ARAB Saudi mempunyai tempat-tempat yang paling suci bagi umat Islam. Ia juga mempunyai dua buah masjid paling suci untuk penduduk Islam iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Arab Saudi juga merupakan tempat kelahiran... Klik di sini untuk terus membaca

ARAB Saudi mempunyai tempat-tempat yang paling suci bagi umat Islam.

Ia juga mempunyai dua buah masjid paling suci untuk penduduk Islam iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Arab Saudi juga merupakan tempat kelahiran utusan Allah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, sejak Putera Mohammed bin Salman, 35, atau lebih dikenali dengan nama singkatan MBS menjadi Putera Mahkota pada tahun 2017 selepas dilantik oleh ayahandanya yang juga Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, negara beraja itu telah melalui banyak pembaharuan dari segi ekonomi, pelancongan, sosial dan dalam bidang hiburan.

Putera Mohammed kini dianggap sebagai pemerintah 'de facto' atau ketua negara tersebut secara tidak rasmi.

Ini adalah kerana umur ayahandanya sudah berusia 86 tahun dan MBS sering mewakili Raja Arab Saudi menerima pemimpin luar negara kerana Raja Salman kurang membuat kemunculan di khalayak ramai.

Penampilan Putera Mohammed semakin terserlah ketika beliau bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada awal Disember lalu di Istana Al-Salam, Jeddah dan mengetuai Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) yang juga berlaku dalam bulan ini bagi menggantikan tempat ayahandanya.

Sejak pandemik Covid-19 menular, Raja Salman tinggal di Neom iaitu sebuah kawasan perbandaran untuk masa depan di wilayah Tabuk yang masih lagi dalam pembinaan.

Pertemuan terakhir Raja Arab Saudi itu ialah dengan seorang Menteri Luar United Kingdom (UK) di Riyadh pada bulan Mac 2020.

Perjalanan terakhirnya ke luar negara adalah mengunjungi Oman untuk mengucapkan takziah di atas kematian Sultan Qaboos pada Januari 2020.

Putera Mohammed pula dianggap cuba menjuarai Islam yang moderat walaupun reputasi di peringkat antarabangsanya tercalar ekoran kejadian pembunuhan seorang wartawan dari negaranya, Jamal Khashoggi pada tahun 2018 di Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki.

Festival muzik MDL Beast Soundstorm diadakan di Riyadh ketika Arab Saudi berusaha untuk mengubah pendekatan konservatifnya. - Foto AFP

Bagaimanapun, beliau telah membuka negaranya itu kepada pelancong-pelancong dan pelaburan asing dalam usaha mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi yang ketika ini bergantung kepada hasil eksport minyak mentah kerana ia merupakan pengeluar terbesar komoditi berharga itu.

Putera Mahkota itu juga telah mengawasi perubahan sosial yang besar termasuk mengizinkan wanita untuk memandu dan bekerja di sektor awam dan membenarkan penduduknya untuk menikmati pendapatan tambahan dengan mengunjungi tempat-tempat rekreasi yang dibuka di seluruh negaranya

Namun, baru-baru ini, lebih 700,000 orang menghadiri festival muzik elektonik, MDLBeast Soundstorm Arab Saudi yang mana ia berlangsung selama empat hari ketika para pemimpin negara berkenaan berusaha mengubah imej konservatifnya dan mempelbagaikan ekonominya.

Sebelum ini, negara itu melarang sebarang program muzik dan tarian.

Para penghibur dan pemuzik antarabangsa termasuk deejay terkenal Perancis, David Guetta tampil di acara itu walaupun terdapat desakan supaya beliau memboikot acara tersebut ekoran rekod buruk hak-hak asasi manusia di Arab Saudi.

Selama empat hari, seramai 732,000 orang berpusu-pusu ke program hiburan tersebut yang merupakan salah sebuah festival muzik terbesar di dunia, kata Ketua Pihak Berkuasa Hiburan Arab Saudi, Turki al-Sheikh baru-baru ini.

Namun, apa yang menariknya ialah persembahan muzik itu dihentikan ketika laungan azan sedang bergema di Riyadh dengan para pengunjung festival tersebut termasuk golongan muda dan wanita pula berdiam diri ketika ia berkumandang.

Menurut laporan Bloomberg, lima belas minit kemudian selepas tugas keagamaan selesai dilakukan, beribu-ribu peserta festival tersebut kembali berhibur yang mana ia tidak pernah berlaku di negara berkenaan sebelum ini.

Bagaimanapun, minuman keras dan homoseksual masih menyalahi undang-undang di Arab Saudi walaupun kelonggaran telah diberikan bagi membolehkan festival muzik bertaraf antarabangsa diadakan seperti persembahan penyanyi popular, Justin Bieber di Jeddah yang diadakan sempena acara pertandingan jentera sukan Formula Satu (F1) pada awal bulan ini. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca