TRAGEDI banjir besar yang melanda Lembah Klang pada hujung minggu lalu menyebabkan ribuan mangsa berdepan perit jerih antaranya terpaksa memanjat bumbung rumah untuk berlindung dan kehabisan bekalan makanan selepas berjam-jam terperangkap... Klik di sini untuk terus membaca

TRAGEDI banjir besar yang melanda Lembah Klang pada hujung minggu lalu menyebabkan ribuan mangsa berdepan perit jerih antaranya terpaksa memanjat bumbung rumah untuk berlindung dan kehabisan bekalan makanan selepas berjam-jam terperangkap dalam banjir.

Di daerah Petaling, kawasan paling teruk terjejas pastinya Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam yang menyaksikan lebih 14 mangsa banjir terkorban setakat ini - angka tertinggi yang direkodkan dalam kejadian banjir.

Berdasarkan penjelasan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, penduduk di Taman Sri Muda terperangkap dalam fenomena ‘banjir termenung’ kerana air tidak dapat dialirkan keluar ke Sungai Klang.

Seorang penduduk berjalan di celah kenderaan yang rosak teruk akibat banjir baru-baru ini ketika tinjauan di sebuah pangsapuri di Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Khamis. - Foto Bernama

Hal ini disebabkan masalah pam air yang tidak berfungsi selain tersepit di antara dua sungai utama iaitu Sungai Damansara dan Sungai Klang sewaktu air laut pasang besar terjadi.

Namun apa yang mengejutkan ialah pendedahan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang menerima maklumat dari individu yang ada kredibiliti, bahawa kawasan itu sepatutnya dibina kolam takungan air banjir.

Isu pembangunan Sri Muda yang dibangkitkan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub perlu disiasat pihak berwajib kerana kawasan ini sepatutnya dibangunkan kawasan tadahan air banjir.

Beliau menggesa pihak berkuasa membuat siasatan sama ada wujud amalan rasuah dalam projek perumahan di lokasi itu.

Justeru, persoalan paling utama, adakah benar projek pembangunan di Taman Sri Muda adalah terancang atau sekadar bermotifkan keuntungan yang akhirnya menjadi jerangkap samar?

Menyelami sejarah kewujudan Taman Sri Muda, sebuah artikel tulisan Penyelidik Bersekutu Weatherhead Center For International Affairs, Harvard University, Dr Mohd Faizal Musa menceritakan kawasan itu berasal dari Merton Estate yang berada di Lot 28, Mukim Klang, berkeluasan 58,475 hektar.

Mohd Faizal atau lebih dikenali Faisal Tehrani menjelaskan, kawasan estet berkenaan dibeli sebuah syarikat pemaju, yang kemudiannya membangunkan kawasan terbabit pada 17 Februari 1982 sebelum dibuka secara rasmi pada tahun 1991.

Pada ketika itu terdapat pandangan kontra mengenai impak pembangunan Taman Sri Muda sejak ia diwujudkan.

Ada beberapa penulisan ilmiah berpendapat bahawa kawasan itu bukan sebuah penempatan berbahaya untuk didiami, bahkan dianggap selamat daripada banjir.

Namun pada masa sama, beliau turut mengemukakan naratif bertentangan berdasarkan hasil perbincangan orang awam yang merujuk Taman Sri Muda sebagai kawasan terancam disebabkan himpitan Sungai Klang dan Sungai Damansara.

Berdasarkan pembentangan pandangan yang bertentangan itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo sewaktu dihubungi mengakui pelaksanaan projek pembangunan perumahan di Taman Sri Muda di peringkat awalnya berdepan pelbagai masalah.

Kurang pasti mengenai pihak bertanggungjawab membangunkan kawasan itu, Mohamad Khir menjelaskan, pembangunan Taman Sri Muda mengalami masalah infrastruktur sistem pengairan tidak sempurna selain ketiadaan kawasan kolam takungan banjir.

Namun katanya, dengan dunia berdepan isu ketidaktentuan iklim selain paras air laut sentiasa meningkat saban tahun, satu perancangan untuk solusi tuntas sewajarnya dikemukakan kerajaan.

Kunci air dari Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor menyedut keluar air dari kawasan banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 pada tinjauan hari ini. - Foto Bernama

"Pada zaman saya, bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda negeri Selangor, satu projek pembinaan Bandar Terusan (Canal City) sepanjang 17 kilometer, yang menghubungkan dua tasik utama di daerah Petaling dan Kuala Langat, sudah diusahakan,” katanya,

Jika projek itu berjaya dilaksanakan, beliau menegaskan, terusan yang menghubungkan dua tasik berkenaan mampu menyimpan air limpahan sungai berkapasiti lebih ratusan juta liter dalam tempoh seminggu.

"Malangnya projek itu dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengambil alih Selangor pada tahun 2008,” katanya.

Selain itu, masalah banjir kilat kerap berlaku termasuk peristiwa banjir besar Sri Muda sekitar tahun 1995, sehinggalah Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengambil inisiatif membina benteng sungai, kolam takungan banjir bernilai RM40 juta serta pembinaan pam air bagi mengalirkan segera masalah air banjir ‘termenung’.

Muhammad berpandangan, apabila sebuah syarikat pemaju dipertanggungjawabkan melaksanakan projek pembangunan di sesebuah kawasan, mereka sepatutnya wajib mematuhi syarat-syarat rancangan pembangunan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, projek pembangunan di Taman Sri Muda yang dibangunkan sewaktu zaman pentadbiran Menteri Besar Ke-10, Allahyarham Tan Sri Ahmad Razali Mohamed Ali itu, seolah-olah menunjukkan pemaju melanggar semua syarat ditetapkan kerajaan negeri, termasuk ketiadaan pembinaan sebuah kolam takungan banjir.

"Masalah sebegini bukan sahaja berlaku di Selangor, bahkan di seluruh negara dengan syarikat-syarikat pemaju ini seolah-olah ‘kebal’ daripada penguatkuasaan pihak kerajaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca