadaan seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana negara mempunyai banyak agensi dan aset untuk mengurus bencana.
Ia adalah bencana banjir besar yang menyebabkan kemusnahan. Amat sedih melihat apa yang berlaku.
Kita ada Nadma, kita ada pelbagai aset tetapi apa yang tidak ada adalah kepimpinan.
Diharap menteri dan wakil rakyat tidak cuba lepas tangan atau berdolak-dalik dalam menangani krisis ini.
Rakyat marah kerana mereka sedang sengsara.
Jika tersalah atau terlewat, minta maaf dan perbaiki serta teruskan kerja. Rakyat tak mahu dengar alasan lagi.
* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka
Klik di sini untuk terus membaca