SABTU lalu, dua peristiwa besar dicatat dalam lembaran sejarah negara.
Tanggal 18 Disember menyaksikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. Namun, kisah itu pantas tenggelam dek musibah banjir yang melanda negara.
Ia disifatkan antara terburuk dalam sejarah. Setakat hari ini, ia sudah meragut 41 korban jiwa dan kerugian harta benda yang dianggarkan bernilai RM300 juta.
Itu belum lagi mengira impak psikologi akibat kehilangan kediaman dan kerosakan harta benda serta kesan trauma daripada musibah banjir.
Walaupun sudah seminggu berlalu, musibah itu memperlihatkan pelbagai perkara perlu dijadikan iktibar.
Bencana kali ini menyaksikan lemahnya sistem pengurusan, usaha menyelamat dan kekurangan penyelarasan antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
Lebih malang, ia dijadikan medan ‘tuding menuding’ dan bertikam lidah, sedangkan yang penting dalam situasi cemas sebegini adalah tindakan dan solusi, bukannya berbalah sesama sendiri.
Rakyat tidak mahu tahu siapa bertanggungjawab. Rakyat juga tidak peduli siapa pengerusi jawatankuasa bencana, bidang kuasa mereka dan di peringkat mana. Itu bukan urusan rakyat.
Tindakan paling betul adalah memastikan semua pihak bekerjasama dan menyelesaikan permasalahan.
Pihak berwajib pun janganlah terlampau birokratik ketika waktu genting. Rakyat dalam keadaan terdesak. Mengapa masih mahu menyulitkan keadaan.
Apa perlunya berprotokol dan terlalu ‘ikut buku’. Daripada isu menolak bincang dan bahas isu banjir serta bantuan di Parlimen sampailah usaha menyelamat di lapangan, apakah benak sangat nurani kemanusiaan kita sampai begitu sekali. Pekalah sikit tentang apa yang berlaku.
Banjir memperlihatkan wujudnya kelemahan sistem yang mendesak terutama pengurusan bencana. Keperluan perancangan awal dan pembentukan protokol urus bencana harus dimulakan segera.
Sebanyak mana pun agensi atau jawatankuasa dibentuk bagi menguruskan bencana, tanpa sebarang perancangan awal dan protokol berkesan tidak akan menyelesaikan masalah terutama ketika bencana sebenar berlaku dan terpaksa bekerja di bawah tekanan.
Faktor kelam-kabut, keliru dan kebimbangan terhadap keselamatan awam mungkin menjejaskan tumpuan semua daripada memikirkan sesuatu sekiranya tidak ada protokol yang jelas.
Justeru, jika kita mahu mewujudkan pelan pengurusan bencana yang berkesan, kita perlu melakukannya dari awal. Ibarat sediakan payung sebelum hujan. Kunci utama mestilah mengutamakan keselamatan nyawa.
Barangkali ramai arif dan pakar tentang bagaimana untuk merangka dan membentuk protokol tersebut kerana masing-masing ada kepakaran diperlukan.
Namun, secara asasnya protokol itu haruslah mengandungi tiga elemen. Pertama, kenal pasti siapa yang harus buat apa. Adalah sangat penting untuk mengenal pasti siapa bertanggung jawab melakukan apa ketika kecemasan. Sekiranya terdapat protokol tertentu yang mesti diikuti, semua pihak akan bekerjasama dan menggunakan sumber masing-masing dengan cekap dan pantas dalam situasi kecemasan.
Kedua, menekankan aktiviti perancangan melalui pertimbangan, jangkaan dan bacaan awal terhadap sebarang bencana. Pembacaan awal akan memudahkan perancangan dan membolehkan tindakan diambil dengan pantas jika ada perubahan dan perkara luar jangka.
Terakhir, penekanan prioriti menyelamatkan nyawa sebagai keutamaan. Ia mungkin melibatkan pendidikan dan kempen kesedaran tentang kesiapsiagaan rakyat terhadap sebarang bencana.
Aspek pengurusan kendiri, disiplin dan rasa tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa dan rakyat harus dipupuk. Ia akan meningkatkan persediaan kendiri dan keteraturan sikap dalam menghadapi bahaya bencana sementara menunggu bantuan mana-mana pihak.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca