TURKI adalah sebuah negara yang hampir keseluruhan penduduknya beragama Islam namun Perlembagaan Turki jelas mengisytiharkan Turki sebagai sebuah negara sekular. Disebabkan itulah suatu ketika dahulu kita mendapat berita sedih amalan Islam... Klik di sini untuk terus membaca

TURKI adalah sebuah negara yang hampir keseluruhan penduduknya beragama Islam namun Perlembagaan Turki jelas mengisytiharkan Turki sebagai sebuah negara sekular.

Disebabkan itulah suatu ketika dahulu kita mendapat berita sedih amalan Islam disekat di negara tersebut termasuklah azan yang diwajibkan di dalam Bahasa Turki dan banyak lagi.

Tentu kita masih ingat seorang wanita yang terpilih menjadi ahli Parlimen Turki dilucutkan kewarganegaraannya kerana memakai tudung ketika menghadiri sidang Parlimen.

Hal ini disebabkan simbol agama seperti tudung dilarang di dalam urusan negara. Universiti awam dan pejabat kerajaan juga menjadi kawasan larangan untuk Muslimah Turki bertudung.

Syukur wanita tersebut telahpun dikembalikan kewarganegaraannya dan kini menjawat jawatan sebagai Duta Turki ke Malaysia.

Kini, walaupun perisytiharan sekular tersebut masih kekal di dalam Perlembagaan Turki namun interpretasi ketat sekular tidak lagi digunakan.

Terdapat pelbagai sokongan terhadap agama di Turki kini.

Umat Islam di Turki lebih bebas mengamalkan agama mereka dan tidak lagi dihantui oleh pemikiran sekular seperti dahulu walaupun Perlembagaan Turki mengenai negara sekular tersebut tidak diusik.

Ketika saya menulis rencana ini saya berada di Istanbul dan dapat menghayati amalan beragama di Turki yang lebih bebas.

Malah saya perhatikan masjid-masjid di Turki lebih ramai jemaahnya berbanding Malaysia pada setiap solat waktu.

Saya juga berkesempatan untuk melihat sendiri pengajaran golongan sufi dan orang Islam yang lain.

Saya perhatikan tidak banyak beza amalan mereka dengan amalan di Malaysia seperti zikir, doa dan lain-lain.

Terfikir saya keadaan sebaliknya di Malaysia. Walaupun Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menukilkan Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi ramai yang masih mendakwa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Ada juga kalangan yang seolah-olah janggal membaca Perkara 3(1) tersebut.

Malah ada juga yang mengatakan Perkara 3(1) tersebut tidak mempunyai sebarang ramifikasi perundangan. Ia dikatakan hanya sebagai dekorasi sahaja yang terpakai kepada acara rasmi.

Naratif sebegini sangat bertentangan dengan ‘grundnorm’ masyarakat Malaysia. Ia memusnahkan struktur asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang berpaksi kepada agama Islam.

Oleh yang demikian perubahan ekstrem di atas mungkin akan berlaku di Malaysia sekiranya kita tidak berhati-hati dan tegas dengan pendirian kita tentang agama Islam.

Jika Turki sebuah negara sekular boleh berubah mengamalkan Islam, tidak mustahil di Malaysia yang merupakan negara Islam berubah menjadi sekular dengan naratif songsang yang saya sebutkan di atas.

Saya mengajak pembaca sekalian mengambil ibrah dari situasi di Turki kerana kita tidak boleh duduk goyang kaki sahaja selesa dengan keistimewaan Islam yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan namun kelak secara paktikalnya ramai yang masih teruja dengan konsep sekular.

Akhirnya kelak semua amalan Islam dalam urusan kenegaraan mungkin boleh menjadi tidak berperlembagaan sebagaimana Turki suatu ketika dahulu kerana berpegang dengan konsep sekularisme itu.

Sejarah perundangan sangat penting untuk dihayati kerana dari situlah baru kita memahami kehendak masyarakat. Ini adalah disebabkan Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu dokumen yang tiba-tiba muncul pada 31 Ogos 1957.

Ia adalah dokumen yang diterima ramai pada ketika itu berdasarkan toleransi antara semua pihak yang terlibat.

Terdapat pelbagai imbal balas antara kaum dan agama di dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut dan ianya diperkuatkan lagi dengan pembentukan Persekutuan Malaysia di mana hak Sabah dan Sarawak dipelihara dan dihormati.

Membaca Perlembagaan Persekutuan secara harfiah mungkin akan membawa pentafsiran yang tersasar daripada landasan sebenar. Pemahaman Perlembagaan Persekutuan mesti disulami dengan nilai-nilai sejarah, aspek watan dan kehendak masyarakat sendiri.

Tanpanya Perlembagaan Persekutuan mungkin akan hanya menjadi rangka yang tidak mempunyai isi.

Sebagai sebuah undang-undang tertinggi negara ia seharusnya menjunjung aspirasi rakyat.

Ia adalah manifestasi toleransi antara rakyat yang mesti diterapkan oleh kerajaan.

Kembalinya saya ke tanah air kali ini membawa ibrah ini yang mana saya insafi walaupun sudah ada pernyataan berkaitan dengan kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun secara amalannya ia mungkin boleh jadi berbeza kerana tafsiran yang pelbagai.

Oleh itu tafsiran yang tuntas mengenai kedudukan Islam ini perlu diperjelaskan agar tiada lagi tafsiran lain yang boleh dikehadapankan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca