KLANG - Takut dan bimbang sehingga berniat untuk membunuh diri antara tindakan terakhir kebanyakan individu yang tertekan dengan ugutan peminjam wang tidak berlesen atau ah long. Perkara itu didedahkan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Klang,... Klik di sini untuk terus membaca

KLANG - Takut dan bimbang sehingga berniat untuk membunuh diri antara tindakan terakhir kebanyakan individu yang tertekan dengan ugutan peminjam wang tidak berlesen atau ah long.

Perkara itu didedahkan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Klang, Datuk B K Tan mengenai situasi peminjam terutama golongan peniaga kecil.

Berkongsi pengalaman di biro itu, beliau memberitahu, kebanyakan kes yang diterima, mangsa mendakwa sangat tertekan dengan ugutan dan gangguan ah long setiap hari.

"Itu belum perbuatan khianat yang dilakukan terhadap mangsa termasuk rumah disimbah cat, ugutan menerusi WhatsApp dan pelbagai lagi mengakibatkan mangsa tertekan," katanya dalam temu bual khas baru-baru ini.

Berkongsi kisah peminjam, Tan berkata, terdapat mangsa yang hampir membunuh diri gara-gara kerap diganggu ah long.

Tan menunjukkan antara iklan haram dipercayai ah long selain mencacatkan pemandangan.

"Ada satu kes mangsa sudah meminjam dengan ah long hampir ribuan ringgit dan sudah menyelesaikan separuh daripada pinjaman.

"Bagaimanapun disebabkan Covid-19 melanda negara mengakibatkan perniagaan yang diusahakan hampir musnah dan terpaksa berhenti membayar hutang," katanya.

Menurut Tan, sejak itu episod hitam hidup mangsa bermula apabila ah long mula mengganggu dan mengugut peminjam dan keluarganya sekali gus mengakibatkan mangsa hampir membunuh diri.

Tan memberitahu, peminjam tertekan bukan sahaja tidak dapat membayar hutang tetapi kadar faedah yang dikenakan juga tinggi sehingga 300 peratus,

"Bayangkan berlipat kali ganda daripada jumlah yang dipinjam. Ini perkara yang tidak seharusnya berlaku, tambahan sekarang ini keadaan ekonomi agak kurang memberangsangkan. Faedah yang tinggi itu menzalimi mangsa," katanya.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara memberikan kesan yang besar kepada semua pihak terutamanya mereka yang mengalami masalah seperti diberhentikan kerja dan pendapatan berkurangan.

Tan berkata, jumlah mangsa ah long sememangnya mencatatkan peningkatan ketika pandemik Covid-19 melanda negara kerana mereka perlu melunaskan komitmen seperti ansuran rumah, kereta dan pinjaman peribadi di bank.

"Tambahan pula syarat yang diberikan ah long ini dikatakan tidak terlalu rumit, jadi mangsa tanpa berfikir panjang terus meminjam," katanya.

Ramai peniaga kecil terperangkap

Mendedahkan kepada Sinar Harian, Tan berkata, ramai golongan peniaga kecil menjadi mangsa ah long kerana terpedaya dengan tawaran terutama melibatkan faedah.

Menurutnya, ada ah long yang kononnya menawarkan kaedah pinjaman dengan faedah yang rendah namun hakikatnya tidak seperti yang dijanjikan.

"Bila peminjam tak boleh nak bayar, maka faedah tersebut akan meningkat berkali ganda sekali gus mengakibatkan peminjam sukar membayarnya," katanya.

Antara tindakan yang dilakukan oleh ah long terhadap peminjam yang gagal melunaskan bayaran.

Tambah beliau, dalam tempoh ini peniaga mempunyai masalah dalam konteks pusingan modal tetapi tindakan itu bukan memberi kebaikan malah menambah kesukaran.

Lebih menyedihkan katanya, apabila perniagaan yang diusahakan tidak mampu bertahan dan pada masa sama dibebani dengan hutang.

Beliau juga kesal kerana banyak iklan yang diletakkan di tepi-tepi jalan utama dan di lokasi tumpuan menjadi faktor peminjam berminat untuk berhutang.

Tan berkata, iklan itu secara langsung membuatkan orang ramai terpedaya.

"Memang tidak adil untuk menyalahkan peminjam. Bayangkan mereka dalam situasi yang terdesak dan pada masa sama terlihat pula iklan sebegini, mereka akan fikir itu jalan mudah yang sebenarnya satu perangkap.

"Sakit mata sebenarnya melihat iklan-iklan itu yang diletakkan sewenang-wenangnya selain mencacatkan pemandangan saja.

"Saya harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan tegas dalam soal ini dengan menjalankan operasi menurunkan iklan secara besar-besaran," katanya.

Tan turut mendedahkan kebanyakan mangsa tidak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana penting untuk pihak polis mengambil tindakan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada peminjam.

"Ada mangsa yang mendakwa mereka menerima ugutan daripada ah long dan datang ke biro pengaduan awam untuk meminta pertolongan tetapi mereka tidak membuat laporan polis kerana takut diancam," katanya.

Katanya, peminjam seharusnya tidak perlu khuatir kerana laporan polis akan memastikan segala tindakan akan tindakan.

Justeru beliau menasihatkan peminjam supaya tidak bimbang dan terus melaporkan kepada polis jika mereka diugut.

"Ini juga merupakan syarat utama yang sebelum peminjam meminta pertolongan daripada kami," katanya.

Kadar faedah tinggi

Beliau menegaskan, Biro Pengaduan Awam MCA akan mengadakan sesi pertemuan bersama ah long bagi melihat bayaran yang telah dijelaskan oleh mangsa.

"Seperkara yang perlu kita ingat ialah ah long mengenakan faedah yang cukup tinggi kepada peminjam sekaligus mengakibatkan beban hutang peminjam akan bertambah.

"Jadi akan ada sesi perbincangan dan kita akan cuba mengadakan satu ketetapan yang memberi kesan kepada dua pihak iaitu peminjam tidak lagi ditekan ah long dan masa sama ah long mendapat kembali wang tanpa faedah yang tinggi," katanya.

Sebagai individu yang berpengalaman dalam bidang berkaitan, Tan menasihatkan supaya orang ramai melakukan perancangan kewangan dengan teliti bagi mengelakkan terjebak dengan peminjam wang tidak berlesen.

Menurutnya, penting untuk individu itu tidak mengambil jalan singkat dengan meminjam daripada ah long.

"Ketika ini ramai masyarakat yang terkesan, ada yang diberhentikan kerja dan mengalami pengurangan gaji, masalah dalam perniagaan dan sukar membayar sewa pinjaman. Nasihat saya elakkan meminjam dengan ah long.

"Taktik ah long ini, mereka akan cuba perdayakan peminjam dengan tidak perlu dokumen dan sebagainya sedangkan kita tidak tahu di sebalik itu ada faedah tinggi yang akan memberi kesan kepada peminjam," katanya.

3,149 aduan dalam tiga tahun

November lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 80 aduan membabitkan kes pinjaman ah long di seluruh negara dalam tempoh sebulan sejak Januari sehingga Oktober lalu.

Menerusi temu bual bersama sebuah media tempatan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak 3,149 aduan membabitkan pinjaman ah long direkodkan berdasarkan statistik dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 sehingga Oktober lalu.

"Sebanyak 2,283 kes direkodkan sepanjang tahun 2019 sehingga tahun lalu membabitkan jumlah keseluruhan pinjaman bernilai RM24 juta.

"Bagi 2021 pula, sebanyak 839 kes diterima sejak Januari lalu sehingga Oktober lalu membabitkan jumlah pinjaman RM3.7 juta," katanya.

Katanya, aduan yang diterima berpunca daripada sikap mangsa sendiri yang meminjam wang daripada lintah darat sehingga menyebabkan diri mereka terjerat dengan bayaran balik pinjaman berlipat kali ganda.

Tan menunjukkan antara iklan haram dipercayai ah long yang ditampal di kawasan tumpuan.

"Kesemua aduan yang diterima adalah membabitkan pelbagai golongan seperti ahli perniagaan serta peniaga.

"Selain itu terdapat juga mangsa terdiri daripada pengawal keselamatan dan pemandu grab dengan jumlah pinjaman sebanyak RM27.77 juta," katanya.

Menurutnya, Johor mencatatkan jumlah aduan tertinggi apabila sebanyak 1,053 kes ah long dilaporkan membabitkan pinjaman RM1.93 juta.

"Selain itu, Selangor turut mencatatkan 483 kes dengan jumlah kerugian RM12.9 juta.

"Tiga lagi negeri mencatatkan jumlah aduan tertinggi membabitkan sindiket ah long ini iaitu Pulau Pinang apabila sebanyak 267 kes dilaporkan melibatkan jumlah keseluruhan pinjaman RM4.89 juta, selain Perak (249 kes) dan Kuala Lumpur (200 kes)," katanya.

Kisah peminjam ah long

SHAH ALAM - Joe (bukan nama sebenar) menghadapi masalah kewangan selepas diberhentikan kerja gara-gara syarikat yang menjadi punca pendapatannya terpaksa gulung tikar.

Joe kemudiannya ingin memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan namun berdepan kesulitan untuk membuat pinjaman dengan agensi kewangan berdaftar.

Tidak berfikir panjang, Joe kemudiannya mendapatkan pinjaman sebanyak RM10,000 daripada ah long untuk memulakan perniagaan.

Episod hitam bermula apabila Joe gagal melunaskan pinjamannya akibat kekurangan modal pusingan sekaligus mengakibatkan ah long mengganggunya hampir setiap hari.

Antara tindakan dilakukan ah long untuk memberi tekanan terhadap peminjam yang gagal melunaskan bayaran.

KLANG - "Saya tertekan sampai satu tahap saya rasa macam tak berguna untuk hidup lagi," demikian luah seorang mangsa ah long yang hanya mahu dikenali sebagai Mani.

Shanti, 54, berkata, dia telah meminjam daripada 11 ah long untuk membuat modal pusingan berniaga.

"Saya berniaga dan mempunyai kedai makan sendiri, bila waktu Covid-19 ini, perniagaan saya terjejas, sebab pelanggan tak dibenarkan makan di kedai, saya cuba buat secara bungkus, tapi macam tak menjadi, saya terpaksa berhutang dengan ramai orang.

"Sehinggakan modal pusingan saya terguna, nak cari modal untuk tampung, akhirnya saya terpaksa meminjam daripada 11 ah long," katanya.

Katanya, tindakannya itu untuk menampung hutang yang dipinjam sebelum ini.

"Mula saya pinjam dengan seorang ah long, akibat bunga yang tinggi, saya tak mampu nak bayar, sampailah 11 orang ah long saya pinjam.

"Saya hutang atas hutang, saya terpaksa buat begitu, saya tak tahu lagi dengan siapa saya boleh bergantung, nak pinjam dari saudara mara, masing-masing ada kesusahan sendiri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca