SHAH ALAM - Biarpun hanya terdapat perbezaan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara kerajaan sedia ada iaitu gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) namun tiada keperluan diadakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun hanya terdapat perbezaan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara kerajaan sedia ada iaitu gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) namun tiada keperluan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.

Ini kerana situasi sekarang tidak begitu mengizinkan dengan kes Covid-19 masih lagi tinggi, selain ramai rakyat termasuk di Johor terjejas akibat banjir melanda negara ini.

Tambahan pula, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga mengeluarkan amaran kemungkinan beberapa daerah di Johor dijangka mengalami hujan lebat dan banjir kilat dalam masa terdekat.

Oleh itu, tidak hairanlah ramai ahli politik dan penganalisis terkejut dengan pengumuman Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang mencadangkan PRN diadakan dalam masa terdekat dengan alasan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Malah, Setiausaha PN dan Parti Pribumi Bersatu Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, melahirkan rasa pelik dengan cadangan Menteri Besar Johor berkenaan kerana semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN masih kekal memberikan sokongan padu kepada Hasni.

Sahruddin berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul kerana semua wakil rakyat PN sekarang hanya mahu memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat terutama yang terkesan akibat banjir dan Covid-19 sama ada di Johor atau di negeri lain.

"Saya pun tidak faham kenapa Hasni boleh mengeluarkan kenyataan begitu kerana setakat ini semua ADUN PN masih menyokong beliau kekal sebagai Menteri Besar dan kerajaan sedia ada sehingga ada arahan terbaharu dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi parti.

"Setakat ini tiada apa-apa arahan terbaharu dikeluarkan pucuk pimpinan Bersatu, jadi kami akan terus menyokong kerajaan negeri sedia ada. Jadi tidak timbul langsung soal Bersatu dan Pas mahu menarik sokongan kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri sekarang," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Isu mengenai keperluan mengadakan PRN di Johor timbul susulan kerajaan negeri dipimpin Hasni hanya mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding PH berikutan pemergian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember lalu.

Osman yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 malam di kediaman anaknya di Kuala Lumpur.

Susulan pemergian Osman menjadikan gabungan kerajaan hari ini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik PH.

Berikutan itu, Hasni pada Sabtu, melontarkan cadangan untuk membubarkan DUN dalam masa terdekat bagi memberikan mandat kepada rakyat memilih kerajaan negeri baharu menerusi PRN.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, beliau juga ada berbual dengan beberapa wakil rakyat dari pembangkang menyatakan pandangan sama bahawa PRN Johor tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat berikutan situasi penularan Covid-19 masih aktif dan bencana banjir di negara ini sekarang.

Biarpun begitu, Sahruddin berkata, PN bersedia menghadapi PRN Johor jika Menteri Besar meneruskan hasratnya untuk membubarkan DUN dan memberi ruang kepada PRN Johor diadakan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, buat masa ini Bersatu hanya akan bekerjasama dengan Pas dan Gerakan kerana tiada perbincangan dengan BN dan UMNO mengenai pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Sahruddin bersama Osman (kanan) di mana kedua-duanya merupakan bekas Menteri Besar Johor.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin, pula memberikan amaran bahawa BN dan UMNO mungkin dihukum oleh rakyat jika meneruskan niat untuk membubarkan DUN Johor dalam masa terdekat.

"Saya ingin memberi amaran kepada BN dan UMNO yang sentiasa mengkhianati kerajaan gabungan dibentuk secara bersama dengan Pas dan Bersatu. Bukan PN, Bersatu atau Pas tetapi rekod ialah BN/UMNO mengkhianati gabungan kerajaan dibentuk sama ada di Perak mahu pun Melaka, sebelum ini.

"Malah, di Johor ini, PN akan terus menyokong Menteri Besar selagi kerajaan negeri terus menumpukan kepada usaha ke arah kemakmuran, pemulihan ekonomi dan membantu rakyat terjejas akibat banjir serta pasca Covid-19. Jadi tidak simbul soal PN mahu mengkhianati kerajaan, tidak menyokong usul kerajaan dan sebagainya," katanya.

Badrul Hisham berkata, sentiment PN mahu menjatuhkan kerajaan negeri Johor sengaja dimainkan oleh beberapa pemimpin tertentu dalam UMNO dan BN yang berfikiran sempit.

"Misalnya di Perak pemimpin BN dan UMNO berpakat untuk menjatuhkan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) semasa menjadi Menteri Besar sehingga mereka sanggup bekerjasama dengan DAP.

"Di peringkat pusat pula, UMNO diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengkhianati kerajaan PN dengan mengumumkan 15 Ahli Parlimen BN menarik sokongan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu," katanya.

Beliau berkata di Melaka pula, kerajaan negeri tumbang kerana pemimpin UMNO/BN berganduh sesama sendiri merebut jawatan Menteri Besar dan kuasa sesama sendiri.

"Justeru, nasihat saya kepada Menteri Besar Johor sekarang bahawa kamu tidak perlu kelam kabut keluarkan kenyataan mahu memerhatikan Bersatu dan Pas kerana selagi beliau menunaikan tanggungjawab dan tidak mengkhianati ikrar untuk bergabung membentuk kerajaan negeri dan menjaga integriti bersama maka tiada risiko untuk jatuh biarpun majoriti kini hanya tinggal 1 kerusi.

"Bersatu dan Pas tetap akan mempertahankan kerajaan negeri sekarang selagi UMNO dan BN tidak mengkhianati kerjasama dipersetujui bersama sebelum ini. Saya juga yakin PN tidak akan bertindak seperti UMNO yang menjatuhkan kerajaan sendiri dan sanggup kerjasama dengan PH," katanya.

Bagaimanapun, Badrul Hisham berkata, PN tetap perlu bersedia menghadapi PRN Johor jika Menteri Besar meneruskan niatnya untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat.

Penganalisis politik merangkap Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berpandangan, cadangan Menteri Besar untuk mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat adalah tidak kena pada masanya kerana ramai rakyat masih terkesan akibat banjir dan penularkan Covid-19.

Berikutan itu, Mohd Izani berpendapat bahawa cadangan pembubaran DUN bagi memberikan laluan kepada PRN Johor diadakan dalam masa terdekat adalah tidak sesuai kerana terdapat ramalan kaji cuaca yang meramalkan beberapa kawasan di negeri berkenaan akan dilanda hujan lebat berterusan.

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain

"Jadi bagi saya idea untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRN Johor bukan satu keputusan bijak buat masa sekarang kerana kerajaan negeri patut lebih fokus kepada usaha membantu mangsa banjir dan rakyat terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, sebelum ini.

"Malah, biarpun majoriti di DUN Johor hanya tinggal satu kerusi namun kerajaan negeri masih boleh berfungsi dengan baik dan berkesan serta tiada keperluan membubarkan DUN dalam masa terdekat," katanya.

Justeru itu, Izani berpandangan kerajaan negeri Johor wajar bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkemungkinan besar akan diadakan seawal tahun depan.

"Semua Adun di Johor juga perlu berjiwa besar dengan mengetepikan kepentingan diri dan politik demi membantu rakyat yang terkesan akibat banjir dan pandemik Covid-19," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca