SAYA amat bersimpati dengan semua mangsa banjir yang menempuh saat cukup mencabar ketika ini. Semuanya diuji dengan pelbagai peringkat kesukaran.
Ada yang kehilangan nyawa ahli keluarga. Ada yang hilang tempat berteduh. Ada yang rosak semua peralatan rumah dan kenderaan. Tetapi yang paling menyayat hati ialah hilang segala-galanya serentak.
Semua yang dimiliki musnah apabila banjir melanda kawasan perumahan masing-masing sejak Sabtu. Melihat kepada kesan banjir, impak kerosakan amatlah besar.
Kita dapat melihat kesusahan yang dialami mereka. Raut wajah menggambarkan segala-galanya. Air mata kesedihan tidak dapat dibendung lagi. Betapa berat dugaan yang ditanggung ketika ini dan bagaimana mahu menghadapi hari-hari mendatang yang cukup mencabar.
Semua kesedihan banyak dikongsi di media sosial dan gambaran lebih jelas dapat diselami apabila kita turun sendiri ke kawasan bencana.
Kita hanya mampu berdoa supaya hujan tidak turun lagi kerana buat masa ini permukaan bumi tidak mampu menampung jumlah titisan hujan yang berterusan.
Setelah membaca laporan berita, baru saya tahu hujan pada 18 dan 19 Disember di Selangor menyamai taburan sebulan mengakibatkan air sungai melimpah dan banyak kawasan dilanda banjir.Pada hari kejadian saya pergi ke Kampung Melayu Subang untuk membeli barang keperluan dapur yang sudah kehabisan.
Selesai sahaja urusan pembelian, saya pun ingin pulang ke rumah dan tidak menyangka hujan yang mulanya renyai makin lebat dan air warna ‘teh ais kaw’ melimpah laju ke kawasan jalan raya.
Berdasarkan pemerhatian awal, jentera saya yang sudah uzur tidak akan mampu meredah jalan yang paras airnya sudah paras lutut.
Saya yakin jika tetap meredah banjir, kereta pasti sangkut melainkan saya membawa Myvi (tersohor meredah banjir), ataupun mampu memiliki Range Rover atau Hilux.
Saya bersama pengguna jalan raya yang lain berpusing berjam-jam di kawasan Kampung Melayu Subang cuba untuk keluar dari kawasan itu.
Pada masa itu, kebanyakannya hampa kerana terpaksa berpatah balik sama ada menemui jalan mati, ataupun menemui jalan yang sudah dilimpahi air dengan paras tinggi.
Akhirnya, dengan izin ALLAH, saya berjaya meredah air banjir walaupun kereta pada waktu itu sudah berasap dan isyarat bateri sudah muncul di panel meter.
Jika nak diukur, apa yang saya lalui ibarat jarum di lautan. Mangsa banjir lain lebih berat dugaannya bergelap dalam tempoh yang lama dan bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Sebenarnya sebagai penduduk yang tinggal di Shah Alam, saya tidak menyangka banjir akan menjadi seburuk ini kerana saya selalu menyaksikan paras air di Sungai Damansara setiap kali berulang-alik dari rumah ke pejabat di Seksyen 15.
Saya dapat lihat paras air berada ‘ngam-ngam’ dengan tebing tetapi tidak menyangka ia akan melimpah keluar hingga menyebabkan kebanyakan kawasan di Shah Alam lumpuh.
Saya juga tidak menyangka kawasan Taman Sri Muda dan beberapa kawasan lain akan tenggelam seteruk itu dan ada mangsa yang terperangkap lebih 48 jam kerana bantuan belum tiba.
Saya juga tidak menyangka angka korban banjir di Selangor sudah melebihi 20 orang.
Dan yang paling saya tak jangka, dalam keadaan musibah begini, kerajaan negeri dan pusat saling tuding menuding, salah menyalah antara satu sama lain. Oh! apa nak jadi dengan kita.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca