SHAH ALAM - Agensi pemberi dana dan perlindungan insurans serta takaful disaran bertindak lebih proaktif dan turun padang dalam usaha membantu mangsa banjir yang terkesan daripada segi kewangan.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, dalam keadaan biasa mangsa akan pergi membuat tuntutan namun kali ini pihak terbabit yang harus mencari mangsa.
"Mangsa banjir sudah cukup trauma ditambah lagi bebanan memikirkan rumah dan harta benda yang musnah akibat ditenggelami air.
"Pada ketika ini, wakil pihak-pihak berkenaan seperti syarikat insurans dan takaful, lembaga zakat dan lain-lain seharusnya turun padang dan mencari mangsa banjir bukan sebaliknya.
"Berikan mangsa info jelas bagaimana mereka boleh memohon bantuan selayaknya.Itu tentu akan lebih memudahkan mereka yang sedang dalam kesusahan," kata Mohamad Fazli kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Tambahnya lagi, pelbagai karenah birokrasi juga perlu diminimumkan bagi memudahkan urusan mangsa banjir memohon bantuan dan tuntutan.
"Misalnya jangan jadikan ketiadaan dokumen tertentu sebagai alasan untuk menolak permohonan bantuan mangsa banjir,
"Pada waktu banjir seperti ini, kita harus maklum mungkin ada mangsa yang kehilangan dokumen penting diperlukan bagi membuat tuntutan bantuan. Kalau boleh longgarkan sedikit peraturan untuk waktu kecemasan seperti ini.
"Cukup sekadar jika mangsa dapat membuktikan mereka berasal dari kawasan yang memang terkesan dengan banjir besar ini," katanya lagi.
Tambahnya, pihak bank juga misalnya perlu meminumkan syarat untuk pemberian moratorium kepada mangsa yang terkesan banjir bagi memberikan ruang untuk membina semula kehidupan pasca banjir.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli turut berpandangan, perkara pokok dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tidak kira sama ada daripada segi kewangan atau makanan dan sebagainya adalah pelarasan yang seragam.
"Pelarasan yang seragam adalah penting bagi memastikan setiap mangsa yang terkesan banjir menerima bantuan selain mengelakkan pembaziran.
"Tidak salah untuk mana-mana pihak menghulurkan bantuan tetapi harus dipastikan bantuan betul-betul sampai kepada mangsa.
"Jangan sampai ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menangguk di air yang keruh terutama di saat rakyat sedang berduka," katanya.
Untuk rekod, pada Sabtu genap seminggu Semenanjung Malaysia dilanda banjir besar yang setakat ini telah mengorbankan lebih 40 nyawa dan memusnahkan banyak kediaman, premis dan infrastruktur.
Klik di sini untuk terus membaca