SHAH ALAM - Banjir yang melanda secara mengejut membuatkan ramai penduduk di Lembah Klang tidak bersedia menghadapi keadaan tersebut dan tidak tahu apa cara yang perlu dilakukan untuk proses pembersihan pasca banjir.
Pengarah Wilayah Persekutuan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ummi Kalthum Shuib berkata, orang awam dinasihatkan untuk mengurangkan sisa ke tapak pelupusan dan mengasingkan barang-barang yang rosak akibat banjir.
"Selepas banjir, masyarakat dinasihatkan untuk mengasingkan barang-barang yang rosak atau separa rosak untuk dibawa keluar ke hadapan rumah atau lokasi yang disediakan untuk dipungut dan dilupuskan.
"Amalan Pengasingan Sisa Di Punca (Separation at Source) di Kuala Lumpur adalah diwajibkan,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, antara barang-barang yang paling penting untuk diasingkan adalah barang-barang elektronik kerana ia perlu dikeringkan dan dilupuskan sebagai e-waste sekiranya tidak lagi berfungsi.
"Sisa-sisa elektrik harus dikeringkan terlebih dahulu dan diuji sama ada berfungsi atau tidak selama tiga hari sebelum diasingkan.
"Ini termasuk barang-barang elektronik seperti peti ais, mesin basuh, pendingin hawa dan bateri rosak supaya ia dapat dilupuskan sebagai e-waste kelak,” katanya.
Selain itu, antara perkara yang sensitif dan perlu diberi perhatian oleh orang awam adalah pengutipan atau penyerahan al-Quran semasa banjir.
"Apabila banjir berlaku, semestinya akan ada al-Quran yang hanyut. Orang awam tanpa mengira agama dinasihatkan untuk menghantar dan mengeringkan al-Quran tersebut ke masjid atau surau berdekatan.
"Ini termasuk juga dengan dokumen yang mengandungi ayat al-Quran. Al-Quran ini akan kemudiannya diambil oleh SWCorp dan dilupuskan mengikut peraturan agama Islam,” katanya.
Mengikut pengalaman Ummi Kalthum melawat kawasan perumahan mangsa banjir, terdapat ramai yang terus membuang sisa fabrik seperti sofa yang akan mengambil masa yang lama untuk terurai di tapak pelupusan.
"Sisa fabrik seperti sofa dan langsir perlu dibasuh, dikeringkan dan dikumpulkan untuk dihantar ke tong sisa fabrik.
"Semua sisa kitar semula wajib diasingkan dan dikeluarkan mengikut jadual kutipan kawasan masing-masing,” katanya.
Ummi Kalthum Shuib berkata, orang awam juga perlu prihatin dan mengubah sikap serta cara dalam pembuangan sisa domestik supaya tidak bercampur dengan sisa pukal.
"Sisa domestik biasa seperti sisa makanan dan kotoran perlu dibuang ke dalam tong hijau kerana kutipan akan dibuat mengikut jadual.
"Jika dicampur dengan sisa pukal, ia akan merosakkan sisa pukal dan menyebabkan bau yang kuat sebelum dikutip sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, SWCorp melalui syarikat konsesi Alam Flora Sdn Bhd telah menyediakan jadual kutipan sisa pukal untuk penduduk di Kuala Lumpur.
"Permintaan penduduk semakin meningkat dan usaha untuk menambah kapasiti peralatan dibuat dari masa ke masa.
"Kerajaan Persekutuan juga telah mengarahkan supaya segala bantuan diberi demi keselesaan penduduk di negeri-negeri yang terlibat dengan banjir,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca