IA berlaku pada 2014 tidak silap saya. Kejadian banjir terjadi beberapa tahun tanpa penyelesaian.
Perbincangan hangat dalam mesyuarat jawatankuasa telah berlaku lama untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Tuan, air banjir ini datang dari kawasan industri sebab tidak ada kolam tadahan. Perlu buat kajian untuk membinanya,” kata kami mewakili penjaga jalan yang banjir.
"Kami akan buat kajian dulu,” kata jurutera sebuah agensi kerajaan.
"Saya rasa jalan awak rendah. Awak patut tinggikan jalan,” kata jurutera yang lain.
"Kalau kami tinggikan jalan, nanti kawasan industri akan banjir,” kata kami pula.
"Okey okey, kami kaji dulu,” kata jurutera jalan tersebut.
Setiap bulan kami akan bermesyuarat mencari jalan penyelesaian. Itu sahaja mampu dilakukan dan jalan akan banjir apabila hujan lebat serta air pasang besar. Pengguna jalan raya akan buat aduan diiringi dengan maki hamun.
Tiba bulan seterusnya, isu itu dibangkitkan lagi kerana masih belum selesai untuk dikeluarkan daripada minit mesyuarat.
"Tuan mungkin kena cuci sampah longkang dulu,” kata seorang pembantu teknikal agensi kerajaan berkenaan.
"Kami dah cuci dan dalamkan longkang tanah tetapi air datang dari kawasan industri disebabkan tiada kolam tadahan yang sepatutnya adalah syarat bina kepada pemaju,” kata kami.
"Tuan, kami sudah melantik perunding untuk buat kajian,” kata pembantu teknik tersebut.
Tiba musim tengkujuh, sekali lagi jalan tersebut banjir. Dan sekali lagi kami dimaki hamun. Ada kereta tersadai disebabkan masuk air agaknya. Ada yang degil tetap meranduk air, tidak mahu mengikut aliran trafik disediakan.
Bulan berikutnya, sekali lagi kami bermesyuarat: "Statusnya tuan?”
"Oh maaf tuan. Saya baru bertukar ke jabatan ini,” jawab seorang pegawai muda yang juga jurutera.
Kami mengeluh: "Hmm, tuan ada baca minit?”
"Ya, ada baca cuma saya tidak dapat maklumat lagi. Tiba-tiba sahaja saya dapat e-mel minta hadir mesyuarat,” jawab jurutera itu.
"Mesyuarat sebelum ini, pihak tuan beritahu akan melantik perunding untuk buat kajian,” kata kami mengingatkan.
"Oh baik. Nanti saya semak statusnya,” katanya jurutera tersebut sambil mencatat sesuatu.
Seperti biasa, mesyuarat tanpa penyelesaian, namun banjir akan tiba lagi dan sekali lagi kami bersedia dengan penuh ikhlas untuk menerima maki hamun.
"Tuan, sepatutnya reka bentuk hendaklah mengikut spesifikasi yang dapat menampung jumlah hujan sehingga 50 tahun. Perunding tuan patutnya sudah berfikir tentang ini,” kata jurutera lain yang mewakili agensi kerajaan tersebut pada mesyuarat bilangan ke berapa pun saya sudah tidak ingat.
"Eh tuan, wakil jabatan tuan dulu sudah bertukar lagi ke?” tanya kami.
"Ya, sudah bertukar. Sekarang saya pula,” kata jurutera tersebut.
"Tuan, setiap reka bentuk akan dibentangkan kepada agensi-agensi terlibat untuk kelulusan. Mereka akan buat penilaian,” kata kami cuba menerangkan dengan penuh berhemah.
"Yang memberi kelulusan daripada agensi-agensi seperti tuan juga. Kalau tidak, mana mungkin kami dapat bina jalan ini.
"Jadi bagaimana tuan? Sudah ada cadangan perunding?” tanya kami.
"Belum lagi tuan. Nanti kami beritahu pada mesyuarat seterusnya,” jawab jurutera tersebut.
Pada 2017, agensi itu memaklumkan, untuk membuat kolam tadahan di lokasi tersebut tidak sesuai. Lagipun tidak ada tanah kosong.
Katanya, mungkin semasa membuat pembangunan kawasan industri tersebut, pihak pemaju tidak membinanya kerana tidak mahu rugi.
"Kami bercadang untuk menaik taraf longkang tuan. Peruntukan sudah ada,” kata jurutera itu.
"Tidak selesai masalah ini tuan. Penyelesaiannya hendaklah kepada puncanya. Kalau tuan tinggal di rumah pangsa, siling tuan bocor disebabkan kebocoran rumah atas, tuan perlu minta tuan rumah atas yang tampal. Bukannya tuan yang tampal dari bawah,” kata kami.
"Kita cuba. Kami akan mengkaji invert level longkang dulu,” kata jurutera tersebut dengan yakin.
Tahun ini sekali lagi kawasan berkenaan banjir. Mesyuarat sebelum ini ibarat menunjukkan ilmu kepada orang yang 'menetek'. Seperti yang dijadualkan, sekali lagi kami dimaki hamun oleh pengguna jalan raya.
* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca