BENCANA banjir yang berlaku di beberapa negeri terutama di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan memberikan kesan besar kepada mangsa yang terlibat.
Ketika ramai yang menyalahkan koordinasi lemah dan perlahan daripada pihak kerajaan dalam menguruskan bencana banjir ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta semua pihak berganding bahu untuk memastikan rakyat dibantu dalam keadaan mencabar ketika ini.
Beliau antara pemimpin yang awal turun membantu penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam baru-baru ini turut berharap tiada pihak menyalahkan mangsa banjir, bermain politik dan fokus dalam mendepani masalah banjir yang belum pulih sepenuhnya.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY bersama SYED SADDIQ yang juga Ahli Parlimen Muar itu menggerakkan jentera Muda secara agresif untuk membantu penduduk di kawasan yang terjejas selain perancangan dalam menghadapi situasi pasca banjir.
Sinar Harian: Sejak lima hari lepas tanpa henti Yang Berhormat (YB) turun padang membantu rakyat Selangor yang terkesan kerana banjir. Boleh YB ceritakan sedikit pengalaman sepanjang berada di lapangan? Apa yang tak dapat YB lupakan?
Syed Saddiq: Sejujurnya pengalaman ini agak pahit kerana apabila kita turun padang ke beberapa kawasan dan melihat sendiri ribuan rakyat terkandas, kemudian tidak berjaya dikeluarkan segera dalam keadaan banjir yang sangat teruk ini.
Saya ingat lagi apabila pergi melawat ke Taman Sri Muda pada jam 4 pagi, ada keluarga yang menjerit meminta tolong bawa mereka keluar daripada rumah yang telah dinaiki air. Namun, kapasiti untuk membantu itu agak terhad khususnya bagi saya dan rakan-rakan dalam parti Muda.
Tetapi kami tetap usahakan yang terbaik dan cuba memberikan bantuan dan membawa keluar seramai mana yang termampu. Kerana itu, saya rasa ini adalah masanya untuk kita semua berganding bahu, tidak kira parti politik, korporat, badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama meringankan beban mereka yang teruk terkesan.
Ini bukan masanya untuk bermain politik. Ini adalah masa untuk kita bersatu kerana krisis yang sedang melanda negara ini harus dijadikan titik pertemuan untuk menyatukan kita semua.
Saya berkata begini kerana bencana banjir atau tanah runtuh dan sebagainya tidak mendiskriminasikan mangsanya tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik. Anda semua perlu berganding bahu untuk membantu mereka.
Trending di media nama YB dan Muda kerana antara yang paling pantas beri bantuan dan turun padang. Rakyat mula buka mata dengan peranan pemimpin golongan belia. Komen YB?
Ini bukan hanya kerana Muda dan saya. Kami terhutang budi kepada puluhan ribu penderma yang sudi menyumbang untuk tabung kecemasan yang dibuka sejak 18 Disember lalu. Setakat ini saya dimaklumkan lebih 21,000 rakyat Malaysia sudah menderma dan kita telah berjaya memungut RM1.2 juta.
Kami tidak jangka sokongan begitu baik dan besar daripada rakyat. Malah, untuk sukarelawan pula, pada mulanya kami menyasarkan hanya 300 sukarelawan. Tetapi sekarang ini dah mencecah 10,000 sukarelawan di seluruh Malaysia yang sudah mendaftarkan diri.
Kami juga sudah membelanjakan lebih RM500,000 daripada dana yang diperuntukkan oleh rakyat dan yang telah didermakan kepada kami.
Jadi, kami di sini sebagai penghubung dan jambatan bagi memastikan dapat bantu sebanyak jumlah mangsa yang terkesan seperti kerja pemindahan untuk pastikan mereka dapat dikeluarkan daripada rumah masing-masing.
Selain itu, kerja pembersihan pula untuk beli peralatan dan makanan asas kepada mereka. Muda dan saya hanya merupakan kenderaan bagi aspirasi mereka.
Jumlah sumbangan RM1.2 juta dan lebih 10,000 sukarelawan ini semua datang daripada rakyat dan kami terhutang budi kepada anda semua.
Kami janji akan buat yang terbaik untuk pastikan bahawa kita dapat terjemahkan setiap sokongan anda kepada bantuan secepat mungkin kepada semua yang terjejas.
Bagaimana YB menggerakkan 10,000 sukarelawan tersebut untuk memastikan bantuan ini dapat disalurkan lebih efektif dan berkesan?
Sebab itu sekarang ini kami dah ada ramai juga pegawai yang ditempatkan sepenuh masa untuk tujuan koordinasi. Kami akan hantar e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada setiap sukarelawan yang telah mendaftar ini.
Banyak sukarelawan diperlukan yang mereka boleh sertai sebagai contoh sukarelawan di Pahang, Johor dan Kelantan kita telah fokus usaha membantu di kawasan terjejas banjir di Pahang. Ada 500 sukarelawan yang dihantar ke sana.
Malah, di Shah Alam lebih 2,000 telah menyatakan kesudian untuk membantu dan menyertai kami. Di Shah Alam, kita pecahkan kepada beberapa tugas seperti ada yang minta untuk sampaikan bantuan makanan, ada yang ingin membantu bahagian pembersihan pasca banjir.
Terdapat banyak pasukan tersendiri dan saya faham bukan semua yang boleh menyertai setiap hari dan hanya boleh membantu ketika hujung minggu. Tetapi, tidak mengapa, kita cuba sebaik mungkin untuk memastikan semua yang terjejas dibantu.
Kami juga minta maaf jika tidak cukup tangan untuk hubungi semua sukarelawan untuk masuk ke setiap kawasan. Kami sudah cuba yang terbaik kerana ini pertama kali dan dalam tempoh masa yang agak singkat.
Namun, apa yang paling penting, selagi hati kita berada di tempat yang betul semua akan berjalan dengan baik.
Terdapat penduduk di sesetengah kawasan tidak mahu tinggalkan rumah untuk pergi ke pusat pemindahan banjir kerana risau penularan Covid-19 dan sebagainya. Bagaimana untuk mengatasi perkara ini?
Jangan sesekali salahkan rakyat. Saya kongsikan pengalaman saya ketika turun ke Taman Sri Muda, dan masa itu memang air begitu tinggi sampai bot saya boleh tersangkut beberapa kali kerana langgar kereta yang dah di bawah bot kami.
Ada kumpulan yang menjerit pada jam 3 dan 4 pagi minta tolong bawa mereka keluar. Pada masa tersebut saya dalam dilema yang agak besar kerana bersama saya hanya satu bot besar dan kayak yang boleh bawa keseluruhan lapan orang setiap trip.
Saya rasa begitu bersalah apabila begitu ramai yang menjerit mengharapkan bantuan kami, namun apa yang boleh kami lakukan dengan kapasiti yang ada. Apa yang lebih mencabar apabila bertungkus-lumus keluarkan satu keluarga terdiri daripada tujuh orang dan ada bapa orang kurang upaya (OKU) yang terbaring.
Kami tidak ada kepakaran untuk bawa bapa yang terlantar di katil untuk turun daripada tingkat tiga. Kami terpaksa menjerit minta bantuan supaya bot bomba datang.
Kami keluarkan satu keluarga dahulu dan bot bomba itu datang turunkan bapa tersebut. Takkanlah si bapa itu mahu duduk seorang diri selepas semua keluarga mereka dikeluarkan? Dalam bab ini kita kena faham situasi tersebut dan kedudukan penduduk di situ.
Sebab itu ada yang tidak mahu tinggalkan rumah dan ada yang mahu dikeluarkan serta-merta. Mungkin ada situasi yang tidak mengizinkan mereka dan ada sebab tersendiri. Tanggungjawab kita sebagai yang berkhidmat adalah untuk memahami kehendak mereka dan cuba menghubungkan bantuan kepada mereka.
Sebab itu ada sesetengah penduduk yang tidak ingin keluar, tetapi mereka minta bawa tilam, bawa makanan dan sebagainya. Kita kena fahami kedudukan mereka. Jangan kita tuding jari kepada mereka dan kata mereka selektif.
Dalam keadaan ini, ramai yang nak membantu dan ada yang memberikan sumbangan seperti contoh pakaian lama yang tidak boleh digunakan lagi selain ada bantuan yang tidak diperlukan sehingga berlaku pembaziran.
Sebab itu tujuan koordinasi itu sangat penting. Setiap pihak perlu ada koordinasi yang sangat baik dengan agensi, jabatan kerajaan dan perlu koordinasi dengan pusat pemindahan banjir.
Koordinasi dengan pusat pemindahan banjir itu amat penting kerana setiap pusat pemindahan ada keperluan yang berbeza. Saya beri contoh apabila kita di Taman Sri Muda dan Sepang keperluan mereka adalah barang kebersihan wanita, tuala wanita dan t-shirt.
Di pusat pemindahan banjir di Pahang, mereka ada mohon lebih banyak powerbank dan juga Covid-19 test kit kerana ada penularan pandemik di sana. Kita perlu lihat dan fokus setiap kawasan dan kawasan itu ada permohonannya yang tersendiri.
Kita juga tidak boleh tengok hanya kerana media sosial bincangkan dan fokus satu tempat, semua pergi ke tempat itu untuk membantu. Contoh terbaik di Hulu Langat. Ramai orang tidak tahu keadaan di Hulu Langat sangat teruk kerana kemungkinan tidak dibincangkan dengan hangat di media sosial.
Mereka terputus dari segi talian telefon, tak ada elektrik dan tak ada air selain terpisah dengan dunia luar dah tiga hari. Jadi penduduk di Hulu Langat ini tidak boleh buat panggilan, hantar koordinat lokasi mereka dan sebagainya.
Tetapi keadaan berbeza apabila saya sampai ke Taman Sri Muda dan saya boleh dapat koordinat lokasi tepat mangsa banjir yang minta pertolongan kami.
Tetapi di Hulu Langat, apabila saya masuk sahaja terus tak ada isyarat telefon dan internet. Jadi, kat sini saya rasa koordinasi itu sangat penting dan tidak cukup hanya fokus di satu tempat, kita cuba fokus di banyak tempat dan ikut kehendak kawasan masing-masing.
Sampai bila Muda akan teruskan usaha ini kerana bencana banjir ini apa yang paling utama adalah proses pemulihan pasca banjir?
Sebab itu saya rasa fokus utama adalah pasca banjir. Proses pembersihan ini akan memakan masa yang panjang. Saya beri contoh paling mudah. Kami dah berkampung di banyak tempat, di Hulu Langat, Sepang, Sri Muda, Bukit Bintang, Chow Kit dan di Pahang.
Nak bersihkan satu rumah agak sukar kerana air yang naik itu sampai ke paras leher dan membawa lumpur yang agak luar biasa dan sangat dalam.
Banyak juga keperluan yang diperlukan seperti generator, water jet dan juga perlukan ramai orang untuk bersihkan setiap rumah. Malah, untuk bersihkan satu rumah pun boleh memakan masa setengah hari.
Ia termasuk proses nak keluarkan barang yang berat. Tilam yang kalau kering kita boleh angkat dua orang, tetapi apabila dah basah dan berat kena sekurang-kurangnya enam orang untuk angkat.
Selain itu, pembersihan pula kena gali segala jenis lumpur yang ada di sana. Pasca banjir ini sangat penting, sebab itu kita kena belikan peralatan asas kepada mereka.
Bagi keluarga miskin yang hilang segala jenis barang mungkin akan memberikan kesan sangat besar kepada mereka. Mungkin ada golongan ini yang berniaga di tepi jalan dan peralatan mereka sudah hilang. Sebab itu mereka perlu dibantu juga.
Kami juga sekarang ini sedang bincang diskaun yang agak besar boleh diberikan oleh syarikat besar bagi tujuan pembelian peralatan ini.
Kami juga akan cuba kumpulkan seberapa ramai peguam untuk beri khidmat guaman pro bono kepada mangsa banjir untuk tujuan tuntutan insurans dan pastikan mereka boleh dapat bantuan daripada kerajaan Persekutuan, negeri, korporat dan bank secepat mungkin.
Jadi, kami pecahkan elemen ini supaya kami dapat beri bantuan di setiap peringkat. Jadi, untuk katakan tempoh masa itu kita tidak pasti.
Sebab itu, kami akan teruskan insiatif ini sampai kita dapat bantu semua yang terkesan secepat mungkin.
Pandangan YB dengan tindak balas kerajaan terhadap bencana alam yang menimpa yang dikatakan perlahan?
Saya rasa dari segi ‘post mortem’ saya akan ulas lebih panjang selepas tempoh krisis ini tamat kerana kalau saya ulas pada ketika ini dalam keadaan rakyat sedang sengsara, ia tidak begitu molek.
Walaupun saya memang kalau boleh nak kata marah, memang marah, tetapi saya nak fokus kepada usaha konstruktif membantu rakyat yang sedang terjejas.
Sebab itu saya bangkitkan keperluan untuk perkara ini dibahaskan di Parlimen. Ia bukan bertujuan untuk menuding jari, tetapi untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang lagi.
Kita telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membeli aset-aset yang boleh digunakan di jalan raya dan di atas air. Tetapi mana aset-aset ini. Apabila kita belanjakan ratusan juta untuk beli helikopter untuk bantu rakyat, mana helikopter ini?
Kalau kita belanja puluhan juta untuk beli drone mana drone itu? Saya katakan ini kerana saya turun padang dan pergi ke kawasan banjir. Kalau tak percaya saya, tanyalah sukarelawan lain. Dalam tempoh 24 jam pertama dan tempoh yang sangat penting, saya tahu siapa yang berada di sana dan siapa yang tiada.
Tapi tak apalah yang itu kita fokus selepas tempoh pasca banjir, kita boleh lihat bedah siasat dan perbahasan yang lebih khusus di Parlimen. Buat masa ini saya merayu kepada semua agensi, jabatan, kementerian, parti politik tidak kira siapa untuk hadir bersama-sama membantu rakyat.
Mungkin kelewatan itu disebabkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu dan adakah ia menjadi punca kekangan untuk bantuan sampai lebih cepat? Atau adakah kita masih belum bersedia untuk menghadapi banjir seperti ini?
Saya ingat pada bulan Oktober tahun ini, telah ada pelancaran besar-besaran di Putrajaya dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang menghimpunkan aset jutaan ringgit kerajaan untuk menunjukkan persediaan mereka pada situasi banjir seperti ini.
Persoalannya mana aset berbilion ringgit ini dan inilah masanya untuk tonjolkan kemampuan untuk menangani banjir. Saya faham bahawa taburan hujan yang berlaku teramat tinggi. Pada masa yang sama, kalau kita lihat pakar daripada Jabatan Meteorologi telah keluarkan amaran lebih awal.
Bukan itu sahaja, walaupun ada taburan hujan tinggi, mereka perlu pastikan ‘deployment’ aset itu lebih cepat dan tangkas. Tetapi, seperti saya tegaskan, buat masa sekarang kita tak perlu tuding jari dan kita fokus kepada bantu rakyat kerana itulah tugas dan tanggungjawab hakiki kita.
Harapan YB untuk koordinasi itu diperbaiki dan bantuan lebih cepat dapat diberikan kepada mangsa banjir kerana masih banyak kawasan yang terjejas?
Banyak lagi perkara boleh ditambah baik apabila kita telah memperuntukkan berbilion ringgit aset Nadma, Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis, tentera dan yang lain-lain.
Tetapi apa yang dah berlalu biarkan berlalu. Namun, masih banyak hari mendatang dengan keadaan banjir yang belum surut dan ada kawasan yang semakin teruk.
Semua pihak perlu fokus ke hadapan. Sepatutnya ini dah jadi tempoh krisis negara yang menyatukan semua dan bermesyuarat bukan hanya selepas tiga ke empat hari tetapi setiap setengah hari.
Maknanya kita satukan tenaga, polis, tentera, bomba dan aset kerajaan negeri dan NGO. Selain itu, parti politik duduk bersama bincang. This is the best time.
Klik di sini untuk terus membaca