DALAM tampalan blog saya pada 16 Mei 2015 saya, antara lain menulis: "Saya tujukan rencana ini khusus kepada para penyiasat pejabat Ketua Juruaudit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM tampalan blog saya pada 16 Mei 2015 saya, antara lain menulis:

"Saya tujukan rencana ini khusus kepada para penyiasat pejabat Ketua Juruaudit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang dan akan memulakan siasatan ke atas 1MDB.

"Saya mohon Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan memulakan sesi baru Isnin ini turut memberi perhatian rapi terhadap perkembangan isu 1MDB."

Itu adalah enam tahun tujuh bulan lalu. Walaupun pada ketika itu pelbagai tindak-tanduk dilakukan oleh pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak untuk menggagalkan penyiasatan skandal 1MDB, saya tetap yakin kebenaran akan didedahkan juga.

Saya memulakan rencana itu dengan membuat kesimpulan yang berbunyi:

"Kalau kita tak buat sesuatu dengan segera untuk atasi masalah 1MDB ia akan muflis dan kita serta anak cucu akan tanggung beban dan bala yang dahsyat."

Dalam rencana itu, saya berkata antara orang yang perlu disoal adalah Tan Sri Azlan Zainol, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja; Tan Sri Mohd Bakke Salleh bekas Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby; Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bekas Pengerusi 1MDB dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tan Sri Ismee Ismail, bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.

Mereka adalah antara eksekutif kanan tabung pelaburan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC dan GLC) yang namanya digunakan bagi melaksanakan dan kemudian menyembunyikan penyelewengan berbilion-bilion duit 1MDB.

Sesetengah daripada mereka meletakkan jawatan setelah menyedari konspirasi yang berlaku dalam syarikat itu manakala yang lain ditamatkan perkhidmatan kerana dikhuatiri akan membocorkan rahsia.

Malah dalam rencana yang sama saya turut menyebut nama Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang, ketika itu, masih menjadi Gabenor Bank Negara dan bertanya soalan berikut:

"Apakah peranan dan pendirian Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dalam hal-hal yang melibatkan hutang dan pergerakan wang 1MDB yang sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?"

Tetapi pada waktu itu belum terdedah urusan perniagaan yang membabitkan suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman, dengan peneraju belakang tabir 1MDB, Jho Low.

Alhamdulillah, hari ini banyak kes jenayah berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Mohd Najib sedang dibicarakan dan ada antara watak-watak yang saya namakan itu turut didakwa bersama bekas Perdana Menteri itu atau menjadi saksi.

Saya juga menyebut mengenai apa yang saya sifatkan sebagai sumbang mahram korporat yang membabitkan 1MDB, TH, LTAT, Felda dan beberapa buah agensi lagi.

Hal ini berlaku apabila pegawai-pegawai kanan mereka dilantik menduduki Lembaga Pengarah 1MDB dan mereka menggunakan duit syarikat mereka bagi menyokong perniagaan 1MDB dan urus niaga lain yang diarahkan oleh Mohd Najib.

Ini termasuklah pinjaman RM4 bilion oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada 1MDB, pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh TH, pembelian saham Eagle High Plantation di Indonesia oleh Felda dan pinjaman RM25.29 bilion oleh KWSP kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Sehingga akhir Jun lalu, tanggungan hutang Pembinaan PFI Sdn Bhd, iaitu salah sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan, adalah RM46.1 bilion. Hampir sama besar dengan 1MDB.

Saya telah beberapa kali menulis mengenai pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation dengan harga melebihi nilai pasaran pada tahun 2017.

Sehingga hari ini Felda telah mengalami kerugian atas kertas kira-kira RM1.8 bilion.

Mohd Najib, bekas-bekas Menteri Kewangan Kedua, beberapa orang pegawai kanan kerajaan dan eksekutif GLIC dan GLC terbabit langsung dengan operasi korporat yang melibatkan pengambilan hutang secara besar-besaran tanpa unjuran pulangan ke atas pelaburan (ROI) yang jelas.

Misalnya, dalam hal pengambilan hutang oleh SRC International yang sebahagiannya masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib, watak-watak seperti Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Datuk Idrus Harun (sekarang Tan Sri), Datuk Mohammad Ibrahim, Datuk Siow Kim Lum, Datuk Seri Ahmad Johan Raslan, Cheah Tek Kuang, Datuk Mohammed Azlan Hashim (sekarang Tan Sri) dan Datuk Abdul Wahid Omar (sekarang Tan Sri) turut terbabit.

Hutang RM4 bilion itu apabila selesai dibayar balik akan menjadi RM9.2 bilion yang ditanggung oleh kerajaan dan dibayar oleh pembayar cukai serta rakyat jelata.

Dalam konteks yang lebih sempit dan khusus, tindak-tanduk korporat yang melibatkan pengambilan hutang tanpa menitikberatkan unjuran pulangan turut melibatkan watak-watak seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Datuk Johari Abdul Ghani dan Menteri-menteri Kewangan Kedua lantikan Mohd Najib.

Boleh jadi elok difikirkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Rekonsoliasi Nasional bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit secara jenayah dan mengenakan hukuman moral ke atas yang gagal menunaikan tanggungjawab fidusiari.

Adalah amat tidak sesuai apabila watak-watak ini terus diberikan jawatan tinggi dalam pentadbiran dan kegiatan ekonomi negara serta dianugerahkan pelbagai gelaran kehormatan negara.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca