SHAH ALAM - Semua orang awam yang terlibat dengan banjir termasuk penyelamat dan pengendali pusat pemindahan sementara (PPS) dinasihatkan agar peka tentang isu kesihatan yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 di PPS.
Pakar perubatan kesihatan awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, walaupun agak mencabar untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) pada saat genting ini, jangkitan masih boleh berlaku dengan mudah di pusat pemindahan banjir.
"Dalam keadaan bersesak, jangkitan boleh berlaku melalui udara jika tiada penjarakan fizikal. Semua perlu beringat bahawa Covid-19 masih ada dan cuba sebaik mungkin untuk menjaga SOP.
"Walaupun ia agak mencabar, petugas-petugas dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan PPS perlu mengutamakan barang-barang seperti pelitup muka yang tersedia dengan jumlah yang banyak,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, semasa proses pemindahan mangsa, penyelamat sepatutnya membawa pelitup muka bersama untuk mangsa banjir dan mereka sendiri memakainya untuk mengelak sebarang kemungkinan jangkitan.
"Dalam keadaan darurat, memang agak sukar untuk mengelakkan penularan. Namun, mangsa dan pemberi bantuan mesti mempunyai inisiatif untuk sentiasa memakai pelitup muka dan kerap membersihkan tangan.
"Semasa proses menyelamat mangsa banjir, penyelamat seharusnya membawa dan memakai pelitup muka. Ini adalah SOP asas,” katanya.
Mohd Dzulkhairi berkata, bagi penghidap penyakit kronik, peralatan yang penting harus dibawa ke pusat pemindahan adalah kad rawatan dan ubat-ubatan jika ia dapat diselamatkan untuk memudahkan proses rawatan di sana.
"Mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap kencing manis sangat bahaya jika terdedah dengan banjir. Luka boleh terdedah kepada jangkitan dan pesakit perlu rawatan segera.
"Oleh itu, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa bersedia dan menyimpan ubat-ubatan di dalam plastik kalis air di rumah supaya tidak basah dan boleh digunakan apabila kecemasan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan pada Isnin lalu menjangkakan bahawa kemungkinan berlakunya peningkatan kes Covid-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya sewaktu proses menyelamat dilakukan.
Walau bagaimanapun, KKM telah menyediakan pasukan perubatan di PPS untuk membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir di PPS serta ujian saringan Covid-19 akan dilakukan ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi memastikan tiada penularan berlaku.
Dalam pada itu, Mohd Dzulkhairi berkata, terdapat banyak kemungkinan jangkitan yang akan terjadi semasa mengharungi banjir kerana air banjir merupakan air yang tercemar dan kita tidak boleh jangka apa yang ada di dalam air tersebut.
"Dalam keadaan banjir, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Contohnya, ketika mengharungi banjir, terdapat benda-benda tajam di bawah paras air yang kita tidak boleh nampak dan akhirnya menyebabkan luka pada kaki.
"Air tercemar atau air tidak bersih boleh menyebabkan pelbagai jangkitan berlaku. Jangkitan ini sekiranya tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk sehingga berkudis, dan bernanah,” katanya.
Selain itu, bekalan air tidak bersih atau air yang tercemar itu juga boleh menyebabkan keracunan makanan pada mangsa banjir.
"Apabila pembekalan air bersih tidak mencukupi dan tercemar akibat banjir, minuman yang kita minum akan tercemar dan makanan yang dimasak dengan air tidak bersih itu juga boleh menyebabkan jangkitan.
"Ia akan mendatangkan kesan seperti cirit-birit dan muntah kepada pesakit dan sekiranya perkara ini terjadi, mereka memerlukan rawatan segera,” katanya.
Mohd Dzulkhairi berpandangan bahawa setiap PPS juga perlu menyediakan pencuci luka dan petugas kesihatan yang dapat merawat pesakit banjir dengan segera.
"Siapa yang terkena luka semasa banjir harus mendapatkan rawatan. PPS perlu bersedia dengan peralatan kesihatan dan kemudian memberi rawatan susulan dari doktor.
"Bagi mereka yang menghidapi keracunan makanan, pastikan bekalan air yang digunakan adalah air yang tidak tercemar, dimasak dan peralatan yang digunakan harus dibersihkan dengan betul,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca