PARIS - Bagaimana jika pil yang mudah diambil berupaya merawat Covid-19? Firma gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Merck dan Pfizer kini menjadi perintis penghasilan ubat oral setelah mengumumkan keputusan ujian klinikal... Klik di sini untuk terus membaca

PARIS - Bagaimana jika pil yang mudah diambil berupaya merawat Covid-19?

Firma gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Merck dan Pfizer kini menjadi perintis penghasilan ubat oral setelah mengumumkan keputusan ujian klinikal memberangsangkan.

Perkembangan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha untuk memerangi pandemik tersebut yang masih kekal mengancam komuniti antarabangsa dan mencetuskan gelombang jangkitan baharu susulan kemunculan varian Omicron yang dikesan di Afrika Selatan.

Ia adalah pil yang diambil sejurus individu mengalami simptom pertama Covid-19 bagi mengelakkan penyakit yang serius sekali gus mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital.

Bentuk rawatan ubat oral telah dikaji sejak krisis kesihatan global itu bermula.

Selepas penyelidikan yang dilakukan selama beberapa bulan, Merck dan Pfizer akhirnya mencapai keputusan positif yang bakal menjadi rawatan alternatif selain vaksinasi Covid-19 yang masih dilakukan secara meluas bagi membendung penularan wabak itu.

Keputusan ujian klinikal terhadap molnupiravir menunjukkan ia dapat mengurangkan kadar individu dimasukkan ke hospital dan kematian sebanyak kira-kira 30 peratus.

Pada Khamis, Merck diberi kelulusan oleh AS untuk penggunaan pil molnupiravir ke atas golongan dewasa berisiko tinggi tertentu, sehari selepas paxlovid yang dihasilkan Pfizer diberi lampu hijau untuk kegunaan kecemasan terhadap golongan berisiko tinggi dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas di Washington.

Kadar keberkesanan paxlovid untuk mengelakkan individu berisiko tinggi dimasukkan ke hospital adalah kira-kira 89 peratus.

Kedua-duanya adalah antiviral yang bertindak dengan mengurangkan keupayaan virus untuk mereplikakan sekali gus memperlahankan penyakit.

Keputusan ujian klinikal yang memberangsangkan juga menyebabkan pengambilan molnupiravir disarankan oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) untuk merawat individu berisiko tinggi mendapat Covid-19 yang teruk.

Sementara itu, kumpulan yang mengambil paxlovid pula merekodkan pada kadar hampir 90 peratus walaupun perbandingan secara langsung tidak boleh dibuat berikutan protokol kajian yang berbeza.

Sementara itu, kajian diterbitkan penyelidik Brazil menerusi jurnal Lancet Global Health pada Oktober lalu mendapati ubat antidepresan yang sudah tersedia kepada orang ramai, fluvoxamine juga memberikan keputusan yang positif untuk mengelakkan penyakit serius Covid-19.

Jika tahap keberkesanan ubat oral berkenaan disahkan, ia bakal menjadi kemajuan besar dalam usaha memerangi Covid-19 selepas kempen vaksinasi dilancarkan secara meluas di seluruh dunia, namun wujud ketidaksamaan dalam pengagihan bekalan terutamanya di negara miskin.

Pil pula lebih mudah diberikan kepada pesakit dan boleh diambil di rumah tanpa sebarang masalah.

Rawatan Merck dan Pfizer yang tidak menunjukkan kesan sampingan yang serius memerlukan pengambilan kira-kira 10 set rawatan selama lima hari.

"Kejayaan ubat oral antiviral berpotensi ini menandakan era baharu dalam keupayaan untuk mencegah kesan teruk jangkitan SARS-CoV2,” kata ahli virologi Britain, Stephen Griffin.

Bagaimanapun, sukar untuk menilai rawatan tersebut berikutan kedua-dua firma farmaseutikal itu hanya menerbitkan kenyataan dan tidak memberikan sebarang data ujian klinikal yang dilakukan sebagai bukti mengesahkan dakwaan mereka berhubung tahap keberkesanannya.

Pada September lalu, pakar penyakit berjangkit di Perancis, Karine Lacombe memberi amaran pengumuman tentang penghasilan ubat oral itu perlu diterima secara ‘berhati-hati’ sehingga kajian berkenaan dapat diteliti.

Menurutnya, ubat oral mewakili pasaran ‘berpotensi besar’ untuk syarikat farmaseutikal.

Namun, Merck dan Pfizer dilaporkan menghentikan ujian klinikal lebih awal daripada yang dijadualkan kerana keputusan ujian yang positif di samping mendapat lampu hijau daripada jawatankuasa pemantau bebas.

Bagi keputusan kajian fluvoxamine, beberapa pakar mendakwa isu seperti kekerapan dimasukkan ke hospital tidak dinyatakan secara terperinci untuk menjelaskan tahap keberkesanannya hingga didakwa merumitkan tafsiran data.

Merck berikrar untuk mengelakkan insiden ketidakadilan pengagihan vaksin Covid-19 berulang dengan memastikan pil anti-Covid-19 diedarkan secara serentak ke negara kaya dan miskin.

Pengarah Eksekutif Dasar Awam Global di firma itu, Paul Schaper memaklumkan mereka telah mula mengusahakan strategi itu sejak Julai 2020 sebelum keputusan keberkesanan ujian ubat oral dihasilkan bersama Ridgeback Biotherapeutics diumumkan pada bulan lalu.

"Sejak dari awal, kami telah membangunkan rantaian bekalan dan menjangkakan untuk menghasilkan 10 juta set rawatan menjelang akhir tahun ini dan menggandakan jumlah itu pada 2022.

Menurutnya, harga ditetapkan adalah berdasarkan pendapatan sesebuah negara seperti ditakrifkan data Bank Dunia.

Ia turut memeterai kesepakatan dengan lapan rakan niaga berlesen di India dan menandatangani perjanjian dengan Kelompok Paten Ubat (MPP) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memudahkan akses ke 105 negara.

Difahamkan, beberapa negara sudah mula membuat tempahan untuk mendapatkan bekalan molnupiravir dan permintaan yang semakin meningkat mungkin akan menyebabkan harga pasarannya lebih tinggi.

Pfizer yang masih belum menetapkan harga pasaran untuk paxlovid berjanji ia bakal dijual secara berpatutan dan tertakluk kepada pendekatan harga berperingkat berdasarkan tahap pendapatan negara. - AFP

INFO

Rawatan Covid-19 pertama di rumah telah diberikan kepada kumpulan pesakit di United Kingdom (UK) sebagai sebahagian daripada kajian kebangsaan digelar Panoramic ke atas 10,000 individu yang berisiko tinggi diketuai University of Oxford dan dibiayai Institut Kebangsaan untuk Penyelidikan Kesihatan.

Pada bulan lalu, Britain menjadi negara pertama meluluskan molnupiravir untuk digunakan pesakit berisiko tinggi yang mengalami penyakit serius seperti warga emas, golongan obes atau yang menghidap diabetes.

Molnupiravir sebagai molekul kecil mempunyai kelebihan yang tidak memerlukan cara storan sejuk seperti vaksin mRNA.

Pfizer menjangkakan untuk menghasilkan 180,000 set ubat paxlovid pada tahun ini dan kira-kira 50 juta set lagi pada 2022.

Data menunjukkan kira-kira 57.3 peratus penduduk dunia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala hanya 8.3 peratus populasi di negara berpendapatan rendah mendapat imunisasi Covid-19 berikutan nasionalisme vaksin.

Klik di sini untuk terus membaca