ALANGKAH seronoknya jika kita berada dalam komuniti yang berkasih sayang dan tidak menyakiti antara satu sama lain. Alangkah cerianya hati jika ramai yang pedulikan kita semasa ditimpa musibah. Alangkah bahagianya kita apabila ramai yang... Klik di sini untuk terus membaca

ALANGKAH seronoknya jika kita berada dalam komuniti yang berkasih sayang dan tidak menyakiti antara satu sama lain.

Alangkah cerianya hati jika ramai yang pedulikan kita semasa ditimpa musibah.

Alangkah bahagianya kita apabila ramai yang boleh dijadikan tempat mengadu dan berkongsi kesedihan.

Namun, kesemuanya itu adalah impian semata-mata kerana tidak semua individu bersikap penyayang dan tinggi toleransinya.

Sesungguhnya, radar kepincangan manusia cukup lemah signalnya semasa kita senang tetapi cukup tinggi signalnya sewaktu kita susah.

Sebetulnya, fenomena musibah banjir baru-baru ini banyak memberikan pengajaran kepada kita.

Walaupun ramai yang kerah keringat turun padang membantu meringankan bebanan mangsa banjir, namun pada masa sama masih ramai yang menyakiti perasaan orang lain.

Bagi mereka yang tidak ditimpa musibah, pelbagai dalil menyakitkan jiwa telah dikaitkan dengan mangsa banjir.

Malah, ada juga yang menjatuhkan pelbagai hukum dan menghakimi mereka yang terkena musibah.

Selain itu, bagi pihak mangsa banjir, akibat gagal mengawal kesedihan dan kemarahan, menyakiti pula individu yang menyantuni mereka atas pelbagai sebab.

Natijahnya, musibah banjir menyemarakkan lagi konflik emosi dan pemikiran dalam komuniti.

Pun begitu, segala kepahitan tersebut harus ditelan juga kerana manusia bukannya sempurna.

Menurut seorang ahli falsafah Perancis Blaise Pascal pada 1658 – "Dunia ini dihuni oleh manusia yang hebat dan jijik.

Ada ketikanya mereka mencintai, namun disulami kebencian, ada ketikanya mereka membantu, namun disulami peng-khianatan dan ada ketikanya mereka menghulurkan tangan persahabatan, namun menikam daripada belakang.”

Ia bermakna, kita perlu bijak untuk mengenali siapa boleh dijadikan kawan dan perlu menghindari mereka yang menjadi lawan.

Menurut perspektif Islam, menjauhi orang yang menyakiti kita adalah memenuhi tuntutan Islam sebagaimana hadis diriwayatkan Mu’adz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya, maka dia akan mendapat perlindungan ALLAH iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia." (Hadis Riwayat A-Thabrani).

Menurut perspektif psikologi, orang yang suka menyakiti manusia adalah tergolong dalam kelompok kurangnya sikap empati dan simpati. Pada masa sama berasa diri lebih baik dan sempurna berbanding orang lain.

Pun begitu, terdapat juga kelompok yang menyakiti orang lain kerana belum pernah merasai kesedihan dialami oleh orang lain dan berasa seronok melihat orang lain disakiti.

Bagi mereka yang seronok melihat orang lain disakiti, lama kelamaan boleh mendorong mereka bersifat sadis iaitu berasa puas melihat orang bersedih dengan perbuatan mereka.

Yang jelas, bukan mudah untuk mengubah sikap manusia. Kita perlu merawat jiwa supaya tidak berbisa apabila disakiti dan tidak terdorong untuk menyakiti orang lain.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mendidik para sahabat berdoa kepada ALLAH SWT agar dikurniakan ketakwaan dan kesucian jiwa sebagaimana hadis berikut: "Ya ALLAH, berikanlah sifat takwa dalam jiwaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang terbaik dalam mensucikan jiwa manusia kerana Engkaulah Penguasa jiwa kami.” (Hadis Riwayat Muslim).

Justeru, sekiranya kita masih belum mampu untuk berhenti menyakiti orang lain, sekurang-kurangnya bertekadlah untuk menjadikan satu hari tanpa menyakiti. Semoga kita diampuni.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca