DALAM kekalutan mengawal dan menangani penularan wabak Covid-19, negara sekali lagi diuji dengan bencana banjir. Kejadian banjir pada 18 Disember 2021 baru-baru ini bukan sahaja di luar jangkaan tetapi memberi impak sangat besar kepada negara.
Selangor yang menjadi sumber utama penjanaan ekonomi negara lumpuh hanya dalam masa dua hari dan pasti akan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih beroperasi seperti biasa.
Misi bantuan menyelamat dan membantu mangsa banjir giat dijalankan dan banyak pusat pemindahan kini dibuka termasuk di masjid, sekolah, serta dewan orang ramai. Jumlah mangsa semakin meningkat setiap hari. Menyedari perkara ini, urusan seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan pasca banjir. Ini termasuk pengurusan sisa pepejal terutamanya selepas banjir surut.
Hasil tinjauan di kawasan yang dilanda banjir teruk di Selangor terutama di Shah Alam, Hulu Langat dan Klang telah mula berlaku longgokan sisa banjir apabila aktiviti mencuci dan membersih bangunan dan rumah bermula. Sisa pepejal ini jika dibiarkan terlalu lama pasti akan mengundang masalah baru seperti pembiakan nyamuk, pencemaran udara dan bau, serta menjadi sarang binatang perosak dan merbahaya seperti tikus dan ular. Keadaan ini akan menyebabkan penularan penyakit seperti denggi, malaria dan taun jika tidak dikawal dengan baik.
Oleh itu, pelaksanaan Pelan Pengurusan Sisa Bencana adalah sangat penting. Pelan ini dapat membantu organisasi untuk bertindak secara sistematik. Terdapat beberapa peringkat pengurusan dalam sebuah organisasi yang menguruskan sisa bencana bermula dari peringkat pihak berkuasa tempatan sehinggalah kepada komuniti.
Bagaimanapun, keperluan pengurusan sisa pepejal ini telah menjadi satu cabaran yang kritikal dari sudut koordinasi dan integrasi antara organisasi, ketidakcekapan teknologi seperti peralatan dan mesin, perancangan dan pengurusan yang lemah, isu komuniti, politik, faktor alam sekitar dan kelemahan dalam tindakan yang melibatkan garis panduan serta polisi.
Secara am, kejadian banjir besar seperti ini telah menyebabkan lambakan sisa, sampah dan kerosakan peralatan dalam jumlah yang sangat besar. Maka ia memerlukan usaha lebih dan tempoh yang lama untuk mengembalikan situasi ini kepada keadaan asal.
Walaupun Malaysia melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal (Act 2007:Act 672), namun polisi kerajaan ini tidak dilaksanakan secara cekap oleh pemain industri. Polisi tersebut juga dilihat tidak merangkumi konsep kelestarian secara menyeluruh. Oleh itu pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif melalui penguatkuasaan pembentukan undang-undang dan garis panduan khas untuk pengurusan sisa bencana.
Dalam masa sama sektor awam perlu menyediakan satu pelan tindakan awal yang teratur bagi menangani isu sisa pepejal daripada bencana manakala sektor swasta pula pasti akan dapat memberi sokongan terhadap pengurusan sisa bencana dengan menyalurkan keperluan peralatan dan teknologi serta bergerak sebagai kontraktor atau sub-kontraktor.
Inisiatif lain yang dilihat boleh membantu proses mempercepatkan pengurusan sisa bencana ini adalah melalui pengenalpastian formula serta parameter yang boleh digunakan dalam proses ini. Secara ringkas formula ini akan membantu untuk menganggarkan kuantiti serta muatan kenderaan seperti lori, tenaga kerja serta tempoh yang diperlukan untuk melupuskan sisa bencana dalam kawasan yang tertentu.
Dengan adanya koordinasi dan integrasi yang sistematik sudah pasti sisa bencana dapat diuruskan dengan baik dalam tempoh singkat serta dapat mengurangkan kos operasi. Selain itu ia juga dapat mengurangkan risiko penularan wabak penyakit serta meningkatkan perlindungan alam sekitar.
* Profesor Madya Ts Dr Emma Marinie Ahmad Zawawi ialah Timbalan Dekan Akademik Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor
Klik di sini untuk terus membaca