SHAH ALAM - Pakar ekonomi menjangkakan banjir besar yang melanda negara, ditambah situasi pandemik Covid-19 yang belum berakhir bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keadaan diburukkan lagi apabila Selangor yang antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling teruk terjejas dalam bencana luar biasa itu.
"Kita akui banjir ini memang bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi negara kita untuk tahun ini.
"Sebelum ini pun Bank Negara Malaysia mengatakan pertumbuhan KDNK di sekitar tiga hingga empat peratus.
"Saya melihat mungkin ia menjadi sekitar dua hingga tiga peratus sahaja sebab banjir ini bukan melanda satu negeri tapi banyak negeri.
"Ditambah pula Selangor antara penyumbang utama KDNK negara iaitu lebih kurang 25 peratus dan (Selangor) merupakan negeri yang terjejas teruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Katanya, tempoh pasca banjir termasuk membersihkan kawasan dinaiki air serta membaiki kerosakan akan dibuat.
"Sepanjang sebulan ini memang berlaku gangguan tapi saya tengok bermula Januari nanti, majoriti akan kembali pulih,” katanya.
Sementara itu, dalam masa sama Ahmed Razman turut memuji tindakan segera kerajaan yang mengumumkan bantuan kepada mangsa terlibat khususnya kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Saya tengok kerajaan sudah umum bantuan banjir kepada isi rumah untuk dapatkan pinjaman tanpa faedah untuk beli kelengkapan rumah dan juga bantuan pinjaman kepada peniaga dan juga moratorium tanpa faedah.
"Jadi saya ingat inilah yang penting di mana bantuan pinjaman tanpa faedah dan moratorium diberikan kepada individu dan isi rumah daripada peniaga sehingga sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca