SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, menempelak tindakan segelintir pemimpin politik mengulangi kesilapan dan 'perangai lama' dengan berebut jawatan mahu menjadi Pengerusi Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, menempelak tindakan segelintir pemimpin politik mengulangi kesilapan dan 'perangai lama' dengan berebut jawatan mahu menjadi Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri.

Wan Saiful menegaskan beliau berasa jelik dengan tindakan seorang Menteri Persekutuan dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang berbalah sesama sendiri mengenai siapa sebenarnya Pengerusi MKN Selangor.

"Agak-agak, rakyat peduli ke siapa Pengerusi? Apa faedah berebut jawatan kalau masalah rakyat masih belum selesai? Cuba ambil contoh daripada sebegitu banyak NGO dan orang awam yang berterusan membantu rakyat," katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada Selasa lalu, Amirudin menyatakan beliau akan kembali semula mempengerusikan MKN Selangor mulai Rabu lalu.

Bagaimanapun, pada Rabu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar menjelaskan bahawa beliau masih lagi Pengerusi MKN Selangor.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menafikan dakwaan Amirudin bahawa jawatan Pengerusi MKN sudah bertukar tangan.

Malah, Noh mendakwa, apa yang dilakukan oleh Amirudin adalah cubaan untuk lepas tangan daripada tanggungjawab yang sebenarnya.



Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, sepanjang beliau terbabit dengan kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir beliau lihat sendiri pelbagai kumpulan sukarela membantu manga banjir seperti team Ustaz Ebit Liew, team dari Neelofa, team dari Dana Kita, Unit Amal Pas, Skuad Prihatin Bersatu, sukarelawan parti MUDA, persatuan penduduk, dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Tak ada seorang pun dalam kalangan kami bertelagah siapa nak menjadi ketua. Kita semua saling bantu membantu untuk buat kerja. Yang penting, ada beribu-ribu rumah perlu dibersihkan segera. Itu tumpuan kita.

"Dalam waktu begini, saya nasihatkan orang politik yang bawa "perangai lama" ni supaya sudah sudah lah. Lagi kamu tunjuk perangai, lagi rakyat marah.

"Dan disebabkan kamu tamak berebut jawatan, habis semua orang politik tercemar sama. Padahal yang perangai buruk kamu saja. Kami yang lain ni nak buat khidmat, tapi terpalit sebab perangai kamu," katanya.

Berikutan itu, Wan Saiful mengajak semua pihak bermuafakat kerana rakyat mengharapkan yang terbaik daripada ahli politik.

"Jangan disebabkan "perangai lama" kamu, nama semua orang rosak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bermuafakatlah. Rakyat mahu kita buat yang terbaik untuk mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca