SHAH ALAM - Individu kurang upaya pada dahulunya hanya dikatakan sebagai peminta sedekah apabila dewasa, kini telah membuktikan perkara tersebut tidak benar dengan berjaya membuka perniagaan sendiri.
Bukan itu sahaja, Pemilik RMT Kumanbuster Global dan RMT Entertaiment, Rahmat Md Zainal berkata, idaman untuk memiliki kereta mewah dan juga rumah banglo turut diperolehnya.
"Saya sebenarnya tidaklah hebat. Cuma jadikan sesuatu sebagai cabaran. Pernah masa kecil, seorang saudara saya kata, awak kalau besar esok minta sedekah sahaja la. Minta sedekah tepi jambatan.
"Saya amik ini sebagai perkara positif saya akan buktikan satu hari, saya ada kereta besar, rumah banglo, perniagaan sendiri. Ini beri saya motivasi. Apabila tongkat disorok, ia juga motivasi. Dan apa saya sebut dan harapkan, semua saya berjaya capai,” luahnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator berkenaan motivasi ataupun sumber kekuatan apabila menjadi seorang Orang Kurang Upaya (OKU) pada Wacana Sinar Harian Siri 313 bertajuk Nasib OKU Di Malaysia, Tuah Atau Malang? Yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panelis, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pengerusi VCEE19, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, Pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, Roslailawati Mohamad dan Pengarah Projek Kempen Pembangunan Pusat Tahfiz Anak Istimewa dan Autisme 1.0, Putri Nurul Izzah Azman manakala Khairil Amri sebagai moderator.
Mengulas lanjut berkenaan cabaran yang dihadapi, katanya, diskriminasi terhadap OKU masih lagi berlaku dan bagi dirinya, ia telah bermula sejak kecil lagi.
"Sebenarnya, sejak dari kecil lagi iaitu sekolah, diskriminasi memang ada berlaku. Di kalangan kita dalam kawan-kawan pun ada ejek mengejek. Saya dari kecil pakai tongkat, dalam kelas pun ada kawan sorok tongkat. Itu diskriminasi kecil.
"Kemudian, masuk ke dunia pekerjaan, peringkat awal selepas saya graduasi, saya hadapi masalah untuk dapat kerja.
"Saya cuba minta kerja di kilang dan semua tidak dapat atas sebab fizikal. Kata saya tidak sesuai untuk dapat pekerjaan tersebut. Jadi saya menganggur empat bulan sampai saya dapat kerja di syarikat penerbitan,” ujarnya.
Tambah Rahmat, beliau juga pernah ditularkan di Facebook oleh individu yang tidak bertanggungjawab merakamnya ketika merangkak memasuki masjid.
Jelasnya, keadaan tersebut berlaku memandangkan beliau tidak menggunakan tongkat untuk memasuki masjid kerana ia berada dalam keadaan yang kotor.
"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, ada satu kejadian di masjid. Saya tidak bawa masuk tongkat ke masjid sebab bawah tongkat kotor. Jadi saya tinggalkan di luar.
"Kemudian saya merangkak masuk ke dalam masjid. Ada orang ambil video dan gambar. Saya tidak perasan benda itu sampai kawan saya hubungi saya. Kata ada orang memasukkan video dan gambar di Facebook,” katanya.