SHAH ALAM - Keseluruhan sisa pukal pasca banjir terkumpul dijangkakan adalah sebanyak 343 tan di 18 kawasan sekitar Kuala Lumpur akibat banjir yang melanda di Lembah Klang baru-baru ini.
Pengarah Wilayah Persekutuan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ummi Kalthum Shuib berkata, bermula dari 19 Disember hingga Sehingga 21 Disember 2021, sebanyak 143 tan sisa pukal telah dipungut dan terdapat 200 tan sisa pukal yang masih belum dikutip di Kuala Lumpur.
"Kita tidak menyangka Kuala Lumpur akan terjejas sebegini kerana kawasan ini pada kebiasaannya hanya mengalami banjir kilat. Ia bukan seperti banjir termenung di Selangor namun hujan turun mendadak dan air naik tinggi menyebabkan kerosakan yang banyak di kawasan itu.
"Dengan jumlah tersebut dan sisa pukal yang masih belum dikutip, dijangkakan keseluruhan sisa pukal pasca banjir terkumpul adalah sebanyak 343 tan namun jumlah ini akan meningkat sekiranya banjir masih berterusan dan makin ramai pemilik premis membawa keluar barang-barang yang rosak dari rumah mereka sejak dua hari lepas,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, SWCorp menggunakan tenaga kerja sebanyak 155 orang dan menyediakan 50 lori untuk untuk proses pembersihan banjir di sekitar Kuala Lumpur bermula 19 Disember lepas.
"Kita menyediakan dalam 50 lori iaitu lori tekanan tinggi Jetting, Roro, Vacall, Amroll, Open Tipper dan JCB Backhoe serta menggunakan tenaga kerja sebanyak 155 orang.
"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga turut menurunkan jentera dan tenaga kerja membuat pembersihan bersama untuk mempercepatkan proses kerana Kuala Lumpur merupakan kawasan strategik," katanya.
Bagaimanapun katanya, pengumpulan sisa pukal boleh berlanjutan sehingga 31 Disember 2021 bergantung kepada cuaca dan pemilik yang semakin agresif membuat pembersihan.
"Kerja-kerja pembersihan awam terutamanya jalan-jalan utama telah siap pada 20 Disember 2021. Namun, ada beberapa jalan akan dibilas lagi bagi memastikan selut-selut dan lumpur kering dicuci bersih.
"Bagi kutipan sisa pukal, ia bermula pada 20 Disember dan dijangka selesai sepenuhnya pada 27 Disember 202. Namun, tempoh masa itu mungkin berlanjutan bergantung kepada faktor cuaca dan masyarakat yang membuat pembersihan rumah mereka akibat banjir,” katanya.
Dalam pada itu, antara cabaran utama yang dihidapi untuk proses pembersihan pasca banjir adalah kepantasan untuk membuat pembersihan bagi membolehkan jalan-jalan utama boleh dilalui oleh kenderaan.
"Cabaran terbesar adalah kepantasan untuk membuat pembersihan bagi jalan utama dan kepantasan untuk angkat semua sisa-sia pukal kerana ia tidak boleh dibuat secara automatik dan menggunakan tenaga kerja untuk mengangkut sampah depan rumah masuk ke dalam lori.
"Selain itu, sekiranya kita membuat pembersihan awam di jalan-jalan utama Kuala Lumpur seperti di Jalan Ipoh, tinggi keladak dan lumpur boleh mencecah setengah meter,” katanya.
Ummi Kalthum berkata, akibat banjir ini, sampah-sampah dan sisa pukal akan meningkat dan menjadi lebih banyak di tapak pelupusan.
"Motif SWCorp adalah untuk tingkatkan kitar semula dan kurangkan sampah di tapak pelupusan. Namun ia agak sukar dilakukan ketika ini dengan bencana alam yang berlaku.
"Akibat banjir, sisa pukal akan meningkat dan lori tidak boleh masuk kerana banjir. Banyak kawasan yang tidak membenarkan lori masuk kerana mereka ingin mengawal tanah supaya tidak mendap dan ini akan menyebabkan penangguhan pengutipan sampah,” katanya.
Selain itu, cara kutipan sisa pukal dilakukan adalah melalui rumah ke rumah secara bersasar mengikut jadual yang ditetapkan.
"Kutipan sisa pukal dilaksanakan dari rumah ke rumah dan tumpuan diberikan kepada kawasan berkedudukan tinggi.
"Untuk banjir ini, kita tumpukan pembersihan di tempat awam dan jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan kemudian di jalan-jalan dalam,” katanya.
INFO
18 kawasan lokasi banjir di sekitar Kuala Lumpur:
- 1. Kampung Periuk
- 2. Jalan Lebuh Pasar Besar
- 3. Jalan Dang Wangi
- 4. Jalan Sultan Ismail
- 5. Jalan Lebuh Ampang
- 6. Jalan Mushi Abdullah
- 7. Jalan Tun Perak
- 8. Jalan Ipoh
- 9. Jalan Batu Bata
- 10. Jalan Pudu
- 11. Jalan Sungai Baru, Kampung Baru
- 12. Jalan Raja Alang
- 13. Jalan Raja Bot
- 14. Lorong Tiong Nam
- 15. Jalan Putra
- 16. Jalan Tun Razak
- 17. Jalan Raja
- 18. Jalan Raja Laut
Jadual kerja dan peralatan bagi pembersihan awam dan kutipan sisa pukal pasca banjir:
- 1. Lori High Pressure Jtter - 20 unit
- 2. Lori Vacall - 4 unit
- 3. Lori Amroll, Openm Tipper dan Roro - 25 unit
- 4. JCBH Backhoe- 1 unit
Jumlah keseluruhan: 50 aset unit
Tenaga kerja: 155 orang
Jumlah kutipan sisa pukal pasca banjir dari 19 Disember sehingga 21 Disember di Kuala Lumpur:
Utara
Trip - 26
Ton- 52
Tengah
Trip- 10
Ton- 52
Selatan
Trip -33
Ton- 70
Jumlah keseluruhan trip : 69
Jumlah keseluruhan ton: 143
Klik di sini untuk terus membaca