SHAH ALAM - Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu berundur diri daripada jawatan Presiden PKR bagi memberikan laluan kepada muka baharu menerajui parti itu adalah tepat pada masanya. Malah, Anwar kini dilihat sudah kehilangan taring dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu berundur diri daripada jawatan Presiden PKR bagi memberikan laluan kepada muka baharu menerajui parti itu adalah tepat pada masanya.

Malah, Anwar kini dilihat sudah kehilangan taring dan menjadi liabiliti kepada parti apabila pengaruh PKR dilihat semakin lemah dan tidak berupaya susulan kegagalan memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru.

Untuk rekod, PKR tewas dalam 11 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) ditandinginya dalam PRN Melaka dan kalah semua 28 kerusi ditandinginya pada PRN Sarawak ke-12 baru-baru ini.

Keadaan itu menyebabkan sudah ada suara dari dalam dan luar PKR termasuk dari DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mendesak Anwar supaya berundur daripada memegang jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan digantikan individu lain yang lebih layak.

Penganalisis Politik, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berpandangan bahawa sudah sampai masanya bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengundurkan diri dari arena politik untuk berehat dan menumpukan sepenuhnya perhatian kepada keluarganya.

Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, beliau percaya Anwar mengambil keputusan untuk berundur diri daripada menjadi Presiden PKR kerana merasakan dirinya sudah tidak dominan dan relevan dengan politik negara sekarang.

"Dalam meniti usia 74 tahun ini mungkin Anwar sudah kepenatan dan sangat kecewa kerana tidak berjaya mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri biarpun sudah beberapa kali berpeluang berbuat demikian.

"Jadi inilah masa paling sesuai untuk beliau berundur daripada jawatan Presiden PKR bagi memberikan laluan kepada muka baharu menerajui parti terbabit," katanya kepada Sinar Premium.

Zainal berkata demikian ketika diminta memberikan pandangan mengenai kenyataan Anwar bahawa beliau terbuka jika ada pemimpin baharu yang disepakati oleh akar umbi untuk menerajui parti menggantikannya.

Ditanya mengenai siapakah individu paling sesuai menggantikan tempat Anwar selaku Presiden PKR, Zainal berkata, antara individu dilihat boleh menerajui parti itu jika Ahli Parlimen Port Dickson itu benar-benar meletakkan jawatan ialah isterinya sendiri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menambah, masalah utama PKR sekarang adalah tiada pemimpin yang benar-benar layak dan menonjol yang dilihat mampu menggantikan tempat Anwar sebagai Presiden parti.

"Keadaan itu berlaku kerana Anwar dilihat sudah lama menjadi dominan sehingga tiada seorang pemimpin lain kelihatan menonjol dan mampu menjadi penggantinya jika beliau letak jawatan dalam masa terdekat," katanya.

Bekas Setiausaha Sulit dan orang kanan Anwar di era reformasi, Anuar Shaari, menyokong cadangan Ketua Pembangkang itu mahu mengundur diri kerana parti berkenaan sekarang berada dalam kedudukan paling rendah dalam sejarah sejak penubuhannya pada 1999.

Malah, Anuar berkata, PRN Melaka dan Sarawak adalah kemuncak 'mesej' dari ahli dan penyokong bahawa Presiden PKR itu perlu diganti.

Beliau berkata gabungan PH juga secara terbuka telah menyuarakan perkara yang sama iaitu mahukan Anwar digantikan sebagai Presiden PKR dan Pengerusi PH.

"Gesaan ini menunjukkan Anwar semakin hilang kepercayaan dari ahli dan penyokong sendiri. Tentunya ini sesuatu yang tidak baik bagi seorang ketua dalam sesebuah organisasi. Anwar tidak perlu mengalih isu dengan mengatakan sanggup memberi jalan sekiranya ada calon lain di dalam PKR atau PH.

"Sebaiknya beliau letak saja jawatan dan serahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan pengganti beliau selepas beliau melepaskan jawatan," katanya.

Bagaimanapun, Anuar berkata bekas bosnya itu tidak wajar untuk menamakan penggantinya, sebaliknya biarkan Ahli PKR dan Majlis Pimpinan Tertinggi menentukannya.

Klik di sini untuk terus membaca