HUJAN tanpa henti sejak Jumaat hingga Ahad di Selangor mengakibatkan beberapa lokasi banjir besar seperti Shah Alam, Klang dan Hulu Langat menimbulkan tanda tanya apa yang perlu dilakukan seupaya tragedi sama tidak berulang.
Sesetengah pihak berpendapat perlunya pembinaan terowong seperti Terowong SMART yang berfungsi mencegah banjir kilat dan mengurangkan kesesakan trafik seperti di Kuala Lumpur.
Namun bagi pakar, tiada keperluan pembinaan itu melainkan pembinaan kolam takungan bawah tanah seperti yang dilaksanakan oleh beberapa bandar besar dunia termasuk Hong Kong, Jepun dan Singapura.
Timbalan Pengerusi Persatuan Hidrologi Malaysia, Datuk Ir Hanapi Mohamad Noor berkata, pihak berkuasa terlibat pada ketika ini perlu melakukan kajian terhadap pembinaan kolam takungan bawah tanah yang boleh mengalirkan air sungai melimpah terutama dari Sungai Klang dan Sungai Damansara.
"Kolam takungan air bawah tanah itu boleh digambarkan seperti empangan bawah tanah dan berfungsi mengalirkan air hujan dengan mengambil kira kemungkinan berlaku hujan luar biasa di masa hadapan.
"Kolam seumpama itu telah dilaksanakan dengan jayanya di bandar besar seperti Hong Kong di mana air yang ditakung boleh dimanfaatkan untuk untuk pelbagai kegunaan terutama pada musim kemarau,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mantan Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia itu menambah, keadaan dalam kolam takungan itu boleh dipantau dan diawasi melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan sensor keselamatan andai takungan itu dilimpahi air.
Namun tegas Hanapi, dalam situasi mengurangkan risiko banjir, paling utama adalah memastikan setiap projek pembangunan yang dirancang harus menjalani analisa hidrologi terlebih dahulu.
Menurutnya, analisa hidrologi ini penting bagi menentukan sebanyak mana aliran air hujan dari kawasan tadahan serta kemampuan kapasiti sistem saliran di kawasan yang mahu dibangunkan itu mengalirkan air keluar bagi mengelakkan risiko berlakunya banjir.
"Kawasan pembangunan baru juga haruslah berada lebih tinggi daripada paras banjir,” katanya.
Mengulas kawasan Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam iaitu lokasi banjir paling teruk di Selangor, Hanapi berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah perancangan melencongkan sebahagian aliran air Sungai Klang iaitu sekitar 20 hingga 30 peratus di bahagian hulu Taman Sri Muda ke Sungai Langat dengan jarak lebih kurang 7km.
"Saluran lencongan yang dilengkapkan dengan struktur kawalan air ini mampu juga berperanan sebagai kolam takungan yang berkesan. Pembinaan saluran lencongan seperti ini boleh mengurangkan tekanan ke atas Sungai Klang dari segi kuantiti air yang dialirkan dan juga menurunkan paras air sungai,” katanya.
Perbezaan banjir
Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo pula berkata, perkara pertama perlu diambil kira sebelum sebarang langkah mitigasi banjir dilakukan adalah membezakan antara dua banjir paling biasa terjadi iaitu banjir kilat dan banjir sungai.
"Banjir kilat merupakan hujan lebat tempatan di mana air naik serta merta dan surut dalam masa beberapa jam. Banjir kilat boleh diatasi dengan membuat prasarana tebatan banjir.
"Antaranya seperti pembinaan terowong pintar, kolam takungan dan perparitan tambahan,” katanya.
Banjir sungai atau banjir monsun pula katanya, melibatkan hujan lebat tanpa henti seperti berhari-hari di banyak kawasan.
"Banjir jenis ini bermula dengan tanah menjadi tepu, permukaan air larian bertambah dan alur sungai tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak. Limpahan air berlaku di dataran banjir iaitu kawasan yang pernah terjadi banjir sebelumnya,” katanya.
Menurutnya, buat waktu ini tindakan jangka pendek yang boleh dilakukan adalah memperkenalkan sistem amaran awal yang lebih berkesan, umpamanya berasaskan setiap sistem lembangan serta melihat semula dasar dan garis panduan sedia ada bagi meminimumkan risiko banjir,” katanya.
INFO
Sistem takungan air bawah tanah boleh digambarkan seperti empangan bawah tanah dan berfungsi mengalirkan air hujan berlebihan bagi mengelak insiden banjir besar.
Tiga negara mempunyai sistem takungan air bawah tanah termasuklah Hong Kong, Jepun dan Singapura.
- Hong Kong
Bagi mengatasi masalah banjir di kawasan penempatan Happy Valley, Hong Kong, Jabatan Perkhidmatan Saliran membina satu sistem perlindungan banjir dengan gangguan minimal terhadap orang awam dan aktiviti komersial.
Sistem melibatkan pembinaan tangki takungan bawah tanah gergasi berbentuk L berkapasiti 60,000 m3 terletak di bawah Tapak Rekreasi Happy Valley yang juga menempatkan lima padang sukan.
Ia berfungsi menyimpan sementara air hujan berlebihan ketika hujan lebat sebelum dilepaskan ke sistem perparitan hiliran untuk mengurangkan risiko banjir.
Mengambil inspirasi daripada konsep Sponge City, ia juga mempunyai sistem pengumpulan air terbesar di Hong Kong yang mengumpul air bawah tanah dan air hujan.
Air yang dikumpulkan melalui unit rawatan sebelum digunakan untuk mengairi padang sukan yang terletak di tapak rekreasi terbabit, menyiram pokok dan mengepam tandas.
- Jepun
Mempunyai sistem pengawalan banjir dikenali sebagai Projek Metropolitan Area Outer Underground Discharge Tunnel (G-Cans) yang siap dibina pada tahun 2006 merupakan fasiliti lencongan air bawah tanah terbesar di dunia.
Terletak antara Showa di Tokyo dan Kasukabe di wilayah Saitama, Projek G-Cans berfungsi untuk melindungi bandar Tokyo daripada banjir ketika hujan lebat dan taufan.
Projek G-Cans terdiri daripada lima silo konkrit (silinder tinggi), terowong sepanjang 6.5 kilometer, tangki simpanan air (juga dipanggil Underground Temple) dan 78 buah pam
Terowong mengalirkan air ke Underground Temple yang menakung air sebelum dilepaskan semula ke Sungai Edogawa pada kadar 7,000 kaki padu air sesaat.
Takungan tersebut membantu mengurangkan kerosakan kediaman akibat banjir sekitar 90 peratus. Di Tokyo sahaja, dilaporkan 10 lagi takungan bawah tanah dan tiga terowong banjir sedang dalam pembinaan.
- Singapura
Untuk menangani situasi banjir, Singapura membina dua projek bawah tanah dikenali sebagai Stamford Diversion Canal (SDC) dan Stamford Detention Tank (SDT).
Pembinaan SDC dan SDT membolehkan 30 peratus air lebihan ketika hujan lebat atau ribut dilencongkan dari Stamford Canal sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan Orchard Road.
SDT terletak di bawah Tyersall Learning Forest’s Coach Park dan National Orchid Nursery dan direka menyimpan sementara lebihan air hujan dari longkang-longkang di sekitar Holland Road ketika hujan lebat.
Apabila hujan surut, air yang disimpan di SDT (berkapasiti sebanyak 15 kolam renang bersaiz Olimpik) akan dipam semula ke longkang menuju ke SDC yang juga salah satu terowong berdiameter besar paling cetek di Singapura dengan beberapa kawasan hanya empat meter di bawah tanah.
Klik di sini untuk terus membaca