Manakan tidak, antara sumbangan terbesar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkenaan adalah menjadi 'War Lord atau Panglima Perang' yang merancang strategi dan memimpin gerakan Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Johor yang menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 2018.
Malah, kejayaan PH yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi 36 daripada kerusi DUN pada PRU14 itu membolehkan Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.
Biarpun menjadi Menteri Besar Johor selama kira-kira 11 bulan, namun Osman tetap mempunyai jasanya tersendiri terhadap Bangsa Johor terutama bagi memastikan proses peralihan kuasa daripada kerajaan BN dan kerajaan baharu dipimpin PH pada Mei 2018 berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan dan insiden tidak diingini.
Sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Johor dan menjadi Pengerusi Bersatu Johor, Osman adalah Setiausaha Bersatu Johor memainkan peranan penting dalam penubuhan Bersatu dan PH terutama di negeri selatan tanah air itu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) itu juga pernah memegang pelbagai jawatan politik sebelum menyertai Bersatu pada 2016 termasuk Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai.
Figura yang lebih dikenali sebagai Tok Man dalam kalangan penduduk Kempas, juga banyak memperjuangkan isu rakyat di Kempas.
Jadi, tidak hairanlah selepas tiga penggal menjadi ADUN Kempas di bawah kerajaan BN beliau tetap boleh menang besar apabila menjadi calon atas tiket Bersatu pada PRU14.
Osman juga dikenali sebagai seorang yang tegas dan sangat lantang dalam menyuarakan pandangan atau isu terutama sekiranya membabitkan Bersatu dan UMNO, selain tidak pernah berselindung atau takut untuk menyuarakan kebenaran.
Malah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor berkenaan.
"Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan saya mendoakan mereka bersabar dalam berhadapan dengan saat-saat yang menyedihkan ini.
"Secara peribadi saya telah lama mengenali Allahyarham dan sama-sama aktif dalam politik di Johor terutama ketika penubuhan Bersatu beberapa tahun dahulu.
"Sepanjang saya mengenali Allahyarham, dia seorang yang kuat, kental, tabah dan tidak mudah mengaku kalah. Pemergian Allahyarham yang juga ADUN Kempas adalah satu kehilangan kepada negeri Johor dan parti Bersatu," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan pada 13 Oktober lalu, Osman, 69, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok ringan dan pada November lalu beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.
Beliau kemudian menghembuskan nafas terakhir di rumah anaknya, Nornekman di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam, Selasa lalu.
Sebagai seorang sahabat, Muhyiddin menegaskan pastinya hatinya sayu dan terkejut mendengar berita pemergian Allahyarham.
"Tenanglah di sana sahabatku. Marilah sama-sama kita panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Saya memohon kepada semua untuk sama-sama membaca dan sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham," katanya.
CIKGU DALAM POLITIK
Bagi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, pemergian Osman adalah satu kehilangan besar bukan hanya kepada rakyat dan Bersatu Johor, malah dirinya sendiri kerana ADUN Kempas itu ibarat cikgu atau sifunya dalam dunia politik.
"Allahyarham banyak mengajar saya sama ada semasa menjadi Menteri Besar atau Setiausaha Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Johor. Beliau adalah tempat rujukan dan guru atau abah saya dalam berpolitik," katanya kepada wartawan Sinar Premium pada Khamis.
Sahruddin berkata, Osman juga memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan negeri membina rumah untuk generasi muda dan persiapan Sukan Malaysia 2020 di Johor.
"Allahyarham Osman memang terkenal sebagai seorang tegas dan tetap dengan setiap pendirian dan keputusan dibuatnya. Dia memang seorang yang baik dengan semua orang.
"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada bangsa Johor khususnya parti Bersatu kerana sehingga kini banyak pandangan, idea dan ketegasannya masih diguna pakai untuk menambahbaik pengurusan Bersatu Johor," katanya yang mula rapat dengan Allahyarham sejak 2016.
Sementara itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya, Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin pula berkata, Osman adalah antara pemimpin dan ADUN yang paling disenangi dan dihormati oleh rakyat biarpun beliau bukan lagi Menteri Besar Johor.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, Osman juga menjadi antara watak penting di belakang tabir di sebalik penubuhan dan kebangkitan Bersatu di Johor sehingga hari ini.
"Allahyarham memang disenangi oleh masyarakat Johor kerana sangat mudah didekati dan sanggup mendengar masalah rakyat di mana-mana sahaja beliau singgah termasuk di pasar, tangga masjid dan surau serta di kedai kopi.
"Apa yang paling penting Allahyarham adalah seorang yang jujur dalam politik, dia bukan hanya tahu cakap lepas tetapi setiap tegurannya memang betul penuh dengan nasihat. Bagaimanapun, mungkin ada sesetengah individu atau ahli politik kurang senang hati dengan teguran jujur Allahyarham.
"Saya juga merasakan kehilangannya kerana tiada lagi watak jujur dalam politik Malaysia sekarang," katanya yang mengenali Allahyarham lebih 3 tahun.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, sebagai Menteri Besar baharu, Allahyarham juga memainkan peranan penting bagi memastikan proses transisi atau pertukaran kerajaan daripada BN ke PH pada 2018 berlangsung secara tenang tanpa sebarang kekacauan.
"Biarpun beliau amat popular dan mempunyai kekuatan tersendiri di peringkat akar umbi namun Allahyarham sentiasa setia dengan parti termasuklah apabila parti mahu menukarnya daripada jawatan Menteri Besar Johor kepada orang baharu atas sebab dan alasan tertentu.
"Apabila perkara itu timbul Allahyarham sendiri berbesar hati berundur tanpa sebarang bantahan. Jadi inilah sifat dan keistimewaan yang ada pada Allahyarham dan tiada pada orang lain," katanya.
PENGGERAK UTAMA BERSATU JOHOR
Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim, pula menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat Bersatu kerana beliau adalah individu yang menjadi penggerak utama penubuhan Bersatu di Johor.
"Biarpun saya tidak begitu rapat dengan Allahyarham namun beliau memang banyak berjaya kepada rakyat Johor dan penyumbang utama kemenangan PH dan Bersatu di Johor pada PRU14 lalu," katanya.
Bekas pemimpin Bersatu Johor, Mohammad Ramezih Abdullah berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada rakyat Johor khususnya Ahli Bersatu kerana beliau adalah salah seorang pengasas Bersatu di Johor.
Mohammad Ramezih berkata Allahyarham juga adalah salah seorang watak penting di sebalik kemenangan PH khususnya Bersatu di Johor pada PRU14 lalu.
"Satu lagi karakter Allahyarham yang paling ingat adalah beliau seorang yang tegas dan tetap pendirian biarpun ketegasannya akan membahayakan kedudukannya dalam parti dan kerajaan," katanya. Klik di sini untuk terus membaca