SHAH ALAM - Projek pembangunan yang tidak terkawal di kawasan tanah tinggi di Lembah Klang termasuk Shah Alam mendedahkan kepada risiko banjir, hakisan dan tanah runtuh. Pakar Perancangan Bandar dan Wilayah, Profesor Madya Dr Oliver Ling... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Projek pembangunan yang tidak terkawal di kawasan tanah tinggi di Lembah Klang termasuk Shah Alam mendedahkan kepada risiko banjir, hakisan dan tanah runtuh.

Pakar Perancangan Bandar dan Wilayah, Profesor Madya Dr Oliver Ling Hoon Leh berkata, pembangunan di kawasan tinggi menyebabkan semakin banyak bukit dan hutan yang menjadi kawasan simpanan air terpaksa ditarah.

Kesannya, air hujan yang turun tidak dapat disimpan seterusnya menyebabkan ia cepat mengalir ke kawasan rendah.

"Apabila melihat kepada situasi banjir teruk yang melanda kawasan Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam, kita tidak boleh melihat kepada perancangan pembangunan di kawasan itu sahaja, tetapi perlu melihatnya dalam konteks makro iaitu secara wilayah.

"Saya telah melihat foto satelit di Google Maps dan berdasarkan pemerhatian, di kawasan Sri Muda memang ada tasik. Tapi, ia mungkin tidak cukup atau kurang berkesan atau disebabkan pembangunan tanah tinggi semakin bertambah.

"Jadi, jika ada kawasan takungan sekalipun, ia tidak cukup untuk menampung air hujan. Disebabkan itu, kita tidak boleh salahkan kawasan tanah rendah kerana boleh dilihat terdapat kolam takungan di sekitar kawasan Sri Muda dan ia berhampiran sungai,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Kesihatan Alam Sekitar dan Sosial, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Shah Alam mempunyai banyak kawasan berbukit, namun semakin banyak pembangunan yang dibuat di kawasan tanah tinggi.

Ia secara tidak langsung akan menyebabkan semakin banyak air yang mengalir di kawasan rendah, sekali gus meningkatkan risiko banjir.

Tambahnya, kawasan Sri Muda terletak berhampiran sungai dan berada di kawasan rendah, menjadikannya terdedah kepada risiko jika pembangunan tanah tinggi di kawasan sekitarnya tidak terkawal.

"Jika kita lihat, tamadun manusia memang akan bermula di tepi sungai atau laut, iaitu kawasan yang terdedah kepada banjir. Bandar-bandar besar seperti Beijing, Shanghai dan Kuala Lumpur juga dibangunkan di kawasan tepi sungai.

"Mengapa manusia nak duduk di kawasan senang banjir? Kerana dahulu, kawasan inilah yang mudah untuk bercucuk tanam sebab banjir akan membawa baja kerana orang dahulu tidak menggunakan baja kimia.

"Tapi situasi yang berlaku sekarang ialah semakin banyak kawasan atau bandar baharu yang dibangunkan di kawasan tanah tinggi sehingga menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah,” jelasnya.

Ujar Oliver, kawasan paya dan wetlands yang semakin berkurangan juga akan meningkatkan risiko banjir.

"Banjir sudah berlaku, kita tidak boleh buat apa-apa. Bagaimanapun, untuk langkah jangka panjang, sebarang pembangunan yang dilaksanakan perlu mengikut garis panduan sedia ada. Misalnya, Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dilaksanakan iaitu setiap pembangunan, perlu dibuat kolam takungan.

"Pada masa yang sama, kita perlu memelihara kawasan tanah tinggi. Jika terus dimajukan, mungkin hari ini ia cukup untuk simpan air hujan tetapi selepas 10 ke 20 tahun, mungkin ia tidak cukup disebabkan air 'larian' semakin banyak,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca