SHAH ALAM - Biarpun Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 belum diluluskan oleh Parlimen, namun sudah ada suara menjangkakan pelaksanaan akan mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Manakan tidaknya jika amalan 'doubel standard' atau pilih bulu antara rakya biasa dan kenamaan (VIP) terutama ahli politik, wakil rakyat dan Menteri Kabinet terus berlaku.
Misalnya dalam kes-kes tertentu rakyat biasa dikompaun antara RM1,500 hingga RM10,000 manakala VIP terutama Ahli Parlimen atau Menteri Kabinet hanya dikenakan denda bawah RM2,000 kerana jika mereka didenda melebihi jumlah berkenaan maka mereka akan kehilangan kelayakan untuk menjadi wakil rakyat.
Ini kerana Perkara 48 Fasa (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang individu akan hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika didenda melebihi RM2,000 atau penjara lebih setahun.
Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, meskipun pindaan berkenaan perlu untuk penambahbaikan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta 342 dalam membendung penularan penyakit berjangkit terutamanya wabak Covid-19, namun terdapat beberapa isu dan persepsi negatif ditangani, sebelum ia dibentangkan ke Parlimen, pada sesi akan datang.
Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pandangan ini disokong sebulat suara oleh pakar yang dijemput memberikan pandangan ketika sesi perbincangan anjuran Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bersama bersama Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, sebelum Sidang Parlimen, pada lsnin.
Beliau berkata penangguhan sesi pembentangan, perbahasan dan kelulusan pindaan Akta 342 di Parlimen bermakna negara masih tertakluk kepada peruntukan lama akta terbabit sehingga sesi Sidang bulan Februari 2022.
"Persoalan besarnya pasti berkisar sama ada dengan tidak ada pindaan ini, maka negara dan rakyat akan terdedah kepada risiko penularan atau outbreak baru khasnya varian Omicron?
"Secara jujurnya saya kira tidak. Dengan peningkatan hukuman yang agak tinggi semata-semata, sama ada atas individu atau entiti korporat termasuk NGO, bukanlah penentu dalam kawalan wabak," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka membentangkan pindaan Akta 342 ke Parlimen pada Isnin lalu, bagi tujuan menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan syarikat yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang berkenaan.
Mengikut pindaan terbaru rang undang-undang itu, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala bagi syarikat atau perbadanan pula boleh didenda maksimum RM1 juta.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan RUU berkenaan ke sidang akan datang berikutan bantahan pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, beliau berpandangan kenaikkan kadar kompaun sehingga RM10,000 bagi individu berkenaan tidak menjamin kepatuhan masyarakat terhadap akta itu biarpun ia mempunyai peranan tersendiri.
"Aspek hukuman pastinya punya peranan tertentu. Tetapi lebih mustahak dalam mencetuskan 'kepatuhan' atau 'compliance' yang tinggi di kalangan rakyat tentunya bersifat 'multi-factorial'. Antaranya ialah 'kejelasan SOP' yang juga mesti konsisten dan tidak kerap berubah-ubah serta jelas kepada pihak rakyat dan juga penguatkuasa.
"Selain itu, persepsi wujudnya perlaksanaan 'dua darjat' amat mempengaruhi kepatuhan yang konsisten, khasnya oleh rakyat awam," katanya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, satu lagi faktor penting dalam kawalan wabak ialah memperkukuhkan amalan pendekatan kaedah Kesihatan Awam termasuk pendekatan "FTTIS & Vaksin & Ventilasi".
"Isu 'weakest link' atau 'rantaian paling lemah' ia itu 'Contact Tracing' atau 'Pengesanan Kontak Rapat' adalah amat mustahak yang perlu diperkasakan terutama mesti diautomasikan buat mempercepatkan proses manual selama ini," katanya.
Dr Dzulkefly juga melahirkan kebimbangan episod banjir buruk di beberapa negeri seumpama Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, maka amat dikhuatiri rakyat tidak akan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dengan baik.
"Kekangan dan kerumitan ini disaksikan sekarang ini terutama di pusat pemindahan pementara mangsa banjir.
Dengan kata lain, andainya pindaan ini diluluskan, adalah amat dikhuatiri bahawa golongan marhaen dari kelompok B40 yang akan menjadi mangsa utama.
"Sudah pernah berlaku di mana rakyat biasa dikenakan kompaun tinggi sementara 'golongan VVIP' dikenakan hukuman yang ringan. Meskipun jumlah kompaun individu telah kekal pada RM1,000, penalti peraturan adalah sejumlah RM1,500 atau penjara 2 tahun atau kedua-dua ," katanya.
Tegasnya, penundaan ini adalah amat wajar utk Kerajaan Persekutuan meningkatkan sesi libat-urus seperti disyorkan terutama pemegang-pemegang taruh atau pimpinan dlm sektor kesihatan, sebelum membentangkan pindaan yang lebih tuntas dan komprehensif lagi.
Klik di sini untuk terus membaca